Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Sunday, February 28, 2010

naj6100

Menongkatkan diri di pantai, sambil menikmati hembusan angin dari laut, tahu engkau mempamerkan kepada aku tentang dirimu yang serba lama. Engkau menagih penghargaan daripadaku setelah sekian lama berjasa dan akan terus berjasa.


Bunyimu membuatkan fikiranku terangsang memori lama. Setiap hari engkau membawa aku mendaki bukit semata-mata mahu menghantar aku mendengar syarahan pensyarah. Engkau sentiasa siap memikul beban aku dan barang niagaku merentasi laluan dagangan. Pernah juga, sewaktu aku bergelar eksekutif, engkau tanpa mengeluh menyelit di celah-celah rakan-rakan engkau yang bersesak-sesak di atas jalan berturap. Saat ini,engkau masih mampu memecut. Tetapi tak selaju rakan-rakanmu yang mendapat gelaran rempit.

Aku tahu, selagi harga petrol tak naik, engkau suka untuk aku memulas laju. Aku juga faham, minyak hitam jangan dilupa.


…………..NAJ 6100, sedang merempit di Kuala Terengganu……….



Fatihi razali
Kuala terengganu
14 rabiul awwal 1431H
28 Februari 2010

Adik-beradik

Sofa yang empuk masih utuh untuk diri ini merebahkan tubuh sambil tangan menekan alat kawalan televisyen untuk menukar siaran cereka. Masih ingat, sewaktu usia kecil, alat kawalan televisyen begitu popular di kalangan adik beradik. Sentiasa menjadi rebutan. Tidak tahu di mana cantiknya alat kawalan ini. Mungkin fungsinya menyebabkan dunia rumah bergegar sekejap dengan peperangan kecil adik beradik. Nostalgia seisi keluarga.


Semuanya kenangan yang terindah. Diri ini tidak mahu hanya menunggu pada hari raya untuk bermaafan dengan kalian. Saat ini, ketika ini, maafkan aku. Jika dalam pertanyaan kadang-kadang tidak dijawab. Permintaan kadang-kadang tidak dipenuhi. Yang kadang-kadang ini melukakan hati kalian. Insyaallah, diri ini akan sentiasa bersama menanggung susah, akan bersama berkongsi nikmat.


Benar kata bidalan,air yang dicincang tak akan putus. Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.



Fatihi razali
Kuala terengganu
14 Rabiul awwal 1431H
28 Februari 2010

Namanya Kawan.....


Jatuh tersungkur menyembah bumi. Perit yang tidak tergambar. Saat itu, perasaan ini mengeluh, jasad ini sakit. Luka di siku hadiahnya dengan butir pasir yang melekat halus memberikan keseniaan tersendiri. Darah merah hemoglobin bersama plasma dan sel darah putih merembes keluar mengambil tempat tatkala epidermis kulit terhakis lantaran rebah anatomi tubuh.


Mendongak ke atas, nampak susuk tubuh yang berdiri. Namun tidak dapat melihat dengan jelas gerangan siapa yang berdiri di hadapan kerana silauan cahaya mentari menyukarkan retina mata menangkap imej. Serebrum otak meminta-minta saraf optik menghantar mesej,siapa itu yang segak dan gagah di hadapan.


Tiba-tiba tangan yang keras menghulur di hadapan tanda empunya diri ingin menolong jasad yang masih tidak dapat bangun. Apa lagi,sambut tangannya. Ternyata, jasad ini bisa bangun dan berjalan kembali. Saat itu, perasaan ini gembira melihat senyuman susuk tubuh yang membantu aku bangun. Hati ini menangkap cepat gerangan siapa itu tanpa sempat serebrum otak memproses. Tahu, namanya kawan, panggilannya rakan, gelarannya sahabat.


Terima kasih kepada kawan-kawan yang telah mengenali diri ini kerana sudi berjabat tangan dengan aku………….Ingat kalian dalam doaku……….



