Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Friday, December 31, 2010

Umar Abdul Aziz bahagian I



Malam ini, mengisi ruangan waktu malam Rabu, telah terjadual diri untuk menghayati karya sastera atau falsafah. Diri ini memilih novel sejarah Islam, Umar Abdul Aziz Bayangan Khalifah al Rasyidin, sebuah karya Abdul Latip Talip sebagai bahan termuat waktu ini. Namun, diri ini hanya sempat berkelana tentang Umar Abdul Aziz sejak dilahirkan sehingga mula mendapat pelajaran daripada datuk saudaranya, Abdullah ibnu Umar al-Khatab.
Saat kelahiran Umar Abdul Aziz sangat cemas, kerana Madinah dicengkam serangan tentera Yazid. Ibunya Laila Ummu Ashim hanya mampu berserah kepada Allah SWT. Dengan bantuan Abdullah Umar, membawa ibunya bersembunyi di Masjid Nabi dan mendapat jaminan daripada tentera Yazid,anak ini lahir untuk melihat umat tersenyum seketika dengan pemerintahannya. Ditambah dengan kemaraan tentera Yazid yang beralih serangan ke Mekah, peristiwa hitam runtuhnya Kaabah dibaham peluru pelantik besar, mencalit sejarah gelap dan cahaya.Gelapnya ialah kesucian Kaabah ternoda. Cahayanya ialah kelahiran Umar Abdul Aziz.
Sejak kecil, Umar Abdul Aziz bersinar rasa takutnya kepada Allah SWT. Melihat ibunya memasak sudah cukup membuatnya menangis. Takut api neraka menjulang kerana kanak-kanak sebagai umpan menghidupkan api. Begitu gambaran takut dan takwa si anak kecil ini. Ternyata, semakin dewasa,semakin takut dirinya kepada Allah SWT.
Pemergian kedua ibu bapanya ke Mesir untuk menjalankan tugas gabenor, tidak menghalang Umar Abdul Aziz tinggal bersama Abdullah Umar di Madinah untuk mencedok lautan ilmu daripada ulama terbilang. Firasat Abdullah Umar,anak kecil ini akan menjadi orang yang terkenal suatu hari nanti dan menjadi pemerintah yang adil seumpama doa ayahnya,Umar al-Khatab.
Fatihi Razali
Kuala Terengganu
Muharram 1432H
Disember 2010

Ibrah kejadian Nabi Adam AS



Malam ini, terjadual siap bahawa aku harus meneliti lembaran sejarah. Sejarah yang bukan hanya tinggal nama dan tarikh, namun pengajaran yang mengambil tumpuan untuk melihat diri, adakah arus sejarah yang lalu mengalir begitu sahaja tanpa diceduk buat menghilangkan dahaga nilai manusiawi.

Secebis sejarah yang ditatap pada malam ini ialah ibrah kejadian Nabi Adam AS. Manusia pertama yang diciptakan oleh Allah SWT. Allah menciptakan manusia agar menjadi khalifah di muka bumi. Sepintar akal yang dapat membezakan baik dan buruk, serta selembar petunjuk yang diberikan oleh Allah SWT agar manusia itu tidak terpesong, sesat dan sengsara. Namun, manusia itu ada pengacaunya, Iblis Laknatullah. Pengacau yang menusuk jarum kerosakan tatkala manusia itu bertemu titik kelemahan iaitu LUPA dan NAFSU.

Kerana lupa, iblis tersenyum melihat Adam dan Hawa memerah keringat di bumi, tidak seperti di syurga yang indah senangnya. Kerana nafsu, nyawa Habil direntap oleh turutan nafsu Qabil yang diapi-apikan oleh iblis. Memang benar, iblis itu musuh yang nyata. Iblis sudah bersumpah awal-awal dengan takbur dan sombongnya. Ibrahnya, “Aku berlindung dari syaitan yang direjam”.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
6 Muharram 1432H
12 Disember 2010

Hadis pertama



Mengerti secara umum hadis pertama yang direnung dengan hati yang tersedar, segala amal adalah dengan niat. Ikhlas kuncinya. Tiada yang lain semata-mata kerana Allah Taala. Mengoreksi diri untuk sentiasa meletakkan ikhlas sebagai sudut pandang pertama dalam setiap amal.

Mengimbas episod amal yang lepas, hati tersedar memohon keampunan kepada Allah dengan penuh rendah hati. Allah dengan kasih sayangNya masih mengurniakan segala macam kenikmatan selama hati ini masih belum sedar tujuan hidup di dunia. Perlu penghijrahan kerana Allah dan Rasul sebagaimana sambungan isi saranan dalam hadis ini.

InsyaAllah, niat diletakkan pada permulaan perjalanan gerak kerja, haruman ikhlas sentiasa mewangi taman hati untuk memandu sekalian anggota untuk beramal dengan baik.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
11 Muharram 1432 H
17 Disember 2010

Cubitan ilmu tekanan



Kesempatan pada waktu malam yang lewat, waktu ahli rumah berdengkur, waktu ahli ibadat bermunajat, dan waktu ini aku merasai cubitan ilmu tentang tekanan. Teori fiziknya daya per luas permukaan. Walaupun suasana pada waktu ini tidak menekan diri, tetapi tekanan atmosfera tetap menolak dan menekan.

Merenung kehidupan ini, masalah yang timbul(tidak pernah mendengar masalah yang tenggelam), sedikit sebanyak memberikan tekanan. Tekanan yang membuatkan diri ini resah dan gelisah, mundar dan mandir, marah dan naik darah, tidak senang duduk, juga tidak senang berdiri, malah tidak senang baring. Begitulah penangan tekanan.

Namun, tekanan yang menujah kuat, atau menekan lembut, boleh disapa dengan hemah dan waras. Cuma memerlukan masa untuk bernafas, memerlukan tempat untuk dilepaskan, memerlukan akal untuk difikirkan, dengan cara terbaik tanpa mudarat.melarat dan tertiarap. Makanya, tekanan angin dalam tayar perlu dipastikan betul agar perjalanan lancar dan selamat.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
8 Muharram 1432
14 Disember 2010

Berkenalan dengan politik




Peruntukkan malam Sabtu untuk berkenalan dengan politik harus dilunaskan. Langsung bertemu jendela pertama ilmu politik. Sabda Nabi SAW: “Dari Aisyah r.a.h katanya: “ Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang Raja atau Pemimpin itu nescaya Ia jadikan kepadanya menteri atau pembantu yang baik, jika ia lupa nescaya diperingatkan, jika ia telah ingat nescaya dibantunya, dan apabila Allah mengkehendaki lain dari itu nescaya Ia jadikan untuknya menteri atau pembantu yang jahat, jika ia lupa tidak diberi peringatan, jika ia sudah ingat nescaya tidak dibantunya”.

Di tanah air, penelitian secara tersirat, nampaknya kesemua parti politik sudah mula memalu gendang pilihanraya. Pilihanraya ke-13. Juga kali kedua aku mengundi bagi DUN Batu Buruk dan Parlimen Kuala Terengganu. Gerak kerjanya bermula sekarang.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
13 Muharram 1432 H
19 Disember 2010

Bergelanggang jatuh bangun




Menekuni asas ilmu ekonomi mikro dan makro membuka lingkup minda usahawan untuk bersedia menghadapi cabaran yang sedia menjengah dalam pola-pola tertentu. Kuasa ekonomi bergelanggang permainan jatuh bangun. Horizonnya tidak diduga jika tidak bersedia. Menguasai dua asas, makro dan mikro ini umpama bekalan penting dalam kelangsungan pencapaian ekonomi melalui keusahawanan.

Ekonomi makro mencakupi persekitaran ekonomi setempat, nasional, serantau dan antarabangsa. Kepekaan perubahan pola dan aliran ombak persekitaran-persekitaran ini bagaikan satu tumpuan yang merenung tajam gerak-geri sasaran. Mengutarakan contoh persekitaran setempat, usahawan perlu tangkas menangkap kesan kepada perniagaan akibat pembangunan setempat. Adakah merangsang jualan atau cuba-cuba menggugat kedudukan?Ideanya ialah strategi. Di peringkat negara,dasar-dasar kerajaan selalunya dinamik bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Maka kita tidak perlu statik untuk mengikut dinamik ini. Peringkat antarabangsa membuka lautan yang lebih luas tanpa sempadan. Maka, peluang dan ancaman perlu dikemudi dengan baik.

Ekonomi mikro berkisar hubungan kuantiti penawaran dan kuantiti permintaan serta harga pasaran. Meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi kuantiti penawaran dan permintaan merupakan langkah awal. Juga langkah penting untuk mengimbas harga pasaran. Jika kuantiti permintaan meningkat dan kuantiti penawaran berkurangan, maka harga pasaran adalah tinggi. Sebaliknya, kuantiti permintaan berkurangan dan kuantiti penawaran meningkat, maka harga pasaran adalah rendah.

Dua elemen ini bagaikan ingin beradu kekuatan dengan usahawan. Usahawan sebagai sumber modal insan yang peka dan dinamik serta berkebolehan mengemudi bahtera merentas lautan dunia tanpa sempadan akan bersedia bergelanggang jatuh dan bangun.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
11 Muharam 1432
17 Disember 2010

Banjir besar Nabi Nuh AS




Malam yang hujannya kadang-kadang menitik laju terjun ke bumi, kadang-kadang bagaikan tangisan yang berhenti, mengingatkan diri tentang banjir. Sejarah umat manusia apabila bercerita tentang banjir mungkin mengambil iktibar peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh a.s.

Umat Nabi Nuh a.s yang engkar selalu berhujah dengan kebatilan. Kebatilan ini, mereka merasakan lebih pintarnya daripada Nabi Nuh a.s dengan menyembah tuhan lain selain Allah SWT. Mereka sendiri tidak terjawab jika ditanya tentang menukar jalan matahari, dan mencapai bintang. Masih bongkak mengaku tersangat pintar.

Maka, biarlah banjir yang besar menenggelamkan kedegilan mereka walaupun sempat mengejek kesungguhan Nabi Nuh a.s membina kapal, kesungguhan Nabi Nuh a.s mengajak ke arah kebaikan. Ketika ini, hubungan darah daging dipisahkan dengan pegangan akidah. Anak Nabi Nuh a.s yang engkar juga turut tenggelam.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
13 Muharram 1432H
19 Disember 2010.

Thursday, November 11, 2010

Coretan kelana sejauh dua Kuala

Sabtu, Jam 2200, 6 November 2010 bersamaan 29 Zulkaedah 1431H, aku memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dari Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya? Entah, aku tidak mengkaji dalam status bandaraya dan bagaimana manfaat ekonomi untuk rakyat marhean Kuala Terengganu dan daerah sekitarnya. Aku dapat rasakan suatu kegelojohan dalam merangka strategi pembangunan. Strategi pembangunan memancing undi dengan nama-nama yang gah supaya rakyat di pedalaman yang kurang akses maklumat, terpesona dengan nama yang pada hakikatnya tidak sehebat mana.

Sebenar cerita kali ini ialah untuk mencoret kisah kelana sejauh dua Kuala, iaitu Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Bukan untuk menafsir istilah bandaraya seperti perenggan di atas. Namun, kerana duduk di dalam bas, keadaan kedudukan yang tinggi dan bergerak menyelusuri jalan sekitar Bandar(aku lebih suka menggunakan perkataan ini daripada Bandaraya), membuatkan aku terfikir bagaimana istilahnya bandaraya. Adakah kerana hanya lampu-lampu neon yang menerangi jalan-jalan yang sedia terang dengan lampu jalan sudah dikira bandaraya? Aku akan mengkaji lagi status perekonomian bandaraya.

Meneruskan perjalanan dalam kesejukan malam yang hujan, dan ditambah kesejukan penghawa dingin dalam bas, jari-jemari bagaikan ingin keras. Terlalu sejuk bagi aku. Nasib baik menerima mesej dari teman yang juga kelana sejauh Tanah ke Pasir, iaitu dari Tanah Merah ke Pasir Gudang, maka kesejukan kelana ini tidak dilayan dengan sewajarnya. Jari-jemari digerakkan membalas mesej teman.

Tidak lama di dalam bas, rasa yang tidak selesa mengundang resah. Pening dan ingin muntah. Almaklumlah, sudah lama tidak menaiki bas. Aku dinasihati oleh teman supaya melelapkan mata untuk menghilang rasa pening dan ingin muntah. Lantas, mesej "salam" menamatkan sekejap perhubungan melalui teknologi kini. Kusyen ditarik sedikit ke belakang membolehkan postur badan lebih santai, untuk melelapkan mata.

