Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Tuesday, December 29, 2009

Jauh tapi dekat



Sawah padi terbentang luas saujana mata memandang. Kehijauan yang menyejukkan mata dan menenangkan hati hingga terlupa bahang panas terik mentari membakar jasad. Hembusan angin membuatkan kain yang menutup tubuh ini turut sama beralun berkibar menari mengikut irama angin nyaman. Erti hidup untuk bersyukur.


Batas sempadan menjadi garis pemisah kita bertentang mata, berbual mesra, sambil mendakap erat tali saudara. Namun, walau sejauh benua direntas, selangkau laut direnang, seterik padang pasir mengembara, hati masih kuat berbicara semangat kalian di hatiku, bisikan kata-kata kalian tergiang di gegendang telingaku, senyuman manis kalian terukir di mindaku. Tangan ini masih terasa sejuk genggaman erat tangan kalian.

Fatamorgana itu sememangnya wujud, jauh nampak riaknya, dekat hilang entah kemana. Namun, kalian mana mungkin seperti fatamorgana. Kalian, jauh dimata tapi dekat dihati.


….buat guru,teman,sanak saudara, dan sekalian insan yang pernah mengenali diri ini…........





fatihi razali
kuala terengganu
11 Muharram 1431H
28 Disember 2009

Saturday, December 26, 2009

Memperjuangkan dan bukan mengejar

Tujahan kata-kata pembunuh semangat, lontaran lembing lisan tidak menyokong, panahan beracun yang meracuni pemikiran, perlu langkah berpencak membela diri, hati segerak tangkis untuk mara, tanpa sedar siapa halangan sebenarnya. Memperjuangkan dan bukan mengejar……



Bukan sekarang hasilnya, tapi sekarang bermulanya. Sinis mulanya, yakin dan percaya kemudiannya. Biar sedikit akhirnya membukit daripada banyak akhirnya lanyak. Menjadi orang yang terus mendaki, selepas berkhemah di kaki. Memperjuangkan dan bukan mengejar…..


Kalau momentum berupaya melawan inersia, kalau daya tujah ke atas berupaya melawan jasad tenggelam, kalau antibodi berupaya melawan virus, kalau cinta berupaya melawan benci, tiada alasan untuk menyanggah frasa memperjuangkan dan bukan mengejar….



fatihi razali
kuala terengganu
9 Muharram 1431H
26 Disember 2009

Thursday, December 24, 2009

Terima kasih........



Seluruh alam buana faham, seisi dunia tahu, lafaz ini jika diucap dengan nada yang lembut, hati yang ikhlas, mampu membuatkan senyuman terukir di wajah yang cerah. Kalimah agung yang menyenangkan pemberi jasa, tanda jasa itu dihargai, lantas membakar semangat untuk terus berjasa dan berjasa.


Terima kasih bonda dan ayahanda kerana meredhaiku. Keringatmu syurga balasannya. Terima kasih tuan guru, cikgu, prof dan sekalian yang bergelar pendeta. Madah cahayamu menyuluh kalbu sehingga membangun ummah. Terima kasih ahlil baytku, gelak ketawa kalian masih segar dalam ingatan. Terima kasih teman sepengajianku dari teratak mengenal ABC hingga menara gading, jari telunjukmu terukir cap jari dalam memoriku. Terima kasih teman sepersilatanku, peluh berlatih masih basah mempertahankan seni budaya. Terima kasih teman niaga dan kerjaku, adakala otak ini ketandusan idea, engkau mencetuskan ilham dan semangat. Terima kasih sekalian yang berpangkat teman yang pernah mengenaliku.


Terima kasih semua. Mana mungkin jasad ini dapat membalas jasa kalian. Diri ini bersyukur kepadaMu diberi kesempatan berkongsi suka duka bersama mereka. Hati ini merakam indah kalimah “daiman fi qolbi”.

Syukran Jazilan. Jazakallahu khairan kathiraa.


Thank You Allah......

fatihi razali
Kuala Terengganu
7 Muharram 1431H
24 Disember 2009



glosari
ahlil bayt - ahli keluarga
daiman fi qolbi - sentiasa dihatiku

Monday, December 21, 2009

Selamat tidur kekasih gelapku



Malam yang tenang, dengan bunyi desiran pohonan yang dihembus angin bayu, bibir ini berhenti mengalunkan tinta-tinta emas al-Quran, selesai mengucup mushaf yang indah. Doa dipohon dalam diri yang malu dengan tangan yang pantas tersilap, mulut yang pantas tajam menguris hati, mata yang pantas fokus kelemahan orang lain. Apatah lagi hati, lagi pantas terdetik mazmumah.