Fatihi razali
Kuala terengganu
14 Rabiul awwal 1431H
28 Februari 2010

Wednesday, February 24, 2010

Abu Bakar as-Siddiq ra

Sekalian umat kagum tatkala mendengar dan membaca namamu. Gelaran As-Siddiq, sebenar gelarannya di sisi Rasulullah saw dan umat. Contoh tauladan kepada siapa yang ingin menjadi sahabat sejati. Peneman yang setia, pembenar hujah Baginda saw, pembela agama yang tegas, susuk tubuh ini sedia berkorban demi kasih dan cintanya kepada Rasulullah saw. Sinonim namanya dalam kisah Hijrah Nabi saw.


Dibaiah menjadi khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan Junjungan Mulia saw, golongan yang berpaling tadah tidak diberi ruang untuk menodai kesucian Islam. Usahanya tiada lain, semata-mata membela kesucian Islam daripada dinoda oleh tangan-tangan kuffar.

Penceritaan kisah sahabat Baginda saw yang bernama Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra, diulang cetak dalam sejarah Islam. Suatu kisah keperibadian yang unggul seorang sahabat.


Fatihi razali
Kuala terengganu
9 rabiulawwal 1431H
23 Februari 2010

coretan buat guru

Kelas bergema dengan syarahan guru yang bersemangat melontarkan madah-madah ilmu. Saat itu, anak murid senyap dan tekun mendengar setiap bait-bait pidato guru. Tangan ini tidak pernah melepaskan batang pena untuk mencatat dan menyalin kembali ucapan guru ke lembaran kertas putih.


Di kala ini, sehingga kini, di waktu ini juga, minda dan jiwa masih menyimpan nasihat dan pedoman para guru yang ikhlas mendidik anak bangsa. Ilmu yang dicurahkan guru begitu berharga sehingga jasad ini mampu berdiri di tengah lautan kehidupan.

Jasa guru sememangnya tidak dapat digambarkan kuantitinya, tetapi tahu nilainya. Nilainya mahal. Tidak terbalas. Namun, mungkin coretan ini sedikit dapat cikgu merasakan begitu dihargai. Segugus doa juga dipanjatkan, moga-moga sentiasa baik dan sejahtera. Terima kasih cikgu.



Fatihi razali
Kuala terengganu
9 rabiulawwal 1431H
23 Februari 2010

Terima kasih Mak dan Abah....

Saat menyentuh tangan kalian yang kedut-kedut rasanya, sejuk suhunya, tetapi lembut, saat itu air mata bergenang di kelopak mata. Sungguh tangan ini bertahun lamanya menggengam bara api bersusah payah membesarkan aku. Entah apa balasan yang aku dapat berikan untuk membalas kembali jasa kalian.


Insan yang setiap saat yang menggingatkan aku apa itu berjuang. Berjuang yang bukan sekadar meraih wang, tetapi membela umat. Insan yang saban hari menyuruh aku belajar menimba ilmu, kelak maruah umat dapat dibela.

Diriku tenang saat tangan mak mengurut dadaku ketika aku resah. Diriku bangga saat tangan abah menepuk belakang bahuku ketika aku dianugerah kejayaan. Namun, sehingga kini aku tidak mampu menggembirakan kalian dengan banyaknya wang. Cuma selafaz doa ketika selesai solatku dan segugus hadiah bacaan al-Quran yang mampu aku berikan. Terima kasih mak dan abah. Insyaallah, susah payah kalian diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT.



Fatihi razali
Kuala terengganu
9 Rabiulawwal 1431H
23 Februari 2010

Tuesday, February 23, 2010

Cuba kali ke-berjaya

Kaki yang masih melangkah terasa lengkuh, peluh tidak henti-henti dirembes membasahi belakang baju, sesekali peluh mengalir lesu di daratan muka, cerita episod cuba lagi. Setelah dibina masih tidak utuh, setelah ditanya masih tidak mahu, setelah diuji masih tidak lulus, setelah dibaiki masih tidak baik, senang cerita, setelah dicuba masih tidak berjaya.