Sekitar Jam 0530, 7 November 2010 bersamaan 30 Zulkaedah 1431H, aku sampai di Hentian Putra, Kuala Lumpur. Bergerak ke surau untuk menunaikan solat Subuh, sebagai tanda seorang hamba yang bersyukur kepada Penciptanya. Selesai menunaikan solat, langkah diatur ke Stesen Komuter Putra untuk meneruskan perjalanan ke KL Sentral. Alhamdulillah, perjalanan setakat ini masih lancar. Masih jauh dari kesibukan manusia lain, iaitu penghuni ibu kota Kuala Lumpur memandangkan hari ini ialah hari Ahad, hari berehat bagi orang bekerja di wilayah persekutuan ini.

Sampai sahaja di KL Sentral, aku terus ke pusat informasi untuk bertanyakan arah menuju ke Taman Permata,Ulu Kelang. Ada apa aku ke destinasi ini? Aku lupa untuk memberitahu tujuan asal kelana di awal cerita. Sebenar rencana mahu ke kelas Teori Sastera: Teknik Surah Yusuf yang dikendalikan oleh syarikat penerbitan buku PTS Sdn Bhd. Aku ingin mengisi profesi diri sebagai penulis untuk masa lapang.

Petugas di pusat informasi memberitahu aku supaya mengambil LRT dan berhenti di Stesen Taman Melati. Dari stesen ini boleh mengambil bas ke Taman Permata. Aku dengan senang hati terus ke kaunter tiket untuk menuju ke destinasi. Pada waktu ini, perut tren masih tidak ramai dengan penghuni ibu kota. Seawal pagi, dan juga pada hari cuti, sukar untuk melihat kelibat penghuni ibu kota. Aku percaya, jika hari bekerja, walaupun seawal pagi, perut tren kenyang dengan kehadiran manusia-manusia yang bersemangat meneruskan kehidupan.

Setiba di Stesen Taman Melati, aku bertanya mengenai bas yang dapat pergi ke Taman Permata. Petugas di pusat informasi bas memberitahu aku perlu mengambil bas di Stesen Wangsa Maju. Perlu berpatah balik. Dari awal lagi aku sudah mengagak petugas pusat informasi di KL Sentral silap kerana sebelum kelana, aku sudah berkali-kali meneliti arah perjalanan melalui internet. Dari Stesen Taman Melati, aku perlu berpatah balik ke Stesen Wangsa Maju dan membuang sejumlah kecil wang bernilai RM 1.40. Aku mula menilai sejauh mana pendirian aku untuk membuat keputusan sedangkan maklumat telah berkali-kali aku menelitinya. Aku belajar mempercayai apa yang aku percaya.

Persoalan ini berlegar sepanjang perjalanan patah balik dari Taman Melati ke Wangsa Maju. Selain itu, persoalan lain juga timbul. Persoalan khabar teman yang kelana dari Tanah Merah ke Pasir Gudang. Aku menerima mesej daripadanya yang tersadai di tepi jalan kerana bas rosak. Masih menanti pengantinya untuk meneruskan kelana. Aku bersimpati kepada teman. Mesej balas yang berbunyi sabar cuba menenangkan diri teman. Akhirnya aku menjejakkan kaki ke Stesen Wangsa Maju. Tinggal perlu mengambil bas menuju ke Taman Permata.

Aku memandang jam masih awal untuk ke kelas setelah tiba di Taman Permata. Lebih baik aku minum dahulu buat mengisi perut. Di sebelah Sekolah al-Ikhlas(tempat kelas diadakan), terdapat sebuah restoran. Aku memasuki restoran tersebut dalam langkah yang mengira-ngira wang yang tinggal di dalam beg duit. Ya, mengira-ngira kerana kelana kali ini, bekalan wangnya tidak besar. Cukup-cukup buat tambang dan makan yang sekali sehari.

Aku mengambil tempat duduk dan memesan Nescafe buat minum pagi. Ketika aku duduk, aku baru sahaja perasan, di hadapan aku ini rasanya Pengerusi PTS. Sebelum ini, dalam laman sesawang PTS, selalu diwar-warkan Teknik Surah Yusuf dalam menulis cerita. Dan, aku melihat Pengerusi ini sedang meneliti terjemahan al-Quran. Aku memerhatikan semangat beliau yang berjuang mengilmukan bangsa melalui buku. Hidangan yang siap di hadapan beliau masih belum dijamah kerana beliau asyik menjamah dengan selera terjemahan tebal al-Quran. Aku tidak berani menegur beliau. Biarlah di dalam hati aku mendoakan kejayaan beliau yang gigih memandaikan masyarakat.

Tidak lama aku menikmati Nescafe yang sedap sambil memerhatikan pengunjung-pengunjung restoran menceduk hidangan sarapan pagi, aku melihat kelibat rakan-rakan beliau datang menikmati sarapan pagi bersama-sama. Melihat pengunjung-pengunjung restoran yang dapat mengisi perut dengan hidangan pagi yang sedap, aku terliur sendirian. Tetapi apakan daya, biarlah makannya sekali sehari, asalkan tambang perjalanan terbayar kerana kelana masih tinggal satu hari lagi sebelum berangkat balik ke Kuala Terengganu.

Di dalam kelas, di sebelah kiri aku ialah editor Galeri Ilmu. Lebih mesra aku memanggilnya Abang Amir. Dalam sela masa rehat sekejap, banyak perkara yang diceritakan oleh Abang Amir mengenai penerbitan buku. Aku mendengar dengan setia patah perkataan Abang Amir. Dunia penulis dengan editor perlu serasi supaya buku dapat diterbitkan dengan jayanya. Pada kesempatan mengikuti kelas ini juga, aku berkenalan dengan seorang yang bertugas di tempat aku pernah menimba ilmu ketika dahulu, UTM Skudai. Encik Arif yang duduk di sebelah kanan aku sememangnya seorang bersemangat. Memandu daripada Skudai ke Ulu Kelang ini semata-mata menimba ilmu, terbit rasa kagum di hatiku. Orang yang seusia dengan Encik Arif, masih cekal untuk menulis sebuah buku. Encik Arif memberitahu kali pertama dia datang ke sini. Aku juga kali pertama. Insyaallah, kita akan sama-sama menyumbang kepada masyarakat melalui mata pena walaupun secalit tinta. Juga kali pertama.

Kelas Teknik Surah Yusuf begitu menyegarkan minda aku. Tidak terasa letih walaupun semalaman tidurnya tidur-tidur ayam di dalam bas yang begitu sejuk. Masih bersemangat mendengar syarahan Pengerusi PTS ini. Aku memegang kemas kata-kata syarahan ini, iaitu "karya kita akan mengkayakan pembaca."

Selesai kelas kira-kira pukul 1.00 petang, aku menghubungi sepupu aku yang berada di Selayang. Hajatnya ingin bertamu dan bermalam di sana. Namun, nampaknya hajat tidak kesampaian. Dia sekarang sedang bekerja. Aku meneruskan kelana aku ke Sg. Buloh. Mengapakah ke Sg. Buloh? Kerana di sana terdapat taman-taman yang pernah aku bermain dan belajar dua tahun yang lalu. Aku terus sahaja mengambil bas ke stesen Wangsa Maju dan dari stesen ini, aku perlu ke Komuter Sg. Buloh dengan transit di KL Sentral.

Di komuter Sg. Buloh, aku dijemput Zul untuk ke rumah yang pernah aku menginap dua tahun yang lalu. Di sinilah tempat aku belajar berniaga di bawah Program Tunas Mekar UiTM-JPM selama setahun. Selepas itu aku membuka perniagaan aku sendiri di Kuala Terengganu sehingga sekarang. Rencah perniagaan, sememangnya sukar. Kunjungan ke tempat nostalgia ini menyuntik kembali semangat meneruskan perniagaan.

Sepetang menunggu kawan seprogram dahulu yang kini juga membuka perniagaan sendiri, akhirnya nampak kelibat kawan ini. Aku sebenarnya kagum dengan ketabahan kawan ini yang meneruskan kehidupan sebagai seorang usahawan di ibu kota. Aku doakan kawan berjaya dalam bidang yang diceburi. Yo, teruskan usaha. Insyaallah boleh. Terima kasih untuk layanan sehari dua ini. Kalau ada rezeki, kita boleh berkolaborasi bergabung tenaga membina empayar perniagaan suatu hari nanti.

Menginap di sini untuk satu malam sebenarnya sangat gembira. Gembira dengan 1001 cerita dan permainan teka-teki bersama Akhi(14 tahun), Afaff(11 tahun) dan Hanan(5 tahun). Juga, kehadiran Abrar( 1 tahun) yang mula memasuki kelab kami. Kami bergelak ketawa setelah hampir setahun tidak bersua muka. Aku tersentak dengan cerita Afaff yang mengejek Akhi menangis pada malam aku pulang balik ke Kuala Terengganu setahun yang lalu. Dalam hati, aku meminta maaf atas perpisahan itu. Orang kata, setiap perjumpaan pasti ada perpisahan. Insyaallah, wajah-wajah kalian sentiasa tergambar jelas dalam ingatan aku.

Tidak cukup dengan teka-teki dan cerita, kami seperti dahulu, masih meneruskan pertandingan tradisi kami. Pertandingan badminton. Kali ini, hadiahnya coklat. Ternyata, kemahiran mereka semakin meningkat dengan usia mereka. Juga, terlibat sama, Danial, Ilam, dan Ayat yang baru pulang dari kampung. Alkis yang kini semakin tinggi, semakin banyak berceloteh. Sepetang itu, nama Uncle Li(aku), dipanggil berulang-ulang kali oleh anak-anak ini. Bagi aku, bisingnya mengganggu Naqib(2 bulan) yang ingin tidur. Kalian, Uncle Li yang hampir kehabisan tinta ini sememangnya merindui kalian. Sekalian yang menetap di keluarga NM Afaff.

Isnin, JAM 2100, 8 November 2010 bersamaan 1 Zulhijjah 1431H, aku menaiki kereta Yo untuk ke Hentian Putra dengan ditemani Abang Yun. Sepanjang perjalanan, kami bergelak ketawa setelah setahun tidak berdekah bersama-sama. Sebelum perjalanan ini lagi kami bergelak ketawa di rumah Abang Yun setelah selesai menjamah dengan selera hidangan hasil air tangan Kak Ina. Setahun rasanya begitu pantas berlari. Terima kasih kepada Abang Yun sekeluarga yang sudi menerima tetamu sekejap ini. Juga kepada Yo yang sudi menghantar betul di depan Hentian Putra. Jasa sekalian di Sg. Buloh sangat aku hargai. Insyaallah, ada rezeki ketemu lagi.

JAM 2200, perjalanan balik kelana sejauh dua Kuala dimulakan. Sepanjang perjalanan, memori di kelas Teori Sastera:Teknik Surah Yusuf, cerita dan teka-teki kalian anak-anak di Sg. Buloh serta ketawa yang berdekah memecah suasana bertamu ke villa NM Afaff, menari-nari di minda. Selain itu, minda juga ligat memproses bagaimana membuat lampu kecil yang dapat dikepit pada buku jika ingin membaca dalam bas pada waktu malam kerana lampu membaca dalam bas tidak boleh digunakan. Selain itu, minda juga memikirkan alat-alat bantu ketika terkandas sewaktu berkelana iaitu sebotol air minuman, kompas kiblat, dan lampu picit yang kecil. Aku mengingatkan alat bantu ini kerana teman yang kelana dari Tanah Merah ke Pasir Gudang semalam terkandas lama melewati waktu solat dan duduk memandang hutan hijau di seberang jalan. Sampai di Kuala Terengganu, aku merasai kembali musim tengkujuh pada waktu ini.

Tuesday, November 9, 2010

Masih mampu tersenyum....

Petang ini, aku kembali semula kepada teman aku yang kesunyian sejak beberapa hari. Sunyi setelah aku tidak datang menjenguk dirinya yang setia menunggu di meja menulis. Menunggu dan menunggu dalam bilik kecil ini, tiada alunan muzik Winamp, tiada petikan Microsoft Word, tiada “progress” atau “update” Microsoft Excel, dan tiada gelak ketawa berbunyi “klik” ketika fail-fail dokumen dibuka.

Walaubagaimanapun, teman ini tidak merajuk. Dia sedia mengalunkan muzik, membenarkan jari-jemari menari di atas pentasnya, dan dengan cergas membuka fail-fail yang aku ingini. Teman ini sentiasa bersedia menemani aku. Cuma aku yang tidak kisah dengan kesihatan dirinya. Tidak “update” dengan suntikan antivirus. Kau menanggung derita tetapi masih mampu tersenyum.

…………….Laptop ini banyak jasanya……………….

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
15 Syawal 1431H
24 September 2010

kelana sejauh dua Kuala...