Merenung pipi ‘humaira’ yang disayangi, mengusap ubun-ubun di sebalik mahkota ‘sodiqoti’, hati berasa begitu bersalah. Begitu meninggalkan permaisuri keseorangan melayari bahtera hari ini, tanpa sedikit pun menghulurkan tangan. Engkau keseorangan mengalunkan Surah Al-Mulk tanpa temanmu yang dicintai.


Biar aku mengucup dahimu yang jernih sebagai tanda mohon maaf. Suamimu ini berterima kasih mengenang jasamu. Cintamu membuatkan aku tidak lupa untuk cinta kepada Yang Maha Pencipta, kasihmu membuatkan aku tidak lupa untuk kasih kepada Junjungan Mulia, hormatmu membuatkan aku tidak lupa untuk hormat kepada kedua orang tua.


Tidurlah wahai kekasih gelapku. Esok, kehidupan masih lagi menagih kasih sayangmu. Uhibbeik.



fatihi razali,
kuala terengganu
3 Muharram 1431H
20 Disember 2009





Glosari
Mazmumah-perkara keji
Humaira-pipi kemerah-merahan
Sodiqoti-teman yang dipercayai
Uhibbeik- aku sayang padamu

Friday, December 18, 2009

Jangan Bersedih


Terkadang hati ini kalau terusik menjadi sedih. Usikan-usikan yang berfizikal cubaan,berwajah dugaan dan berupa ujian. Masyhur kita dengar apabila tinta al-Quran dialun dengan tartil,sudahkah dianggap beriman selagi tidak diuji. Maka tidak dapat tidak, ujian itu pasti harus direnangi, biarpun tanpa pingat emas, asal menjadi pahlawan tanpa jasa.
Ya, sedih itu fitrah manusia. Mustahil manusia tidak pernah bersedih. Maka, salurkan kesedihan untuk lebih dekat kepada Allah, meninggal jauh perasaan hilang pertimbangan.

Ingat doa Nabi "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada sifat sedih dan dukacita. Aku berlindung kepadaMu ya Allah, dari sifat lemah dan malas. Dan aku berlindung kepadaMu ya Allah, dari sifat penakut dan bakhil. Dan aku berlindung kepadaMu ya Allah, daripada beban hutang dan tekanan perasaan(oleh orang lain)."



fatihi razali
Kuala Terengganu
1 Muharram 1431H
18 Disember 2009





rujukan
nota kecil
Jangan Bersedih, Zikir Munajat & Tazkirah, Dr Badrul Amin Bahron, Wholesale-mart Business Point Sdn Bhd, Cheras,2006

Thursday, December 17, 2009

Destinasi Hijrah

Termenung diam seribu bahasa. Kepala menyandar rehat di telapak tangan yang disilang erat. Bukan tanda malas. Bukan bunyinya mengeluh. Jauh sekali putus asa. Otak ini ligat memikirkan pelan baru, minda ini sedar merencana strategi, akal ini sedia menimbang dengan baik, semuanya tidak lain tidak bukan, untuk mengharungi kalendar hijrah yang baru.



Sambil melihat cermin pandang belakang umpama mengambil pengajaran lalu, sambil menoleh ke cermin pandang sisi umpama sedar halangan disisi, kaki ini sedia menekan laju memecut dengan halaju yang dibenarkan. Namun, mana mungkin kita bergerak jika gear semangat tidak ditolak. Destinasi hijrah yang dituju.

Keluar dari kegelapan kejahilan kepada terangnya ilmu, bergerak dari takuk lama ke takuk yang baru, menyusur dari hulu ke hilir, membukit dari sedkit ke banyak, mengecas dari lambat ke laju,semuanya satu erti, berhijrah dari buruk ke baik.



Saam Maal Hijrah 1431H



fatihi razali,
Sg. Buloh,
29 Zulhijjah 1430H
17 Disember 2009

Friday, December 11, 2009

Mengejar pelangi kebahagiaan



Terngiang-ngiang di telinga, madahnya menusuk laju masuk memukul gegendang telinga, sampai naik ke akal, turun tiba ke hati. Madahnya berbunyi setiap yang susah ada senangnya dikemudian, ada bahagia selepasnya. Diri ini menafsir bahagia itu apabila senyuman terukir di wajah kedua orang tuanya melihat kejayaan putera puterinya, bahagia itu apabila sejuk mata memandang kedua orang tuanya melihat akhlak putera puterinya, bahagia itu apabila tenang hati kedua orang tuanya melihat agama putera puterinya.