Bisikan orang kandas yang berbunyi putus asa cuba menerobos hati, mencengkam jiwa untuk berhenti, bukannya seketika, tetapi berhenti terus tanpa cuba mengecas kembali memercikkan sedikit api untuk bernyala.

Kronologi cuba lagi terakam sehingga wujudnya burung besi, kuda beroda, cermin berwarna, surat maya, juadah segera dan sekaliannya. Entah kali ke berapa mereka mencuba. Mungkin cuba kali ke-berjaya.


…….burung besi(kapal terbang),kuda beroda(kereta),cermin berwarna(TV), surat maya(email), juadah segera(makanan segera)…………………………………..



Fatihi razali
Kuala terengganu
9 rabiulawwal 1431H
23 Februari 2010

Saturday, February 13, 2010

Balik kampung....

Kalendar yang terpacak di hujung meja kini sudah dicalit dakwat merah, ditanda bulat, memberi isyarat kepada akal untuk bermonolog sendirian memikirkan persiapan untuk bermusafir. Hari yang bertanda tidak sabar berpergian dirasakan sudah hampir tiba waktunya.



Fikiran kini hanya mampu melayang membayangkan keriangan suasana yang ditinggalkan sekejap-lama untuk berbakti di perantauan. Angin dari sana bagaikan sudah dirasai di sini. Udara dari sana bagaikan sudah dihirup di sini. Balada dari sana bagaikan sudah didengar di sini. Halusinasi ini memerangkap hati ini untuk segera sampai ke destinasi.


Saat sampai ke destinasi, seribu satu hikayat, cereka, dan puisi citra hidup yang ingin diceritakan sambil meneguk secawan teh. Ketawanya yang berdekah melupakan tangisnya yang sedu di lorong kelana. Sukanya yang panjang melupakan dukanya yang pendek di jalan kembara. Biar sekejap asalkan dapat melepaskan rindu bertentang mata, mendakap mesra, berbual panjang, dan bergurau senda.


Selamat bercuti di kampung………


Fatihi razali
Kuala terengganu
28 Safar 1431H
13 Februari 2010

Friday, February 12, 2010

Ulama yang mula berjuang...

Kemerdekaan, penceritaannya tidak mudah. Harganya menuntut dibayar darah, laungannya menuntut dilafaz semangat, detiknya sentiasa cemas. Setiap inci bumi yang berdaulat tidak sanggup melihat penjajah menjejakkan kaki menceroboh dengan zalim dan sombong. Coretan tinta sejarah dunia Timur mencatatkan api memperjuangkan kemerdekaan dipercik oleh lidah ulama, dinyala pemikiran intelek lulusan agama.


British dengan gagasan ‘Pax-Britannica’ bercita-cita besar untuk menerjah setiap inci ruang bumi dan dengan penuh kesombongan mengungkapkan “the sun is never set in the British empire” melayarkan bendera penjajahan bertemakan “God,Gold, Glory” menjarah bumi Timur. British tidak keseorangan berlayar. Perancis, Itali, Belanda, Portugis turut sama berlayar. Namun, dari Algeria, Libya, Sudan, Mesir, Iraq, India, Indonesia sehinggalah ke Tanah Melayu, ungkapan ini perlu berhadapan dengan tajamnya lidah, kuatnya semangat, tuntasnya berjuang para ulama.

Teungku Hassan Krueng Kalee di kepulauan Indonesia, Syeikh Umar Al-Mukhtar “The Lion of The Desert” di padang pasir Libya, Sheikh Abdul Qadir Al Jazair di negara ‘sejuta syuhada’ Algeria, Sayyid Ahmad Brelvi di benua India, Sheikh Jamaluddin Al Afghani ,Sheikh Muhammad Abduh, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di sebalik kota piramid Mesir, Sheikh Muhammad Amin Al-Husaini dan Syeikh Izzudin Al-Qasam di kota BaitulMaqdis, Ustaz Muhammad Mahmud As Sawaf di tapak tamadun tua Mesopotamia Iraq, serta tanah Sudan yang bergema dengan nama Syeikh Muhammad al Mahdi, semuanya bagaikan obor untuk melaungkan bumi ini tidak rela dijajah.