Malam ini, rencananya menghabiskan malam di dalam bas yang menuju ke ibu kota, kota besar Kuala Lumpur. Tiketnya sudah disisip rapi di dalam beg duit. Pakaian yang sehelai dua cukup untuk rehlah sehari dua. Ada apa diri ini kelana sejauh dua Kuala? Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.

Sebenar maksud ingin menghadiri kursus teori sastera yang dikendalikan oleh syarikat penerbitan buku yang terkenal. Diri ini juga ingin mengisi profesion diri sebagai penulis sebagai profesion sampingan. Mana tahu, ada rezeki, tulisan yang diusahakan diri ini yang entah laku atau tidak untuk dijenguk masyarakat. Namun, yang penting usaha. Niatnya, ingin berkongsi ilmu kepada masyarakat. Maka, malam ini, langkah pertama digerakkan. Insyaallah, boleh.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
29 Zulkaedah 1431H
6 November 2010

Menghempas marah

Selewat petang, aku ingin menghempas marah. Hempasan yang hanya berdentum di dalam hati. Masih mampu mengawalnya daripada dimuntahkan keluar kerana mengingat pesan Nabi SAW, seorang yang kuat itu yang dapat menahan nafsu amarahnya.

Waktu yang tidak panjang untuk menurunkan hormon kemarahan kerana lafaz istighfar menyelimuti diri yang teramarah. Sayugia dilupakan konflik itu kerana lembaran baru masih banyak yang perlu disiapkan.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
29 Zulkaedah 1431H
6 November 2010.

Siang tadi

Siang tadi, bual bicara dengan orang berpengalaman meraih kata kunci kejayaan. Kata kuncinya PUTUS ASA. Kata kunci yang membuka kembali sejarah lepas untuk diteladani dan seterusnya mengali dalam sebab musabab masih tidak berjaya.

Sudah melangkah setapak ke hadapan, jika berundur dua tapak, merugikan masa yang setapak. Sudah melangkah setapak ke hadapan,jika berundur setapak, jangan berPUTUS ASA, kerana masih di tempat asal. Masih boleh cuba melangkah. Hulur kaki ke hadapan,dan teruskan berjalan……


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
28 Zulkaedah 1431H
5 November 2010

Kembali berlari

Malam ini, semangat yang hilang kembali datang menjenguk kalau-kalau diri masih sudi mengolah cetusan hati yang lama ditinggalkan. Ternyata, jari-jemari masih ghairah menari laju mengungkap kata-kata dalam lembaran ini. Terasa bangun mengagahkan diri menunjang wacana. Wacana minda yang memacu diri untuk terus berlari walaupun kepatahan idea mengorak langkah.



Kembali berlari, kembali laju, kembali pantas, kembali pada trek yang sedia dibina. Berlarilah selaju mungkin. Kerana, dalam berlari itu melepaskan apa yang terbuku dihati. Moga-moga,puas…….

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
25 Zulkaedah 1431H
3 November 2010

Friday, September 24, 2010

Merenung Bulan Purnama

Syawal masih lagi dalam suasana yang diraikan. Sudah masuk pertengahan bulan Syawal, di kala malam, bulan mengambang cantik penuh senyuman, tidak kedekut menyerlahkan sinar kepada sesiapa sahaja yang memandang.

Aku menulis coretan ini pada waktu petang kerana aku teringat, semalam, aku memandang bulan mengambang dengan penuh syukur. Begitu setiap kali pada pertengahan bulan, aku tidak akan melepaskan peluang mensyukuri nikmat penglihatan untuk merenung kagum dengan ciptaan dan kebesaran Allah SWT.

Merenung bulan purnama bukan kerana menunggu bulan jatuh ke riba, tetapi kerana kadang-kadang teringat wajah guru-guru yang pernah aku menguncup ilmu daripada mereka.

Aku masih terbayang memori pada bulan Syawal ini, diri ini ingin mencoretkan sedikit tentang pertemuan dengan Teacher Rohani, guru di Tingkatan Tiga, tahun 2000, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar. Sekarang nama sekolah sudah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali sejak tahun 2008.

Secara peribadi, aku lebih suka dengan nama sekolah yang pertama. Senang bercerita apabila orang bertanya, “Sekolah Mana?”, “Sekolah Bandor,” aku menjawab dengan penuh yakin. Boleh juga dikira, aku melangkah ke sekolah ini seorang diri. Maksudnya, mendaftar seorang diri. Umur ketika itu 13 Tahun. Tahun 1998.

Emak mengetahui pendaftaran sekolah dibuka setelah Mak Cik Nah(ibu Amri@panggilannya Meri) memberitahu, Amri dan abangnya pergi mendaftar ke sekolah hari ini. Abah pada waktu itu sedang bekerja.

Dengan sedikit duit yang diberikan oleh emak untuk membayar yuran, aku mengepit fail yang terkandung sijil-sijil dan terus sahaja membuat kayuhan basikal aku sehingga sampai ke sekolah. Waktu tengah hari, sesi pendaftaran di dewan telah lama selesai, aku yang berumur 13 Tahun ini belum mengetahui apa itu pejabat sebenarnya.

Melangkah sahaja ke pejabat, seorang cikgu bertanya, “Ada mende?” kira-kira lebih kurang begitu soalannya. “Nak daftar,” jawapan aku ringkas. Aku segera menghulurkan sijil-sijil aku. Cikgu perlu membuat semakan nama yang diterima masuk ke sekolah ini dulu sebelum menerima pendaftaran aku.

Pemberitahuan cikgu itu membuatkan aku tersentak. Semak nama dahulu? Kalau tidak diterima? Bagaimana ini. Tanpa pemberitahuan dahulu, aku sudah memandai-mandai pergi mendaftar sendiri.

Cikgu itu kembali. “Nama awak ada. Yurannya RM 150”. Fuhh…lega. Alhamdulillah. Setelah selesai urusan pendaftaran, aku pulang dengan kayuhan basikal yang lebih laju. Memberitahu kepada emak, sudah siap mendaftar. Tanpa mengira waktu panas tengah hari, di bulan puasa. Sampai di rumah, emak memberitahu cikgu sekolah rendah baru sahaja telefon, memesan supaya pergi mendaftar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar hari ini.

“Sudah balik cikgu. Terima kasih kerana mendidik saya selama di sekolah rendah,” aku berbicara di dalam hati.

Eh, sebenar tulisan ini ingin menceritakan memori beraya ke rumah Teacher Rohani, guru tingkatan tiga aku. Terbabas pula kisah diri aku mendaftarkan diri ke sekolah ini. Namun, di sekolah inilah titik pertemuan dengan Teacher Rohani. Mengayuh basikal dalam peristiwa Ramadhan sehingga menunggang motosikal untuk bertamu di bulan Syawal.

Syawal 5, 1431H. Selepas selesai menunaikan solat zohor di surau bersama Kerol dan Zaki, bunyi bingit ekzos motor kami kembali memecah suasana jalan raya yang tampak sunyi pada hari ini. Jalan Tok Adis Kuala Ibai ke Jalan Gong Tok Nasek.

Sebelum itu, kami, baru sahaja selesai menghadiri “naik rumah” Dr. Izzad@kami panggil Pok Jad di Taman Adis Indah. Pok Jad akan menimang cahaya mata tidak lama lagi. Doakan semoga semuanya selamat dan sihat. Rumah Pok Jad ini juga meriah dengan kehadiran teman-teman yang lain. Poji, Shahrir, Zarir, Duan, Pian dan rakan-rakan perempuan iaitu Sabrina, Dr. Fatimah dan kawan mereka(maaf, aku tidak sempat bertanya nama). Lupa, adik Sabrina yang aku tidak perasan sosok tubuhnya yang tenggelam di antara kakak-kakak mereka.

Rencana Kerol mahu ke rumah Teacher Rohani selepas ini. Hmm…. Teacher Rohani, sudah lama aku tidak bersua muka dan menyapa mesra. Kali terakhir sempat bertemu ketika Reunion tahun 2004. Rencana yang bagus. Aku dan Zaki turut serta.

Di rumah Teacher Rohani, ucapan salam kami disambut suami Teacher Rohani. Senyuman yang mengiringi pelawaan masuk mengagahi langkah kami yang segan bertamu ke rumah Teacher Rohani. Teacher Rohani sekeluarga baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur. Sibuk menguruskan cucu sulung mereka.

Sementara menunggu Teacher Rohani, perbualan mesra kami bersama suami Teacher Rohani mengisi ruang waktu. Sudah pasti soalan bekerja di mana harus dijawab. Zaki, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, yang sedang meneruskan pengajian Teknologi Pendidikan Elektrikal, sememangnya seorang yang penuh karisma. Bercakap tentang politik dan kepimpinan, aku kira Zaki mampu mengupas dengan baik isu-isu semasa. Aku hanya memasang telinga perbualan suami Teacher mengenai pentadbiran dan kepimpinan negara.

Kerol, sekarang bertugas sebagai jurutera Telekom Malaysia di Kuala Lumpur. Pertalian Kerol dengan Teacher Rohani dan Suami lebih rapat kerana ayah Kerol merupakan bekas pelajar mereka. Kerol boleh dikira pangkat cucu. Cucu? Bagaikan tidak percaya, Teacher Rohani tampak lebih muda dari usia.

Sementara menunggu kedatangan Sabrina, Dr. Fatimah dan kawan mereka, kami semua semacam membuka satu diskusi ilmiah tentang kepimpinan negara. Kelompok kami seharusnya menjadi pelapis yang dapat membawa masyarakat muda ke arah yang lebih baik.

Dalam waktu yang sekejap-lama, kehadiran tiga gadis beserta seorang si cilik yang comel(adik Sabrina) ini menyerikan lagi pertemuan hari raya di rumah Teacher Rohani. Sabrina dan Dr. Fatimah, merupakan kawan sekelas di tingkatan Tiga. Sebenarnya sudah menjadi kawan sekelas sejak di tingkatan dua. Selepas tingkatan tiga, kami semua bertebaran merasai pengalaman suasana kehidupan di sekolah ASRAMA. Harapnya tidak silap mengeja AsMaRa.

Seperti biasa, kalian harus menjawab soalan lazim bertamu ke rumah orang. Bekerja di mana. Aku mendengar teliti lontaran jawapan kalian. Sabrina, guru fizik di Sekolah Manir, dan Dr. Fatimah, doktor perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Susah-susah Teacher Rohani menyediakan karipap panas, tidak manis jika tidak merasa. Apa lagi, santapan daripada sediaan guru, jangan ditunggu. Insyaallah beroleh berkat. Dalam menjamu selera, sudah pasti suasana untuk berbual mesra dan bergelak ketawa lebih membugar. Dari aktiviti kerjaya sehingga menyentuh acara perkahwinan, lontaran pertanyaan, usik mengusik dan nasihat tersemat kemas dalam memori ini.

Acara orang dewasa, aku nampak adik Sabrina tampak bosan. Mukanya comel sudah mula tidak ceria. Kasihan. Pertemuan hari raya ini juga membawa perkenalan kepada kawan mereka di SESTER dulu. Hanya tahu dia seorang jurutera. Jurutera? Perkataan ini cuba aku kaitkan dengan kehidupan yang pernah aku tinggalkan. Aku tidak berminat cerita di sini.

Celahan soalan tahun ini siapa pula yang berkahwin menyukarkan sekalian yang bertamu untuk menjawab. Aku menjawab pantas, “Saya, Teacher. Tetapi saya sebut sahaja je ni. Tak tau bila,”

“Itukan doa. InsyaAllah,” jawab Teacher Rohani.

“Molek kita semua suatu hari buat gathering, jumpa semua, bawa anak, seronok dapat jumpa,” Teacher Rohani memberitahu secara bersahaja. Namun aku dapat merasai dalam lubuk hatinya ingin bersua muka pelajar-pelajarnya. Insyaallah, kita semua yang bergelar pelajar akan bertemu semula jika diberi kesempatan.

Sebenarnya bukan perbualan ini sahaja yang terngiang-ngiang di telinga aku sehingga saat ini, tetapi lain-lain perbualan ketika bertamu ke rumah Teacher Rohani masih segar dalam ingatan.

Petang yang beransur melabuhkan tirai ini, menunggu senja merangkak pulang untuk kelam malam mengisi sunnah alam, aku kira sampai di sini sahaja coretan pertemuan hari raya di rumah Teacher Rohani. Banyak lagi yang ingin ditulis, namun masa antara Asar dan Maghrib ini cukup-cukup untuk helaian ini.

Kelam malam aku harap tidak terlalu kelam kerana masih ada bulan purnama mungkin malam ini. Merenung bulan purnama bukan kerana menunggu bulan jatuh ke riba, tetapi kerana kadang-kadang teringat wajah guru-guru yang pernah aku menguncup ilmu daripada mereka.