Pada mulanya kita kebasahan diterjah hujan, namun kemudiannya gembira dan kagum melihat pelangi tersenyum mewarnai kanvas langit, menyeri taman bumi, sambil burung berkicauan menyanyikan lagu kedamaian dan kebahagiaan. Cukup dengan redha Allah, hati ini merasa bahagia. Cukup dengan redha kedua orang tua, hati ini merasa bahagia. Ya Allah, aku memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat.





fatihi razali
kuala terengganu
23 Zulhijjah 1430H
11 Disember 2009

Khalifah Uthmaniyyah dalam kenangan


Satu bala. Tatkala diri ini menatap pecisan-pecisan sejarah,mengingat sabda junjungan besar Nabi saw,meninjau kehidupan umat,ketiga-tiga pembelajaran ini menjadi satu rantaian yang benar. Diri ini masih tidak sedar apa yang sedang berlaku. Leka, malas, takut, jumud, semuanya bagaikan menjadi darah daging ini yang tidak boleh dikumuhkan.

Saat kota khalifah Uthmaniyyah hancur, saat itu saudara Muslim hatinya resah, tidurnya tidak lena, entah esok ,entah lusa, keluarga ini kehilangan ahli, dirobek oleh tangan-tangan kuffar,mungkin juga tangan-tangan pengkhianat. Pengkhianat diangkat dan dijulang sebagai hero, pembela dituduh jahat dan layak dibaling batu. Oh Sultan Abdul Hamid, kenapa engkau begitu dibenci sedangkan engkau telah membayar dengan harga yang mahal untuk Islam dan Ummah. Kenapa muka Mustafa Kamal Ataturk ini ditulis hero dalam buku teks sejarah kami.

Lenyap payung khalifah, maka gembiralah kuffar. Dengan senang mereka menyentap hijab muslimah, dengan semborono mereka mengacu muncung senapang ke anak yang kecil, dengan sewenangnya mereka menceroboh rumah Allah dan rumah kami, maka sekali,dua kali dan ke berapa kali bumi Islam disimbahi darah umatnya. Tanpa pembelaan pasukan berkuda pemimpin tidur.


Ya benar sabda Nabi saw, di suatu masa nanti umat Islam bagaikan buih-buih dilautan. Maka diri ini insaf dan sedar, diri ini masih jauh lalai, masih tebal cinta dunia, masih kuat rasa takut akan mati. Ya Allah, sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku, hanya untuk Allah Taala, Tuhan sekalian alam.




fatihi razali,

kuala terengganu,

23 Zulhijjah 1430H

11 Disember 2009



rujukan

SULTAN ABDUL HAMID II:Dari Istana Yildiz ke Pembuangan di Salonika

saifulislam.com

Monday, December 7, 2009

Kerja Bertangguh Tak Menjadi



Ketika pahat berbunyi, tukul menjadi teman yang akrab. Momentum pukulan tukul berupaya melawan inersia pahat. Perlanggaran ini, maka lahirlah sebuah teratak yang berdiri megah, namanya masyhur merentas abad. Semuanya bekerja diiringi bunyi detikan masa yang pantas dan cemburu. Semuanya tidak mahu tertangguh dengan virus malas, yang mana vaksinnya disuntik semangat mahu terus maju dan maju.




Insan yang bergelar jurutera, arkitek, pengurus, ahli perniagaan dan sekalian manusia, seakan mengerti kerja bertangguh, merugikan begitu banyak wang dan peluang. Apatah lagi seorang doktor, jika bertangguh, korban nyawa menjadi catatan dalam sejarah kerjanya. Lebih dashyat, anak bangsa terkapai kelemasan lantaran guru dan pendeta bertangguh untuk mendidik. Di sinilah lahirnya sekalian banyak manusia mendengar madah guru dan pendeta. Kayuhan pasti perlu diteruskan dengan bergaya. Tanpa perasan, semangat juga turut sama berkayuh.