Wilayah Pattani masyhur dengan nama besar seperti Sheikh Abdul Samad Al Palimbani, Tuan Guru Haji Sulong Abdul Kadir. Darah ulama dan pahlawan yang mengalir dalam jiwa Sheikh Ahmad al-Fathani telah meletakkan beliau sebagai tokoh ulama pejuang terpenting dalam sejarah kemerdekaan negeri-negeri Melayu. Dari sini, lahirlah pejuang seperti Tok Janggut, Sheikh Abdul Rahman Limbong, dan ulama-ulama yang lain.


Era moden Tanah Melayu menyaksikan gerakan ulama reformis seperti Sheikh Abdullah Fahim, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan melakar nama dalam agenda kemerdekaan negara. Pelita yang bernyala ini tidak pernah padam walaupun cuba dipadam.



Fatihi razali
Kuala Terengganu
26 safar 1431H
11 Februari 2010



Rujukan:
Ulama dalam sorotan perjuangan kemerdekaan

Tuesday, February 9, 2010

kelana di medan ilmu

Seorang pengembara yang berkelana sama ada di jurang, lembah, lautan, atau daratan padang pasir, pastinya mencatat segala suka duka di medan kelananya. Kelananya yang dekat-jauh, pendek-panjang, sekejap-lama, tidak sia-sia. Ianya diiktiraf agama, diakui umat, dan disanjung negara.


Membuka tirai diari lama, catatan pena pengembara masih jelas dan nyata. Ianya tidak hancur walaupun cuba disantap serangga lipas dan anai-anai. Dicatatnya, jam yang ke sekian, mendengar pidato professor. Hari yang ke sekian, memerah sekerasnya otak bagi menjawab soalan peperiksaan. Waktu yang ke sekian, berpencak dan beriadah di gelanggang budaya bangsa. Malam yang ke sekian, duduk bersila menghadap pendeta memperdengarkan maksud ayat suci al-Quran dan hadis Nabi saw. Malam yang ke sekian juga, bergelak ketawa meluahkan rasa resah di meja makan bersama teman seperjuangan. Pagi yang ke sekian, kalut, kelam-kabut, sesak, berlumba menghadiri kuliah wajib. Asap kenderaan juga turut sama berlumba bersama pengawal keselamatan yang tegas.

Sepanjang kelana di medan ilmu, mutiara yang ada terjumpa dikutip. Digilap dan digosok. Biar tidak berkilat atau cemerlang, tetapi mutiara itu sekurang-kurangnya memberikan sedikit pengalaman.




UTM, Skudai, 2003-2007……..Masih ingat saat disaman pengawal keselamatan…….



Fatihi razali
Kuala terengganu
23 safar 1431H
9 Februari 2010

Monday, February 8, 2010

Nur Ilya Adriana

Sukanya yang panjang, ketawanya yang mendorong orang lain ketawa, jeritannya memerlukan telinga ini melekatkan penapis bunyi berteknologi sabar, sekali-sekala geram bila keras tidak menurut kata. Namun, perlu diakui, ianya lumrah seorang anak kecil yang menagih kasih sayang umat.



Merenung jauh melintasi sempadan negara, sedih melihat anak-anak kecil di negara-negara yang bergolak. Kebuluran untuk menjamah sesuap makanan, kegelapan yang terhalang cahaya ilmu menyinari di sebalik runtuhan bangunan, hanya tangisan meminta simpati dunia, tidak sama keadaannya di bumi bertuah ini. Namun, aman tidak semestinya mudah. Masih perlu zikir dan fikir. Kemana perlu dicorakkan. Warna apa perlu dilukis pada selembar kain putih. Ramuan warnanya perlu sebati dengan dakwat didikan dalam kitab sabda Nabi saw.