Teringat juga wajah kawan-kawan yang mengenali diri ini………………….


Tinta yang ikhlas,
Fatihi Razali
15 Syawal 1431H
24 September 2010

Saturday, September 18, 2010

Memori Pertemuan Cucu Cicit Allahyarham Aki & Wan........

Malam ini, 4 Syawal 1431H, 13 September 2010, jam 8.05. Aku memulakan tarian jari-jemari di atas pentas papan kekunci laptop ini, beraksi menulis dengan desakan keinginan untuk bercerita tanpa rangka plot koreografi yang disusun, hanya bersulam memori sepanjang aku membesar sebagai keturunan Allahyarham Mohd Nor @ Mohammad(dikenali di Kg. Sega Lama sebagai Aki De Mohammad).

Desakan keinginan ini membangunkan tarian jari-jemari dengan asyik walaupun badan kira-kira letih setelah Aku, Abah, Mak, dan Pati baru sahaja tiba di teratak kami selepas menyelusuri perjalanan dari Jerantut ke Kuala Terengganu.

Perjalanan yang mengambil masa tujuh jam dengan kejuruteraan automotif Nissan Sunny yang aku tidak mengetahui tahun keluarannya . Tetapi, aku pernah melihat dalam filem hidustan 70 an, kereta ini merupakan kereta yang digunakan orang korporat pada waktu itu.

“Ah, tinggalkan cerita kereta ini. Ini cerita bukan perihal kereta, ini cerita tentang keluarga Allahyarham Aki & Wan,” aku mula kembali ke landasan penulisan ini.

“Tetapi, bukankah cerita ini tarian jari jemarinya tanpa rangka plot koreografi yang tersusun. Jadi, tulis sahaja,” aku melontarkan kembali hujah.

Membaca al-Quran.

Entah kenapa tiba-tiba amalan ini mengisi lembaran coretan ini. Sebenarnya aku tidak tahu bagaimana untuk menyusun naratif tentang amalan yang aku tinggalkan selama 3 hari 2 malam. Ya, 3 hari 2 malam, pakej percutian keluarga ke Pahang. Lokasi di rumah Pak Ngah dan Mak Busu, tentatifnya berjabat erat tali persaudaraan, mendakap kemas kasih sayang, menguntum senyuman ikhlas, dan mulut masing-masing berbicara dengan nada ceria dan riang.

Kerana berkelana, aku tidak mengisi beg buku dengan naskhah al-Quran. Aku takut aku tidak mampu menjaga adab-adab membawa al-Quran. Hanya setelah sampai di rumah, aku melepaskan kerinduan membaca al-Quran selepas solat maghrib.

Pada waktu ini juga, di Amerika, aku melihat dari saluran berita tentang isu sebilangan rakyat Amerika yang ingin membakar al-Quran kerana marah dengan masjid yang akan dibina di Amerika. Sungguh biadap golongan ini. Laungan demokrasi mereka hanya lakonan apabila melayan tuntutan orang Islam.

Mereka ini juga sebenarnya yang mencetuskan kekacauan. Kacau kerana jika tindakan membakar al-Quran ini diteruskan, rakyat dan tentera mereka di mana-mana sudut dunia tidak akan hidup tenteram. Dibayangi kebencian masyarakat dunia.

Sebenarnya, tulisan ini disambung pada pagi 5 Syawal 1431H, 14 September 2010. Desakan keinginan untuk menghabiskan cerita semalam dirampas oleh tayangan filem di kaca televisyen. Begitu kuat tarikan magnetnya sehinggakan tarian jari-jemari di atas papan kekunci laptop ini diberhentikan serta-merta tanpa notis.

Memulakan perlayaran cerita ini, aku tidak tahu di mana harus bermula. Sauh masih lagi belum dinaikkan setelah berlabuh sekian lama. Aku berfikir, bagaimana kalau aku bermula dengan perjalanan dari Kuala Terengganu ke RTP Klau.

Pada hari Sabtu, 2 Syawal 1431H, 11 September 2010, lebih kurang jam 9 pagi, kami sekeluarga iaitu Aku, Abah, Mak, Along & Yana, serta Pati bertolak ke RTP Klau, Raub iaitu rumah Pak Ngah.

Amin tidak turut serta kerana terpaksa bertugas. Kami bergerak dengan menaiki dua kereta. Satu Iswara BFS 6486 dan satu lagi Nissan Sunny BCC 29(Abang Ngah Jedi bertanya kepada aku, “no.plat ini tidak mahu dijual ke. Ada setengah orang minat no.plat yang nampak cantik,ada setengah orang tidak ambil kisah langsung”).

Perjalanan selama tujuh jam aku merasakan rugi jika tidak diisi dengan membaca. Lagipun, Abah masih ingin memandu. Buku On Writing karya Stephen King menjadi tatapan aku disamping buku nota untuk aku mencatat kosa kata.

Sebenarnya aku bukan pengemar buku-buku English, tetapi, untuk mengkayakan dan memperbaiki bahasa English aku yang masih berada tahap sangat lemah dan tidak memuaskan, maka dengan membaca buku-buku English, sedikit banyak mungkin boleh membantu.

Menatap perkataan-perkataan English, aku mengakui, aku seorang pembaca yang sangat lembap. Hanya sedikit lakaran cerita yang dapat aku tangkap maksudnya. Namun, aku mula membina persepsi setelah membaca karya barat ini. Persepsinya, cerita apa sahaja yang dilihat kemudian mengulas secara bersahaja.

Semua orang bosan dengan suatu yang lambat dan lembap. Cuba melihat gelagat manusia di depan komputer. Jika suatu yang dimuatturun berjalan perlahan atau aliran internet lembap, nescaya sumpah seranah tersembur ke muka komputer yang tidak ada perasaan. Aku juga tidak terlepas melakukan perkara yang sama.

Pembacaan buku On Writing yang lambat membuatkan aku tidak selesa. Aku terpandang buku Akhlak Bermuamalat di atas “dashboard” kereta. Ternyata, karya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ini menyegarkan jiwa diri aku yang terlibat dalam dunia perniagaan. Aku membeli buku ini setahun yang lalu dan aku meletakkannya di atas “dashboard” kereta untuk pembacaan pada waktu lapang.

Madah-madah hikmah tentang akhlak semasa melakukan urusan perniagaan membuatkan aku tidak jemu membelek dengan penuh teliti dan ghairah tanpa sedar aku menelan pesanan hingga ke mukasurat terakhir.

Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian 1, penulis menerangkan Prinsip Muamalat Islam dan Bahagian 2, Cara Muamalat Islam.

Islam begitu tegas dengan prinsip halal dan haramnya. Islam menghalalkan jual-beli tetapi mengharamkan riba. Islam melarang unsur Gharar, tipu daya, eksploitasi, perniagaan barangan haram, memonopoli untuk menaikkan harga. Sekalian larangan ini sebenarnya adalah untuk kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Akhlak yang baik, iman yang mengawal diri, serta ihsan dalam muamalat menjadikan suatu perniagaan itu berkat. Diri ini termotivasi ketika penulis membicarakan Berniaga: Sunnah Rasulullah SAW. Diketahui, akhlak Baginda SAW sangat terpuji.

Bahagian 2 buku ini mengupas Cara Muamalat Islam. Disenaraikan kupasan tentang kewajipan memberitahu kebaikan dan keburukan barang, hukum bersimpati kepada pelanggan, haram menyembunyikan kecacatan barang, larangan memalsukan barang, kewajipan memperelokkan serta meninggikan mutu barang buatan, hukum memberi hadiah untuk tarik pelanggan, hukum menggunakan duit loteri ataupun riba bagi membaiki jalan raya, berlaku jujur dalam timbangan, memberitahu harga semasa barang jualan, larangan mengeksploitasi dan merebut peluang yang orang lain tidak tahu, berniaga secara murabahah, adil dan ihsan dalam perniagaan, berhemat ketika mengambil untung, sanggup menanggung kerugian, musamahah semasa memungut balik harga, membayar balik dengan cara yang elok, menerima barang yang dipulangkan selepas membeli dan berihsan kepada orang miskin. Suatu panduan yang digariskan Islam. Sangat cantik.

Perjalanan yang menyelusuri Leburaya Pantai Timur, Karak, Bandar Bentong, memintas laluan ke RTP Klau tanpa melalui Bandar Raub dengan mengikut jalan Mempaga terasa tidak jauh kerana buku-buku ini sudi menjadi teman. Selesai buku Akhlak Bermuamalat habis dikunyah, aku menyambung kembali pembacaan buku On Writing.

Buku ini dipinjam dari Perpustakaan Negeri Terengganu. Dalam hati aku berdetik, sampai bila aku siap menghadam buku ini. Tempoh untuk peminjaman hanya selama sebulan dan boleh diperbaharui pula selama sebulan.

Lebih kurang jam 5 petang, kami sampai. Memasuki laman rumah Pak Ngah, ternampak Pak Cek sedang duduk di depan rumah.

“Pak Cek balik rupanya,”getus hati aku.

Melihat rumah Pak Ngah yang baru diubahsuai, terdetik perasaan kagum dengan binaannya. Binaannya melebar dan besar. Rumah Pak Ngah menjadi medan pertemuan bagi sambutan hari raya tahun ini.

Pak Cek & Mak Cek sekeluarga telah sampai ke rumah Pak Ngah sejak semalam.

Sedikit pengenalan mengenai keluarga Pak Cek & Mak Cek. Mak Cek ialah anak yang ke-9 daripada 10 adik beradik Mak. Bermula dari Mak Long, Pak Ngah, Mak, adik Mak(kurang diceritakan oleh sesiapa kerana kembali ke rahmatullah ketika lahir), Mak Tih, Pak Ndak, Mak Njang, Pak Chu, Mak Cek, dan Mak Busu. Mak Cek & Pak Cek sekarang menetap di Kampung Nibung, Kuala Berang, Terengganu.

Mereka dikurniakan 7 orang anak iaitu Nisah, Tikah, Siti, Aini, Aziz, Ina, dan Adik Lan.

Nisah berumur 23 tahun dan sedang bekerja di koperasi sekolah. Tikah berumur 22 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Pengajian Syariah di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah(KUDQI), Kubang Lembek, Kuala Terengganu. Selesai pengajian ini, InsyaAllah, Tikah akan melanjutkan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Indonesia.

Siti pula berumur 19 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran di kolej INSANIAH,Kedah selepas baru selesai memperoleh Jayyid Jidan Thanawi di Mahaad Darul Quran, Rusila, Marang Terengganu. Aini sekarang bersekolah di tingkatan empat, dan Aziz meneruskan pengajian pondok di tingkatan satu. Ina dan Adik Lan masih di sekolah rendah.

Aku mengagumi Nisah, seorang kakak sulung yang setia disamping keluarga. Selain itu, semangat Tikah dan Siti yang masih berjuang dalam medan pengajian adalah suatu yang membanggakan bagi aku. Ketiga-tiga orang kakak ini,InsyaAllah menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya.

Kita tinggalkan kisah Pak Cek & Mak Cek sekeluarga, kita teruskan cerita ketika kami sampai ke rumah Pak Ngah. Rumah Pak Ngah yang sedia meriah dengan keluarga Pak Cek& Mak Cek yang telah berkampung sejak semalam, kini masih mampu menerima pertambahan kunjungan daripada keluarga kami.

Khabarnya, keluarga Pak Tih & Mak Tih, keluarga Pak Busu & Mak Busu beserta Danial dan Kino dalam perjalanan ke rumah Pak Ngah. Begitu juga keluarga Pak Ndak & Mak Ndak dan pasangan yang ‘sporting’ Pak Chu & Mak Chu.

Tahun ini, kami semua satu keluarga Allahyarham Aki & Wan, berkampung di rumah Pak Ngah. Kami berkampung di rumah Pak Ngah kerana Wan sekarang tinggal di rumah Pak Ngah. Tahun-tahun sebelum ini, selepas Allahyarham Aki kembali ke rahmatullah, Wan tinggal di rumah Mak Njang di Jerantut.

Tetapi, tentunya kami semua keluarga Allahyarham Aki & Wan merindui suasana di teratak di Kampung Sega Lama. Pasti merindui. Sekarang, rumah itu hanya menyimpan memori lama beserta album-album gelak tawa yang melekat dalam setiap sudut rumah Allahyarham Aki.