Masa begitu cemburu dengan kehadiran kekasih siap sempurna. Firman Allah dalam surah Al-Asr “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”. Nah, hayati sabda Nabi saw yang masyhur, ingat lima perkara sebelum lima perkara. Hujjatul Islam al-Imam Ghazali pernah berpujangga, hari kelmarin adalah suatu yang paling jauh. Maka, benar frasa agung yang berbunyi, kerja bertangguh tak menjadi.







fatihi razali,

kuala terengganu,

19 Zulhijjah 1430H,

7 Disember 2009

Friday, December 4, 2009

aku cinta padamu


Hati ini ikhlas. Namun, biar aku pinjam cermin seketika untuk aku tatap diriku. Tak perlu kau bersusah payah meneropong di sebalik mikroskop untuk mencari zarah-zarah keikhlasan. Diri ini sedar, tiada harta untuk dihadiahkan, tiada ilmu untuk dikongsikan, tiada rupa untuk ditatap, tiada jasa untuk dikenang. Siapa aku untuk melayari lautan cinta bersamamu. Usahkan mengangkat bendera cinta dan melebar layar kasih, bahteranya pun belum siap.

Diri ini masih fakir dalam harta, masih fakir dalam fiqh.Usah kau menunggu aku untuk sekian waktu. Takut cinta ini mengundang fitnah,yang sepatutnya berada atas sejadah fitrah. Biar diri ini mengundur sepurnama bulan,mungkin segenap tahun, sebilang dekad atau sejauh abad, untuk bermuhasabah kitab cinta. Namun hati ini bahagia kerana pernah berbicara sendirian yang aku cinta padamu.Pergilah kepada insan lebih siap,lebih diketahui wibawanya. Aku takut jika setelah tangan ini mengangkat setuju aku terima nikahnya, kau merasa susah, derita dan kecewa.


fatihi razali,
Kuala Terengganu,
17 Zulhijjah 1430H
4 Disember 2009

kembara kota ilmu


Ilmu itu sendiri nur. Nur yang menerangi kehidupan. Ianya memancar di kala gelap, ianya bersinar bagai emas yang menyinari dengan pantulan mentari di kala cerah. Amat rugi jika sudah berada di kota ilmu, tintanya tidak dibaca, mutiaranya tidak dikutip, permatanya tidak digilap, laluannya tidak diselusuri, bahteranya tidak melabuh singgah di pelabuhan dewan konvokesyen.

Pena pengembara kota ilmu, menari asyik di lembaran-lembaran putih, mencatat segala idea dan ilham, tujuannya untuk membangunkan ummah, menaikkan martabat bangsa, menegak kalimah agama. Mahal dakwatnya kerana berisi keikhlasan dan kesungguhan. Kalau lilin membakar dirinya untuk menerangi teratak, apalagi nur ilmu, bagaikan pancaran sinar alfa,beta dan gamma menembusi dinding kebal, merentas benua.


fatihi razali,
Kuala Terengganu
13 Zulhijjah 1430H
30 November 2009

nur kasih


Sudah dia,maka dialah. Sejauh masa terdetik,sepanjang usia menunggu,sedunia dijelajah,kasihnya tidak bisa berubah. Apa lagi cinta. Cintanya nur. Hati kuat berbicara, bibir lagi kuat bergetar, menafikan kasihnya terkubur. Bukan menolak takdir, tapi firasat hati membuat diri menunggu saban hari, saban minggu, saban bulan, saban tahun. Usah paksa kalau hati masih yakin.

"Allah takkan menduga lebih dari apa yang mampu kita tanggung". La tahzan. Jangan bersedih. Dugaan datang,mungkin untuk menaikkan martabat,mungkin kafarah dosa yang lalu. Walau ada yang ingin berkongsi,walau ada yang ingin merasa sedikit kesakitan,biarlah diri ini menanggungnya.Biarlah pena ini yang menulis tinta ini keseorangan.

Tiga permata yang menyinari nur kasih,ilmu,sedekah dan anak yang soleh.Insyaallah,jasad dan rohani ini mematri ungkapan permata ini.


fatihi razali,
Kuala Terengganu,
11 Zulhijjah 1430H,
28 November 2009

Pemuda melangkah gagah.....


Pemuda yang mampu merubah peta dunia. Pemuda yang berhati Saidina Ali karamullahu wajhah, bersemangat Salahuddin Al-Ayubi, berakal Hassan al-Bana, berbudi pekerti anak yang menyejukkan mata kedua orang tuanya, berjiwa merdeka, dan seteguh Kota Melaka.

Hidup ini jika berjiwa merdeka ternyata indah. Seindah pelangi yang mewarnai langit biru, dengan warna yang beraneka. Ianya terhasil selepas cahaya mentari yang menyinari alam, terbias oleh rahmat titisan hujan. Diiringi bunyi kicauan burung menyanyikan lagu kedamaian. Hidup di dunia, tempat untuk bercucuk tanam untuk ke negeri akhirat.


fatihi razali,
Kuala Terengganu,
10 Zulhijjah 1430H
27 November 2009

Terengganu Kehujanan




Musim tengkujuh telah tiba. Pantai Timur menyambut kehadiran gelombang Monsun Timur Laut seperti tahun yang lepas. Terengganu Darul Iman, negeri yang kaya dengan khazanah alam, bagaikan bersyukur menyambut limpahan rahmat. Dari utara hinggalah ke selatan negeri, dari timur hinggalah ke barat negeri, dari Kemaman hinggalah ke Besut, dari Kuala Terengganu hinggalah ke Hulu Terengganu, awan-awan mendung berarak membawa kandungan air untuk dititiskan ke bumi bertuah, melengkapi peredaran kejadian alam, semuanya berjalan dengan kekuasaanNya Yang Maha Agung. Tumbuhan yang berfotosintesis di kala mentari memancar, berespirasi di kala malam hari, haiwan yang berlari dan bekerja, manfaatnya menggembirakan jutaan umat manusia. Namun, erti syukur masih tidak ada dalam kamus hidupan manusia yang alpa dan lalai. Masih sukar menyambut seruan Ilahi. Seruan kearah kejayaan.



Air Laut China Selatan yang menjadi teman daratan negeri Terengganu, pasang dan surut mengikut fitrah alam. Mutiara dan khazanah sumber bersemadi di dalam lautan ini yang begitu luas. Dengan air yang sama, kita bersuci. Dengan air yang sama, kita mencari rezeki. Tiada sebab kita bersengketa, tiada sebab kita bermusuh. Zarah-zarah elektron yang mengikat ikatan konvalen dalam satu sebatian, yang tidak mampu dileraikan, seharusnya umat manusia ini berada dalam medan magnet ini.


fatihi razali,
Kuala Terengganu
10 Zulhijjah 1430H
27 November 2009

Maghrib wei.....






















Mentari mula melabuhkan tirai di ufuk barat. Langit yang tadi cerah mula bertukar wajah. Biasan mentari yang kemerah-merahan mewarnai kanvas langit yang begitu besar. Saat azan dilaungkan, jutaan makhluk tunduk syukur, kerana sinaran mentari dapat dimanfaatkan untuk membangunkan ummah. Sekali lagi, solat didirikan dengan penuh keinsafan. Jutaan bibir mengucapkan zikir mengagungkan pencipta sekalian alam, jutaan hati ikhlas kepadaNya, jutaan jantung berdenyut berselawat ke atas junjungan mulia, penghulu alam yang dikasihi, Rasulullah saw.


Bulan mula mengambil giliran menyuluh alam. Di bawah satu cahaya, kita bersama menuju kejayaan. Tersurat dalam kamus kajian sains, peredaran bulan menyebabkan berlakunya pasang surut air laut. Al-Quran. Sudah 1400 tahun dahulu al-Quran menyingkap keajaiban kejadian alam. Kajian-kajian sains yang ditemukan saintis barat mengakui Al-Quran merupakan satu lembaran khazanah ilmu yang tidak terhingga banyaknya. Sehinggakan sebahagian mereka yakin dan lantas mengucapkan kalimah tauhid, membenarkan iman dalam hati,dan beramal dengan syariat Islam. Teori Ledakan Besar model Einstein menyatakan bahawa alam cakerawala yang ada sekarang adalah hasil satu ledakan daripada satu pusat.4 Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud “ Dan apakah orang-orang yang tidak beriman tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?”Nah, bukti al-Quran itu mengandungi tinta-tinta emas yang bersinar, begitu mahal harganya.


fatihi razali,
Kuala Terengganu,
27 November 2009
10 Zulhijjah 1430H

footnote:
4.Buku Menyingkap Keajaiban Al-Quran mengikut Kajian Sains,Abu Ar-Razi Al-Ahmadi,Pustaka Ilmi 2002