Setibanya kami di rumah Pak Ngah, salam bersalaman dihulurkan, mengenggam erat kasih yang terbina sejak sekian lama, melepaskan rindu yang sekian lama terbuku dihati. Wan masih dalam keadaan sihat. Pak Ngah & Mak Ngah sekeluarga juga masih dalam keadaan sihat. Begitu teruja apabila aku melihat Alia, Daneisya dan Anis kini sudah membesar. Comel dan manja.

Sekilas tentang keluarga Pak Ngah & Mak Ngah. Tiga putera dan tiga puteri menjadi penyeri hidup mereka. Kakak, diikuti Kak Ngah Milo, Abang De Beh, Kak Tam Pepeh, Dodi dan terkahir Dollah, setia tersimpan memori ketika di Kampug Sega. Sekarang, Kak Tam telah berkahwin dengan Abang Nasrun dan dikurniakan dua orang puteri iaitu Alia dan Anis. Kak Ngah Milo pula telah berkahwin dengan Abang Najib dan dikurniakan seorang puteri bernama Daniesya.

Dua orang dara telah bergelar isteri dan ibu, hanya tinggal lagi Kakak. Aku doakan Kakak dipertemukan jodoh yang baik dan sentiasa bahagia. Sifat rajin Kakak sememangnya wajar dicontohi. Beh, Dodi dan Dollah, tiga jejaka yang cukup aku kagumi dengan kematangan perwatakan mereka. Teringat ketika usia kecil, bergelak ketawa ketika mengikuti rombongan perkahwinan Pak Chu ke Temerloh. Bukan sahaja memori yang ini, tetapi memori lain juga masih sedia dipaparkan pada skrin bayangan.

Hidangan di rumah Pak Ngah adalah suatu yang menyelerakan, Lotong. Jarang sekali aku dipertemukan dengan hidangan yang hebat ini. Aku tidak menunggu lama untuk menyantap hidangan tatkala pinggan dan sudu mendarat ke meja. Ditambah dengan sambal udang, fuh…..dua tiga pinggan masih mampu memenuhi tangki perut yang tidak terisi sepanjang perjalanan.

Seperti biasa, aktiviti utama ketika berjumpa ramai-ramai, bersembang tentang pekerjaan, tempat tinggal, menjadi topik yang mengeratkan ikatan persaudaraan.

Dalam tempoh yang tidak lama, rumah Pak Ngah sekali lagi meriah dengan kehadiran Danial, Kino, Pak Busu, Mak Busu dan Amin. Mereka bertolak dari Jerantut. Hampir setahun juga kami semua tidak berjumpa. Kali terakhir ketika perkahwinan Kak Julie. Di sebalik sapaan mesra Danial & Kino dengan wajah yang ceria, ada cerita yang kurang ceria berlegar .

Suatu cerita yang wajar dicari titik tengah semoga ikatan keluarga kembali bertaut. Aku doakan Danial dan Kino tabah menghadapi dugaan ini. Aku berharap, semua pihak mempertimbangkan masalah secara adil dan rasional.

Danial dan Kino, dua orang anak muda yang tabah, sudah pasti aku mengagumi mereka kerana mereka masih lagi ceria walaupun Allahyarham Pak Njang sudah tidak menemani mereka di teratak mereka, Jerantut. Hanya Mak Njang yang menjadi tempat mereka memadu kasih.

Namun, insiden yang berlaku kebelakangan ini bagaikan begitu tidak percaya. Danial dan Kino bersendirian berlayar tanpa angin tiupan semangat daripada ibu mereka. Aku tidak mahu untuk mengulas panjang perihal mereka. Begitu aku doakan semoga semuanya kembali bersatu. Himpunan ini bagaikan terasa sunyi tanpa kehadiran Mak Njang yang semua sedia maklum dengan nada not yang tinggi memecah suasana. Aku percaya, Danial, seorang graduan universiti masih mampu bertindak rasional dalam menghadapi dugaan. Begitu juga Kino, pernah mengucup ilmu di taman bumi anbiya, sudah sebati madah-madah hikmah kehidupan.

Pak Busu, Mak Busu dan Amin, aku begitu merindui mereka. Pak Busu dengan gaya santai, Mak Busu dengan gaya yang suka bergurau, seringkali menceriakan suasana perbualan. Ada sahaja yang mencuit hati. Amin, sepupu paling bongsu aku kira. Hmm…a’ah…paling bongsu. Aktif, cergas, suka bercakap dengan orang yang boleh rapat dengannya.

Pengemar siri animasi Upin & Ipin ini, jika bercakap tentang cerita Upin& Ipin, setiap patah perkataan dialog yang dilayarkan pasti tidak tertinggal. Tepat dan betul. Sekarang sudah berusia 5 tahun. Seingat aku ada gelaran yang diberikan oleh Allahyarham Aki kepada Amin. Aku sudah lupa.

Tidak lama duduk bersembang, sebuah kereta datang bertamu. Sebuah keluarga. Pak Busu & Mak Busu memberitahu itu Hadi. Hadi?...Ya, Hadi. Bakal suami Kino. Oh….tidak aku ketahui selama ini. Mereka bakal melangsungkan perkahwinan seingat aku yang diceritakan Kino ialah selepas Hadi habis KPLI. Aku doakan mereka selamat ke jinjang pelamin dan sentiasa bahagia.

Petang yang sekejap memberi peluang kami semua merasai nikmat pertemuan kini bergerak perlahan menutup tirai hari siang. Malam yang damai bakal lagi menyusul ditemani bulan yang tidak lokek menguntum senyuman cahaya indah, aku kira cuba meraikan sekalian kami yang berkampung di rumah Pak Ngah.

Malam yang penuh warna-warni ragam pertemuan, bergelak ketawa, bermain mesra, si cilik Alia, Anis dan Daniesya yang comel dan manja, aku hitung mungkin dalam minda mereka berlegar pertanyaan lebih lanjut siapa gerangan mereka yang ramai ini bertandang ke rumah Aki mereka.

Sambil bermain, sambil memerhatikan satu persatu wajah yang tidak berapa dikenali, maaf, baru dikenali, mengecam pasti wajah-wajah keturunan keluarga Moyang mereka, Allahyarham Aki & Wan.

Kunjungan Pak Ndak, Mak Ndak dan Mustaqim melengkapkan lagi suasana malam di perkampungan RTP Klau. Agak lama tidak bersua dan menyapa, sudah pasti pertemuan di hari raya ini mendekatkan yang jauh, dan mengeratkan yang terpisah.

Namun, tanpa kehadiran Nabil menyebabkan hati tertanya-tanya tentang keadaan dan perkembangannya. Di khabarkan oleh Pak Ndak, Nabil dalam keadaan baik dan sihat. Sekarang sedang menjalani praktikal. Tidak dapat datang kerana sibuk beraya bersama rakan-rakan. InsyaAllah, jika ada lagi kesempatan, boleh berjumpa lagi. Mustaqim, sekarang sudah meningkat remaja. Di kalangan kami ada yang perasan, gaya dan sosok fizikal Mustaqim sama dengan Abang De Nizam. Bahasa pasarnya ‘sebijik’.


Sebelum kunjungan Pak Ndak, Mak Ndak dan Mustaqim, keluarga Pak Tih & Mak Tih tiba terlebih dahulu. Pak Tih & Mak Tih, seperti biasa, ada sahaja buah tangan daripada rumah mereka. Diserikan lagi dengan dua orang puteri kesayangan mereka,Firdaus dan Tasnim.

Pada bulan Ramadhan, Tasnim meminta untuk dipinjamkan buku rujukan fizik dan kimia. Kebetulan, di atas meja menulis aku tersusun dua buah buku ini. Aku membelek semula dua cabang ilmu ini supaya tidak hilang dari kamus minda aku. Setelah mendapat mesej daripada Tasnim, buku ini aku masukkan dalam beg buku untuk dibawa ketika bertandang ke rumah Pak Ngah. Alhamdulillah, buku ini berjaya sampai ke tangan pejuang ilmu, Tasnim.


Firdaus, antara sepupu aku yang paling rapat. Graduan Universiti Yarmouk, Jordan. Aku suka berkongsi impian dengan Firdaus. Berkongsi pembacaan, berkongsi pandangan. Pertemuan kali ini sempat aku meminta pandangan Firdaus. Aku ingin untuk membuat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang lain. Tetapi tidak pasti, antara Bahasa & Sastera atau Ekonomi. Firdaus memberikan pandangan adalah lebih baik mengambil ekonomi-kewangan. Suatu yang menarik aku kira.

Pertemuan kali ini juga aku dapat meminjam beberapa buah buku daripada Firdaus. Aku juga mengusik jika buku-buku ini diberi terus kepada aku untuk menambah koleksi buku di perpustakaan aku. Firdaus akan bertugas ke JAKIM. Jadi, kewangan untuk membeli buku tiada masalah.

Malam yang panjang, bagaikan menunggu seseorang. Ya, memang menunggu seseorang, menunggu ketibaan pasangan ‘sporting’, Pak Chu & Mak Chu. Penantian yang tidak lama, wajah ceria Pak Chu & Mak Chu menyapa mesra bertamu dan berkampung di sini. Sejak dulu lagi, aku tertarik dengan gaya selamba dan santai Pak Chu. Kalau cerita tentang hiasan hantaran perkahwinan, Mak Chu ialah pakar yang sedia membantu. Sentuhan tangannya begitu berkualiti dan pasti menawan.

Malam yang panjang ini juga, kadang-kadang buku Rindu Bau Pohon Tin karya Hasrizal Abdul Jamil menjadi teman tatkala mengantuk. Mengantuk selepas mengharungi perjalanan 7 jam. Mata yang mengantuk kembali cerah ketika menatap buku ini. Bukan sahaja buku ini, jika aku membaca, mata seolah-olah disalur tenaga baru sehingga asyik tenggelam dalam bait-bait perkataan yang terungkap dalam buku.

Buku Rindu Bau Pohon Tin melakarkan cerita dan pengalaman Ustaz Hasrizal sepanjang berkelana di bumi Jordan dan Qatar. Ustaz Hasrizal yang aku kenali melalui blognya Saifulislam.com, setiap wacana yang dikarang melalui blognya menjengah realiti kehidupan. Buku ini pasti tidak mengecewakan si pembaca jika ditatap dengan hati yang terbuka.

Travelog yang merakam peristiwa Ramadhan, bahasa, sejarah, pahit getir di Jordan. Semuanya diadun untuk diambil ibrah masam manisnya dan pahit masinnya kehidupan pengembara.

Buku ini juga merakam travelog di Qatar. Aku tertarik dengan rencana penulis yang menghormati pemimpin yang mempunyai visi yang jelas. Pemerintah Dubai, Mohammmad bin Rashid al-Maktoum sendiri menulis buku. Ada idea dan wacananya. Ada pemikirannya.

Sebelum Pak Busu, Pak Ndak, Mak Ndak dan Mustaqim pulang ke kediaman mereka, beberapa keping gambar potret ‘dipukul’. Pukul gambar atau ukur gambar? Aku sendiri keliru dengan istilah orang dulu-dulu. Sekarang, bahasanya tangkap gambar. Semua berhimpun dan bersusun dengan baju tidur atau baju malam masing-masing, senyum ketika cahaya flash kamera memancar, isyarat gambar diabadikan. Suatu yang mencuit hati dengan baju malam masing-masing. Tidak perlu bersiap mengenakan baju yang lawa-lawa untuk mengabadikan gambar yang indah ini.

Namun, masih ada kekurangan pada gambar ini.
Apa yang kurang? Kurang seseorang.
Siapa?Terus terang, Mak Njang.

Mengenangkan tidur kami yang bersusun seperti di rumah Allahyarham Aki dahulu, aku dapat rasakan dengusan dan hembusan tidur yang nyenyak, entah mimpi apa sekalian yang tidur. Mungkin mimpi indah sebuah pertemuan.

Sunnah alam, malam berganti siang. Pagi yang harmoni. Ayam di atas dahan pokok berkokok bersahut-sahutan. Bau pagi di kampung, lain baunya. Seperti bau di rumah Allahyarham Aki di Kampung Sega Lama. Pagi begini, buah rambutan nampak lebih merah.

Pagi ini juga menyaksikan kepulangan Kak Ngah Milo, Abang Najib dan Daniesya ke kediaman mereka di Balakong rasanya. Betul ke?Aku tidak pasti. Enta bila dapat berjumpa kembali Daniesya yang comel dan manja. Entah-entah sudah besar remaja.

Sebelum keluarga Pak Cek & Mak Cek pulang ke Terengganu, sedikit buah rambutan dikait sebagai tanda ingatan dari RTP Klau. Mak Cek, pada usia yang sebegini masih mampu memanjat pokok. Tinggi juga. Aku sendiri tidak berani memanjat setinggi itu. Teringat cerita tentang zaman kanak-kanak adik beradik Mak ini. Pada zaman kanak-kanak, Mak Cek adalah juara memanjat.

Beh dan Kakak yang sudah biasa mengait buah rambutan masih mampu bertahan mendongak sambil mengait buah rambutan. Aku, menyerah kalah awal-awal lagi. Penat.
Penat yang membawa ke terlelap di depan TV. Tidak sedar yang keluarga Mak Cek telah bertolak balik ke Terengganu. Bukan sahaja keluarga Mak Cek, kepulangan Danial, Kino, Mak Busu, dan Amin ke Jerantut juga tidak aku sedari. Along & Yana serta Pati turut serta ke rumah Mak Busu.


Anis baru pulang dari klinik. Kasihan kepada Anis yang demam. Tetapi masih aktif. Masih cergas. Semoga cepat sembuh ya Anis.

Selepas Zohor, Aku, Abah dan Mak bertolak ke Jerantut untuk bermalam pula di rumah Mak Busu. Terasa berat hati untuk pulang. Pertemuan yang sekejap, belum puas melepas rindu kepada orang Pahang. Lambaian tangan menjadi saksi terakhir pemergian kami. Sesungguhnya aku merindui perkampungan semalam hingga ke saat ini.

Dari RTP Klau, melalui Sungai Ruan, singgah sebentar di Jeruas menjenguk keluarga Wan Ngah. Menyusuri jalan di Sungai Ruan, Abah menceritakan zamannya bekerja Telekom dan bertugas di kawasan ini sekitar tahun 70an. Orang Cina sekitar Sungai Ruan ini kebanyakannya komunis pada suatu masa dulu.

Tidak sempurna kembara ke Pahang jika tidak menjenguk rumah peninggalan Allahyarham Aki. Kebetulan Along & Yana serta Pati juga berada di rumah yang menyimpan begitu banyak kenangan ini. Aku menceritakan kepada Yana, di kawasan rumah inilah tempat kami bermain waktu kecil-kecil dahulu. Nampaknya pokok rambutan masih lagi berbuah ranum. Masih merah. Masih banyak. Tidak terusik. Tidak terkait. Rumah yang menyimpan seribu makna, seribu nostalgia, seribu ikatan.

Selesai menatap puas sekitar rumah ini, sebenarnya tidak puas, tetapi kerana perlu meneruskan kembara ke Jerantut, perlu singgah ke rumah Mak Long & Pak Long. Seperti biasa, rumah Mak Long & Pak Long penuh dengan cucu-cucu yang ramai. Aku tidak mengenal sepenuhnya anak-anak sepupu aku ini. Hanya mengingati beberapa orang. Aku memohon maaf kerana kelemahan diri aku yang tidak pernah aku baiki, maksudnya cuba mengingati satu persatu nama kalian. InsyaAllah, wajah kalian yang comel melakar indah dalam memori ini.

Abang Ngah Jedi & Kak Ngah, Abang De Nizam & Kak De, Abang Tam & Kak Tam, Kak Su & Abang Su, Kak Chik & Abang Chik, Kak Ndak, Kak Juli & Abang Hilmi, Kak Cumi, dan Kak Jemi, bertemu kita pada raya tahun ini. Cuma keluarga Abang Tih & Kak Tih yang aku tidak dapat bersua muka. Doanya semua sihat dan baik.

Pertemuan yang sekejap tidak dapat berbicara panjang. Kami meminta diri untuk meneruskan kembara ke Jerantut. Baru sahaja kami hendak melangkah pulang, rezeki kami bertemu Mak Njang dengan keluarga barunya datang berkunjung. Aku tidak dapat berbicara panjang dengan Mak Njang, hanya doa semoga semuanya selamat, bertutur ikhlas sambil bersalam meminta diri.

Perjalanan ke Jerantut terisi dengan sambungan pembacaan buku Rindu Bau Pohon Tin. Kami tiba di rumah Mak Busu sekitar jam 6 petang. Bermalam di rumah Mak Busu, pasti tidak lupa dengan tempoyak Mak Busu yang begitu sedap. Sangat menyelerakan.

Semalam aku di rumah Mak Busu dihabiskan dengan bermain bersama Amin. Amin sekarang sudah berusia 5 tahun. Semakin pandai. Semakin bijak.

Seorang anak, ikatan bersama ibunya sangat kuat. Ingatkan dapat tidur sampai ke esok bersama Amin, rupa-rupanya Amin kembali ke ibunya dan terus tidur disamping ibunya hingga ke hari esok. Begitulah kenangan bermalam di rumah Mak Busu.

Tengah hari, lebih kurang pukul 12, kami semua bertolak balik ke Terengganu. Sekali lagi, lambaian tangan menjadi saksi terakhir pemergian kami. InsyaAllah, kalau ada kesempatan dan umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi.

Berhenti di R&R Temerloh, aku sempat membeli buku Secangkir Teh Pengubat Letih karya Hasrizal Abdul Jamil buat menambah koleksi bacaan aku dan buku cerita kanak-kanak untuk dihadiahkan kepada Yaya( anak asuhan Mak di rumah).

Sepanjang perjalanan, buku Murabbi Cinta karya penulis yang sama mengisi waktu perjalanan sambil kadang-kadang memori mengimbas kembali senyuman, gelak ketawa dan bicara semua yang berkampung di rumah Pak Ngah.

Raya tahun ini sungguh bermakna bagiku. Entah bila kita dapat bersua kembali. Secebis coretan ini merakam secara bersahaja cerita selama berkampung di rumah Pak Ngah. Tanpa plot yang disusun. Maaf kalau cerita ini tidak lengkap. Tidak betul laras bahasanya. Hanya menulis dari hati nurani. Menulis dalam beberapa hari dari bilik kecil, Kuala Terengganu.


Tinta yang ikhlas,
Fatihi Razali
Siap menulis pada malam 9 Syawal 1431H
Bersamaan 18 September 2010
Kuala Terengganu.

Wednesday, August 11, 2010

Malam Pertama

Alhamduillah. Syukur. Sangat bersyukur sebenarnya. Terasa kerdil dengan pemberian Allah SWT yang masih memberi pinjam nyawa dan akal untuk menghirup udara malam pertama Ramadhan al-Mubarak. Kerinduan yang dipendam selama setahun dan akhirnya diberi peluang mendakap kemas Ramadhan al-Mubarak. Allahu Rabbi.

Fenomena orang yang terpisah, apabila berjumpa kembali, rembesan air mata menjadi acara utama. Begitu acaranya apabila terdengar frasa Syahru Romadhona(ila akhiri ayat) dalam bacaan qiam berdiri melengkapkan solat. Air mata bergenang menakung berat di kelopak mata, dan akhirnya tertumpah mengalir perlahan di dataran pipi. Masih diberi peluang kesempatan semalam bulan Ramadhan. Entah Sahur nanti masih berpeluang menjamah sunnah Rasulullah saw. Allahu Rabbi.

Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat paling besar yang Engkau bahagiakan ke atas diriku, nikmat Islam dan Iman. Alhamudillah.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
Malam pertama Ramadhan 1431H
11 Ogos 2010.

Sintesis

Sintesis dalam orbit sains melingkar tindakbalas paduan atau campuran bahan-bahan untuk menerbitkan hasil bahan lain yang didambakan walaupun terpaksa menempuh suhu yang panas dan tekanan yang tinggi. Sintesis yang cergas selalunya dimangkin oleh katalis yang tahan kalis dalam dunia suhu dan tekanan yang tinggi. Tindakbalas yang dipercepatkan memintas masa lazim proses.

Mengolah kehidupan dalam persamaan sintesis, begitu banyak rencah dan ramuan cabaran yang berpadu seterusnya bertolak-tolak cuba menjadikan diri tidak homogen.Untuk itu, katalis kadang-kadang menjadi teman untuk berbicara mangkin dengan nada yang semangat. Sintesis kejayaan sama ada cepat atau lambat, ianya sentiasa ‘menghasilkan’ sebagaimana simbol anak panah(menghasilkan) dalam persamaan sintesis.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
23 Syaaban 1431H
4 Ogos 2010

Momentum

Perkiraan yang selalu menjadi perbualan tentang sesuatu yang memberi impak ialah momentum. Kadar perubahan momentum menghasilkan satu daya. Ironi sesuatu objek apabila dikenakan daya boleh membuatkan objek itu merasa apa itu makna impak. Sama ada impak positif atau impak negatif, impak maksimum atau impak minimum, bergantung kepada daya yang menghentamnya.

Mahu melihat impak yang besar dalam pencapaian ialah daya usaha yang tunjangnya momentum jasad yang bergerak. Jika statik pada kedudukan yang sedia pegun atau berselimut dalam kepompong, maka tiada daya yang terhasil. Daya memerlukan momentum yang sentiasa menujah. Menujah laju dan memecut pantas. Impaknya besar.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
28 Syaaban 1431H
9 Ogos 2010

Lemas

Sebaik-baik bagi yang ingin terjun ke sungai, tasik, laut atau kolam, ilmu berenang itu sedia tersemat dalam diri supaya tidak lemas tenggelam ke dasar. Tetapi, jika tidak pandai berenang, diri ini pada fitrahnya sudah boleh terapung kerana pengalaman kita dalam kandungan selama sembilan bulan, tidak pernah lemas. Benar, ketumpatan kita lebih rendah, maka boleh terapung. Tetapi, bagaimana perasaan panik boleh melemaskan diri?

Begitulah citra kehidupan. Untuk terjun ke suatu bidang, ilmu bidang itu harus dipegang pada kedudukan manusia pembelajar. Asasnya dipelajari, selok-beloknya diketahui, ramuannya dirasai, tipsnya dipetik dan sekalian yang berlegar dalam konteks ilmu, seharusnya belajar dulu. Boleh juga terus terjun, tetapi lemas menjadi pengajaran yang berguna. Lemas itu juga ilmu.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
28 Syaaban 1431H
9 Ogos 2010

Inovasi

Inovasi yang tercipta atau dicipta berbekalkan semangat optimis mampu mencelikkan mata yang terbangun dan takjub melihat hasil kerja yang ghairah. Usia bukan penghalang, tetapi usia mematangkan jiwa yang membangun. Tidak kira si cilik atau si tua, inovasi yang dipaparkan kepada umum mendorong manusia lain untuk melakukan inovasi. Paling kurang kenal apa itu inovasi.

Inovasi tidak hanya menunggu di stesen sains, tetapi sentiasa meruap dan menyerap di setiap pelabuhan kehidupan. Inovasi itu teruja berlepas ke angkasa, suka menyelam ke dasar laut, lancar bergerak di lebuhraya, merebak secara semesta dengan bernafaskan bahasa yang indah, sikap yang cemerlang dan ilmu yang bermanfaat.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
21 Syaaban 1431H
2 Ogos 2010.

Formula

Penyelesaian biasanya menagih satu formula yang disusun hasil analisis dan kajian secara holistik. Satu rumus yang tuntas memerlukan pekali-pekali atau faktor-faktor yang kukuh dalam menyusun baris persamaan. Metodologinya dikaji dan data keputusannya diolah untuk membuktikan hipotesis formula.

Balada mencari ramuan untuk menyiapkan formula ini ada polemiknya, korelatif antara simbol dan falsafah, tema dan persoalan, optimis dan pesimis serta pro dan kontra. Formula ini seharusnya masuk dalam kesedaran jiwa yang meluahkan kebenaran dan mengejutkan minda yang selama ini tidur. Lengkingan-lengkingan formula ini mengetuk hati yang kecil untuk menyimpulkan, ia sesuatu yang boleh dirasai nafasnya, walaupun tanpa melihat struktur jasadnya.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
22 Syaaban 1431H
3 Ogos 2010

Buntu

Kebelakangan ini diri begitu bingung. Bingung bukan kerana masalah yang datang menerjah, tetapi bingung kerana buntu untuk menulis coretan minda. Gelap, bagai keputusan bekalan elektrik. Buat masa ini, tiada isu yang boleh dicoretkan dalam ruangan ini. Ketahui sendiri, mana mungkin mentol menyala jika bekalan elektrik terputus. Kecuali jika ada sumber lain umpama bateri

Namun, bukankah buntu juga boleh dijadikan tajuk untuk mengisi ruangan ini. Ya, buntu. Ataupun mati akal. Tiada idea. Tiada jalan keluar. Jalan mati. Semuanya sinonim dengan frasa buntu. Ah! Usah dipedulikan berapa banyak frasa sinonimnya. Sebenar yang ingin diketahui ialah bagaimana untuk berjalan dalam waktu buntu ini. Firasat sendiri, jika buntu datang membuku dalam akal fikiran, seterusnya mengunci pergerakan tindakan, sayugia hati ini mengintai-ngintai punca cahaya. Pergilah kepada cahaya yang dituju itu. Insyaallah, pencerahan minda kembali membugar jiwa, melantun semangat, dan mengekspresi diri ke arah yang lebih baik.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
Malam 29 Syaaban 1431H
9 Ogos 2010

Wednesday, July 28, 2010

besar kepada kecil

Hari ini, ilham yang boleh dikongsikan datang menjengah ke dalam kepala minda. Ideanya bersumber fungsi biologi badan manusia. Nutrisi seperti karbohidrat,protein dan sebagainya yang masuk melalui organ dalam badan manusia dipecahkan kepada unit asasnya untuk diserap ke dalam saluran darah. Kalau protein, unit asasnya asid amino, karbohidrat unit asasnya gula, semuanya berpecah untuk diselesaikan oleh bahagian badan yang bertanggungjawab. Gabungan unit-unit kecil ini mengagahkan fizikal dan menstabilkan keseluruhan sistem badan.

Begitu juga apabila berhadapan suatu perkara yang besar. Perkara yang besar ini dipecahkan kepada perkara yang kecil-kecil. Perkara yang kecil ini diambil peranan oleh badan-badan yang bertindak. Penyelesaiannya daripada besar kepada kecil, tindakannya daripada kecil kepada besar. Suatu keadaan timbal balik yang harmoni. Sudah tentu matlamatnya daripada kecil kepada besar.


Di sebalik teori sains itu, mungkin boleh diintai kaedah kehidupan. Tetapi perlu diakui, sesuatu kejadian yang diciptakan oleh Allah itu sangat hebat. Teori sains hanya menyokong. Merenung kejadian di hadapan mata, kalimah syukur yang terpancul di mulut, merendam di hati.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
16 Syaaban 1431H
28 Julai 2010.

Ulang...


Dua hari berlalu dengan suatu percubaan yang boleh dikira baik pada pandangan diri, entah kalau daripada pandangan orang yang biasa melakukannya memandang masih agak jauh. Namun, tidak salah mencuba dan tidak salah bermula dengan sedikit mengikut kemampuan diri. Sebenarnya cerita ini berkisah apa?




Cerita ini berkisah menghafaz. Dulu, diri masih teringat kaedah menghafaz yang diterangkan oleh ustaz di sekolah lama. Ulang bacaan satu ayat sebanyak 40 kali. Kemudian, mengulang hafazan satu ayat tadi sebanyak 40 kali. Tidak perlu tergopoh-gapah untuk menghabiskan bacaan dan hafazan. Dalam perjalanan ke sesuatu destinasi, cuba ulang hafazan. Dalam solat, ulang hafazan selepas al-fatihah. Ketika melakukan aktiviti juga, hafazan tadi diulang. Ulang,ulang dan ulang. Insyaallah, berjaya. Berdoa semoga Allah memberi taufik dan hidayah.


………teka-teki………
“Tulang buang ‘T’ jadi apa?”…….. “ulang”
“Tulang buang ‘T’ jadi apa?”…….. “ulang”
“Tulang buang ‘T’ jadi apa?”…….. “ulang”



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
15 Syaaban 1431H
27 Julai 2010.

Tuesday, July 27, 2010

Siri Bedah Buku- Biar Kecil Asalkan Berhasil, Dato' Dr. Rusly Abdullah

Menceburi bidang keusahawanan tidak semudah memandang usahawan yang sedang menjalankan jual beli. Entah apa bebanan dan cabaran yang ditanggung usahawan itu. Bagaimana mereka bermula? Apa caranya? Semua itu berlegar dalam minda diri ini yang berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan. Selain meminta pendapat, diri ini juga sibuk membelek buku-buku yang boleh diambil tips untuk dijadikan panduan.



Diri ini telah dua kali khatam membaca buku Biar Kecil Asalkan Berhasil, karya Dato’ Dr. Rusly Abdullah. Penulis mencanangkan idea berniaga bermula dengan perniagaan kecil tanpa perlu berhutang. Usahakan selagi boleh walaupun kecil. Biar kita digelar penjaja jalanan yang tiada status, tetapi memegang sendiri kuasa kewangan tanpa terikat dengan ahli lembaga pengarah, tanpa berangan mendapat pulangan besar dalam pelaburan yang indah khabar dari rupa.


Kaedahnya, bermulalah dengan apa yang ada dan tidak perlu menagih kesempurnaan sebelum mula berniaga. Jiwa yang besar, mampu mengorak langkah ke hadapan. Sediakan tabung selesai berniaga yang mana siap membahagi modal, simpanan, kegunaan diri dan keluarga, zakat dan infak, pembesaran perniagaan dan melunaskan hutang. Walaupun kuantitinya kecil-kecil, tetapi berhasil. Daripada besar akhirnya bubar.


Idealistik perlaksanaannya dan mampu memberi semangat kepada pengusaha jalanan atau kecil untuk terus maju dan maju. Terlupa, buku ini belum dipulangkan kembali kepada sahabat yang turut sama terjun ke bidang keusahawanan.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
14 Syaaban 1431H
26 Julai 2010

Monday, July 26, 2010

Hari ini belum buat lagi.....

Rutin harian selalunya berjalan lancar seperti biasa. Setiap hari, produksi tidak ketandusan idea untuk mengutarakan secebis nukilan yang merupakan ekspresi bagi apa yang tergambar dalam minda. Ada saja tajuk yang ingin dikarang dan diolah dalam sintaksis patah perkataan. Biasanya berkisar interpretasi mengenai horizon yang ditempuh seharian.



Mengisi fragmen nukilan kali ini bertajuk ‘Hari ini belum buat lagi…’. Skopnya menyentuh komposisi kehidupan yang biasa dipraktikkan sehari-hari. Monolog “Hari ini belum buat lagi’ tiba-tiba menyedarkan jiwa ketika fikiran mula teringat apa yang belum dibuat. Kadang-kadang terlupa dek kesibukan. Selalunya membaca helaian al-Quran waktu ke-sekian. Selalunya memberi makanan pada binatang peliharaan. Selalunya menulis teks. Selalunya minum air kegemaran. Selalunya membaca buku. Selalunya itu dan ini. Tetapi ‘Hari ini belum buat lagi….’


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
14 Syaaban 1431H
26 Julai 2010

Bertukar kebiasaan atau beralih posisi

Bertukar kebiasaan atau beralih posisi, memerlukan satu tekad jitu yang wujud antara keberanian dan takut-takut, serta mungkin antara betul atau tidak. Minda yang telah diprogram agar tidak lari daripada kebiasaan agak mengikat diri untuk statik pada keadaan yang ada. Begitu sukar untuk memecahkan bingkai kerangka minda yang telah siap dipateri kukuh.



Eksperimen hentaman jiwa yang mencuba dalam keadaan terpaksa berjaya memecahkan bingkai kerangka minda tadi. Perbincangan keputusan ini menghurai teori bahawa bertukar kebiasaan atau beralih posisi mungkin dapat dilakukan dengan berani mencuba walaupun dalam keadaan tiada persediaan dan seribu kekurangan. Persediaan yang kosong dan kekurangan yang tak tertampung boleh dihadapi dengan buah-buah cadangan yang diutarakan sepanjang jalan beralih posisi iaitu melihat papan tanda pandangan-pandangan dan berkongsi kekurangan dalam kebersamaan menuju kejayaan.


Walaubagaimanapun, beralih ke suatu posisi yang sangat besar, teori ini mungkin tersasar daripada realiti. Perlu persediaan khusus. Mana mungkin orang terjun terus ke dalam sungai kalau tidak pandai berenang. Namun, kalau beralih posisi dalam konteks mencuba daripada tidak suka membaca kepada membaca, selalu menjadi penyerang kemudian menjadi penjaga gol, dan mana-mana cerita seperti ini, maka eksperimen ini teruji teorinya.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
13 Syaaban 1431H
25 Julai 2010

Friday, July 23, 2010

Siri Bedah Buku-Dua Dunia, Anis Sabirin

Malam ini, selesai sudah membaca travelog seorang wanita gigih dan semangatnya sekeras besi waja yang telah mengharungi suka duka di negara gergasi dunia, Amerika Syarikat. Travelog yang terakam dalam buku ini berjudul Dua Dunia, karya Anis Sabirin, juga seorang pengembara di benua besar Amerika Syarikat, di mana selalu kita kenal Amerika Syarikat melalui Hollywood.



Sedikit tentang biografi penulis, kunjungan awal sebagai mahasiswa yang mendapat Biasiswa Fulbright bagi melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Sastera(MA) Kajian Asia Tenggara. Kemudian penulis bertukar kepada bidang ekonomi dan akhirnya mendapat Ijazah MA dan PhD dalam bidang ekonomi antarabangsa. Dalam tahun-tahun 1980-an, beliau bertugas sebagai Profesor Adjung di beberapa buah universiti di Los Angeles. Pengalaman bekerja di Pejabat Perdagangan Malaysia di California, memberi peluang untuk bertemu dengan usahawan dari negara-negara lain juga termasuk usahawan Malaysia yang datang ke Amerika untuk meninjau pasaran di benua besar ini.


Kehidupannya selama 27 tahun di benua ini, disalin indah ke dalam buku ini. Dari isu mahasiswa, perkauman, jenayah, sastera, sehingga wanita dan remaja, penulis memaparkan citra hidup lengkap dengan latar tempat dan sikap yang beiringan dengan masa yang sentiasa berdetik. Washington D.C, Los Angeles, San Francisco, California, Beverly Hills, antara tanah yang pernah didiami penulis. Di sini, sekitar kehidupan masyarakat diceritakan termasuk gelagat anak-anaknya bergaul dengan masyarakat setempat, sambil meninjau senario Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun ketika itu.


“Di Amerika Syarikat, penerbitan buku yang berdasarkan kisah benar tumbuh subur. Pengarang-pengarang Amerika Syarikat boleh begitu bertenaga menulis buku-buku yang tebal dan terperinci tentang kes-kes jenayah yang berlaku pada masa kini. Lebih menghairankan mereka boleh melahirkan karya itu dengan begitu cepat selepas sesuatu kejadian itu berlaku. Selain itu, orang bebas menggunakan kemudahan perpustakaan di mana-mana universiti. Orientasi orang Amerika begitu taasub terhadap kejayaan kebendaan dan pencapaian pembaharuan serta ilmu pengetahuan.” Mereka suka bersaing. Perantau ekonomi dari negara lain turut sama berlumba membina kejayaan disini.


Namun, beberapa hal yang tidak enak didengar dan ditonton. Kebebasan seks, dadah, alkohol dan berlakunya kejadian tembak menembak di kalangan remaja, membarah di kota-kota besar Amerika Syarikat. Sedikit sebanyak, budaya ini mempengaruhi masyarakat Timur.


Tragedi hitam penulis di benua ini ialah kemalangan yang hampir meragut nyawa. Namun, ketabahannya di samping dorongan semangat oleh suami, membugar kembali kembaranya. Sekali lagi, suaminya menjadi teman yang faham ketika penulis terkandas dalam percaturan dunia pelaburan berbahaya iaitu berjual beli dalam komoditi. Sejarah  terkandas di Merrill Lynch ini mendorong penulis berpindah dari Claremont ke Washington D.C sekira jarak perjalanan selama seminggu dengan kereta Volkswagen bersama keluarga. Hidup ditempat baru selalunya bergelut untuk mendapatkan kediaman yang aman, dan pekerjaan bagi menampung keluarga. Namun, pergelutan itu berjaya diselesaikan.


Sekembali ke Kuala Lumpur, kilang membuat alat ganti bagi kereta proton di Kelang yang kemudian berpindah ke Shah Alam menjadi kesibukannya mengurus bersama suami selain kerap ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Karyawan Tamu. Membaca travelog ini, diri ini sedikit sebanyak mengenal Amerika melalui jiwa pengembara. Jika dibaca fakta dan ensiklopedia, mungkin penerangannya kaku bercerita latar tempat dan masyarakat. Tetapi membaca buku ini, latar tempat dan masyarakat meresap dalam pembacaan.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
11 Syaaban 1431H
23 Julai 2010

Thursday, July 22, 2010

Membelek sirah

Dunia perniagaan, atau juga keusahawanan, atau biasa juga kita dengar perdagangan, tidak semudah ungkapan jual dan beli. Disiplin dunia ini memerlukan keahlian khusus. Gabung jalin bakat dan minat. Entah kenapa diri ini, sejak akhir-akhir ini terasa tidak termotivasi dengan dunia ini. Mungkin kelambu selesa masih menutup kamar perjuangan sehingga masih lena dibuai mimpi. Atau juga nyamuk-nyamuk yang mengundang ghairah menepis tidak lagi hinggap mencabar waktu tidur.



Pernah juga diri ini mendengar, jika tiada apa yang ingin dilakukan, asahlah pensel. Itu paling kurang. Tetapi, diri ini lebih suka membaca berbanding mengasah pensel. Membelek buku motivasi perniagaan, tahu tips-tips yang mengerakkan hati untuk terus berusaha. Ghairah menimba ilmu melalui psikologi dan sains, terkadang kita lupa mengintai sejarah dan membelek sirah.


Membuka lembaran sirah selepas Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat, kagum dengan sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdul Rahman bin Auf. Di Mekah dikenali seorang yang kaya. Kini selepas hijrah, tiada apa yang tinggal. Namun ketika ditawarkan harta oleh Sa’ad bin Ar-Rabi’, Abdul Rahman bin Auf menolak dan sebaliknya minta ditunjukkan pasar. Mentega dan keju menjadi barang jualannya. Dengan kecekapannya berdagang, kekayaan kembali dirasai. Ada juga di kalangan Muhajirin yang turut sama berdagang. Kepandaian orang-orang Mekah dalam bidang perdagangan, muncul kata-kata orang; Dengan perdagangannya itu ia dapat mengubah pasir sahara menjadi emas.


Kalau cinta? “Rasanya keluar dari litar sembang ini”………………



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
10 Syaaban 1431H
22 Julai 2010.

Siri Bedah Buku-Biografi Sasterawan Negara A.Samad Said, Awang Abdullah

Memulakan siri bedah buku pada kali ini dengan kalimah syukur kepada Allah SWT. Syukur kerana dipertemukan jodoh dengan buku ini, buku yang memaparkan biografi seorang sasterawan negara. Diri ini pernah melihat sosok tubuh ini secara langsung ketika demonstari mansuh PPSMI di Masjid Negara kira-kira setahun yang lalu. Selebihnya, diri ini hanya menatap wajahnya di lembaran akhbar, buku dan internet. Cuba juga membaca karya puisi, cerpen dan mendengar lirik lagu Bahasa Terindah. Cuma belum membelek karya novel yang berhalaman tebal seperti Salina, Ke Mana Terbang Si Burung Senja, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Wira Bukit, Hujan Pagi, Bulan Tak Bermadu di Fatherpur Sikri dan Lantai T. Pinkie. Entah bila diri ini bertemu jodoh dapat mengikuti travelog dalam karya-karya agung ini.




A.Samad Said, wajah penulis besar ini mudah dikenal dengan rambut, janggut dan jambangnya yang panjang dan memutih. Dalam usianya yang senja ini, masih mampu berkarya dan berkongsi semangat buat penulis muda. “Nak jadi penulis, kena rajin membaca,” nasihatnya. “Saya membaca 10 hingga 12 buah buku sehari, secara tebuk-tebuk,” contohnya.



Anak kelahiran Kampung Belimbing Dalam,Melaka pada 9 April 1935 ini mendapat dorongan yang kuat daripada ibunya yang suka bercerita. Derita hidup zaman perang diungkapkan dalam karyanya. Bergaul dengan penulis-penulis besar, sudah pasti pencak menulisnya tangkas. Maka, Anugerah Pejuang Sastera, Anugerah Sastera Asia Tenggara(SEA Write Award), dan Anugerah Sasterawan Negara layak baginya. InsyaAllah, tidak mustahil Anugerah Nobel Kesusasteraan menjadi miliknya.



Apa yang boleh direnung di sini ialah saranan, nasihat dan ungkapan kata-katanya. “Perjalanan atau pengembaraan juga sebenarnya adalah proses menuntut ilmu; proses mematangkan minda dan menterjemah misteri dunia,”

“Kesusasteraan adalah laporan hidup daripada siri krisis yang dihadapi oleh manusia, kepatahannya, sukanya yang sedetik dan dukanya yang berpanjangan, ketawanya yang pendek dan tangisnya yang berulang,”

“Seorang penulis perlu mempunyai bingkai peribadi yang akan menjadi identiti unik penulis itu sendiri,”

“Kata-kata penting dalam sastera kerana kata-kata menjadi wakil hati nurani yang sah seorang penulis,”



Teks pidatonya “Menulis itu Resah yang Bahagia, Duka yang Indah. Saya sebenarnya amat khuatir untuk mencanangkan sesuatu landas, kerana canang peribadi biasanya canang angkuh. Apabila setiap kali kita menulis kita sebenarnya sudah pun menyingkap diri. Dan biasanya akan ada kecenderungan untuk banyak menjulang egoisme sendiri. Dalam hubungan ini sebenarnya ada dua cara: Satu, mengumumkan satu idea besar yang biasanya tidak mesti akan terisi: satu lagi, cukup sekadar menjengah sejarah sebagai landas bagi membangunkan semula dunia mutakhir yang sekira-kira difahami. Dan saya serasi dengan jalan yang kedua ini,”


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
9 Syaaban 1431H
21 Julai 2010

Tuesday, July 20, 2010

laporan enam bulan pertama.....

Diam tak diam, sudah enam bulan kami berpeluh memerah tenaga di gerai burger yang di mata sendiri tampak biasa. Itu di mata sendiri, kalau di mata orang lain, mahu juga mendengar kutukannya. Tetapi, kami boleh tersenyum kerana gerai burger itu hasil karya seorang yang bekerja kuat dan profesional. Kami hanya memasang atapnya sahaja. Lagipun menggunakan kayu-kayu terpakai. Bunyinya seperti teknologi hijau. Tinggalkan cerita gerai burger kami kerana selepas ini, gerai ini akan disolek dengan lebih ceria.




Si jurutera elektronik dan si jurutera kimia menjual burger. Aneh juga bunyinya. Boleh membuka ruang-ruang pesimis. Maka, kami terpaksa optimis. Mana tahu, tumisnya sedap. Malam berganti malam(operasi hanya waktu malam), bisnes berjalan seiring bulan yang adakalanya cerah mengambang, adakalanya mengucup seperti sabit, dan adakalanya juga kabur-kabur anak bulan. Fahamkan maksudnya?


Namun, pancaran lampu kalimatang tetap dihidupkan, kuali tetap dipanaskan. Si jurutera elektronik setia mengoreng daging burger jika diminta, si jurutera kimia sedia membungkus burger untuk pembeli budiman. Setakat ini, pemasaran untuk tempahan hanya satu sekolah. Perlu bekerja keras mengembangkan pemasaran untuk meningkatkan jualan, seterusnya gaji boleh merasa lebih sedikit. Doakan, bisnes berjalan lancar, mengembang dan berjaya. Tidak lupa kaf ba ra kaf alif ta nun……keberkatan…..


Enam bulan berikutnya, berdepan dengan kenaikan harga petrol dan LPG…….



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
7 Syaaban 1431H
19 Julai 2010

Saturday, July 17, 2010

Soal rasa lidah tak boleh bohong

Semalam, turut merasa angin berita yang menyengat perasaan untuk tidak berpuas hati dengan pengumuman kenaikan harga barang keperluan rakyat. Walaupun kenaikan sen tidak besar, tetapi mampu menguris hati rakyat yang pendapatan tidak seberapa. Kata pemimpin, ini adalah untuk pelarasan harga dan tidak terlalu membebankan rakyat. Sungguh lancar mulut berbicara sedangkan pemimpin sendiri tidak sanggup bersusah bersederhana bersama rakyat. Bukan sahaja bicara lidah tidak bertulang, malah sanggup menyusup dan bersembunyi di sebalik istilah kata-kata yang sama sekali tidak difahami rakyat yang sebelum ini hanya sempat bersekolah rendah Melayu. Yang lepasan universiti pun terleka dengan istilah-istilah ini. Katanya, ekonomi mapan.



Kalau sebelum ini politik wang(rasuah), beri lesen(judi halal), bangkrap(hapus subsidi), jaga kesihatan kurangkan gula(naik harga gula) menjadi laungan yang nampak menyederhanakan situasi sedangkan ianya begitu parah, tetapi kini alasan pelarasan harga(barang naik, petrol naik) dicanang media arus perdana. Diri ini tahu, petugas media arus perdana sendiri tidak berpuas hati tetapi apakan daya, tugasan menyampaikan berita itu terpaksa disampaikan walaupun tidak seperti iklan “soal rasa, lidah tak boleh bohong.”


Sembang rakyat jelata mengatakan pendapatan tidak cukup, sembang ahli ekonomi mengatakan defisit sahaja memanjang, sembang pemimpin mengatakan rakyat harus memikul beban. Entah bila habisnya sembang-sembang ini berlegar dalam udara negara. Mungkin jika yang memerintah itu berjubah dan berserban dapat mengalih sembang-sembang ini menjadi pujian dan senyuman di bibir rakyat kerana yang memakai kemas berkot dan bertali leher nampaknya hanya mendabik dada pandai ekonomi, tetapi hancur.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
5 Syaaban 1431H
17 Julai 2010

Fotosintesis

Petang ini, di luar sana, hujan masih lagi membuat terjunan berani mati, namun manfaat bagi semua. Sekalian hidupan dapat merasai kasih sayang dan rahmatNya, walaupun curahannya berirama lebat, rintik, dan berhenti, kemudian rintik, seterusnya kembali lebat. Sebenarnya, rencana kelana petang ini adalah untuk bertamu ke rumah Mak Cik di Kg. Nibung, Kuala Berang. Sementara menunggu kereta, ada baiknya membelek sehelai dua buku rujukan tebal Fertilizers and Soil Amendments, kalau-kalau ada sesuatu yang terjumpa. Sememangnya buku ini dipinjam untuk mencari kalau-kalau ada yang bersangkutan dengan baja kompos.



Kenapa baja kompos? Kerana ada projeknya yang terbengkalai kaku tidak bergerak. Walaupun maklumat di internet sudah disaring, tetapi terjumpa buku ini, sayugia membelek dulu kandungannya. Ketika di sekolah rendah sudah mengenal apa itu fotosintesis, dewasa ini lebih mengerti persamaan kimianya, fungsi biologinya. Namun disebalik hikmah fotosintesis ini, tersingkap makna belajar melihat alam. Boleh dikatakan indahnya peribadi tumbuh-tumbuhan kerana sanggup menyerap gas yang dilepaskan manusia kemudian menyedut sedikit air dan berpanas di bawah terik matahari untuk menyediakan makanan dan oksigen buat manusia dan haiwan. Pengorbanan yang begitu indah. Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
4 Syaaban 1431H
16 Julai 2010

Friday, July 16, 2010

Siri Bedah Buku- Langit Ilahi 2 Kembara Hamba Mencari Cahaya, Hilal Asyraf

Berbicara tentang cahaya, tafsiran dan taksirannya menjurus kepada cerah, terang, bersinar, berkilau dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang mengambarkan dunia ini memerlukan cahaya. Cahaya yang berlegar dalam makmal sains diketahui umum, bergerak dengan halajau yang sangat pantas dan tidak mampu dikejar manusia. Namun, jika membaca buku Langit Ilahi 2 Kembara Hamba Mencari Cahaya, karya Hilal Asyraf, semacam cahaya itu sedang menyuluh sepanjang kembara, menyalakan mentol minda dan menjadi pencerahan hati yang gelap.



Mencari punca cahaya, kembalilah kepada Allah. Sebanyak 60 artikel yang termuat dalam buku ini, tidak terlepas merasakan diri ini hamba yang memerlukan cahaya bagi meneruskan kehidupan. Cinta Allah dan Rasul, ibu bapa, suis cahaya sudah dipetik. Begitu memotivasikan bila membaca artikel Allah Dekat dan Sedia Menolong, juga menggerakkan diri ini untuk Selesaikan Urusan Allah, Allah akan Selesaikan Urusan Kita. Penulis juga mengingatkan Lima Musuh Orang Mukmin sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang Mukmin itu sentiasa berada di ambang lima dugaan yang sukar: 1. Mukmin yang dengki kepadanya. 2. Munafik yang benci kepadanya.3. Kafir yang memeranginya. 4. Syaitan yang menyesatkannya. 5. Nafsu yang sering bertarung untuk menewaskannya.”


Cahaya itu datang menyuluh dengan adanya ilmu. Nukilan Imam Syafi’i yang tertera di kulit buku ini “ Ilmu itu adalah cahaya dan cahaya itu tidak akan menyimbah di hati orang-orang yang melakukan maksiat,”. Sayugia diri ini menjauhi maksiat. Menghabiskan pembacaan yang kira-kira panjang kerana membelek 260 muka surat, diri ini mendoakan penulis sentiasa dilimpahi barakah berkongsi ilmu, juga teman istimewa yang sudi menghadiahkan buku yang bermakna ini.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
4 Syaaban 1431H
16 Julai 2010