Tidak sedar Nur Ilya Adriana sudah berusia lima tahun……….


Fatihi razali
Kuala terengganu
22 Safar 1431H
8 Februari 2010

Pantai Batu Buruk K.Trg

Ombak yang datang menghempas marah dan kadang-kala mencecah lembut ke pantai, tidak sekali-kali pantai itu merajuk. Dua hemisfera ini memang sentiasa bergaduh. Sehingga terdengar alunan bunyi buih-buihnya. Ianya mendorong kaki ini terpacak merasa kemasinan air laut. Terlajak ombak menerjah kaki sehingga basah seluar walaupun telah disinsing ke atas.


Mendongak ke atas, burung yang terbang saban petang, tidak pasti gembira atau resah. Mungkin sunyi kerana teman-teman sudah berhijrah mencari suasana pantai yang lain.
Rencah hidup, ada marah, ada lembut, ada merajuk, ada bergaduh, ada masin, ada terlajak, ada gembira, ada resah, ada sunyi.



"Gi pata boh………."


Fatihi razali
Kuala terengganu
22 Safar 1431H
8 Februari 2010

Saturday, February 6, 2010

Ke garisan,sedia,mula.....


Jantung yang berdegup kencang, sekencang turun naik omboh silinder enjin lejang, darah panas yang mengalir sejak sesi memanaskan badan dimulakan, serta otot-otot anatomi yang sedia menunggu untuk dikerah dan diperah, semuanya menunggu isyarat pistol memuntahkan letupan tanda perlumbaan bermula. Perlumbaan yang masyhur sejak tamadun Greek sehinggalah ke waktu ini. Tidak kurang juga cereka zaman kanak-kanak, kisah teladan arnab dan kura-kura.


Kiri kanannya pesaing hebat yang tidak mahu mengalah selagi kaki tidak melepasi garisan penamat. Fokus matanya tajam membayangkan kilauan emas. Besar jiwanya mendambakan kemegahan digelar pelari terpantas. Kelopak telinga ini tidak lagi menghiraukan sorakan penonton. Hanya kedengaran desah hembus nafas sendiri menukar pantas oksigen dan karbon dioksida.

Garisan penamat hampir tiba. Pecutan dalam halaju ditambah. Otot-otot keras digagahi juga untuk bekerja selagi kudrat ada. Selesai kaki melangkah melepasi garisan penamat, saat itu wajah yang tadi garang dan bengis bertukar senyuman puas menghabiskan larian. Menunggu nama diumum untuk dikalung pingat emas,perak dan gangsa. Yang selainnya, pingat kesungguhan menyahut cabaran.


Hari Sukan Sekolah dalam kenangan………..


Fatihi razali
Kuala terengganu
21 Safar 1431H
6 Februari 2010

Friday, February 5, 2010

Saudaraku di Bumi al-Quds

Melunjur di atas sofa empuk sendirian sambil lengan bersilang mengalas kepala yang kadang kala ingin memberhentikan sekejap unit proses dalam sistem minda. Namun, saat ingin menekan suis kelopak mata untuk memadam skrin memori, saat itu kuasa proton-elektron mengecas kembali rentetan sejarah kota Baitul Maqdis.

Di sinilah lahirnya para anbiya’. Masyhur dalam tinta al-Quran perjalanan Israk Mi’raj Junjungan Mulia saw. Manuskrip sejarah juga menceritakan keunggulan Khalifah Umar al-Khattab berjalan memasuki kota suci ini. Kagum di sebalik pembebasan dalam menegakkan syiar Islam oleh pahlawan unggul Salahuddin al-Ayubi. Lahirnya intelektual sepanjang zaman, mujtahid agung Imam Syafie dari daerah Gaza yang mewarnai dunia mazhab.

Namun, balada bumi Palestin tidak indah lagi. Bermulanya Nakba 1948. Satu demi satu perjanjian yang melukakan hati anak-anak kecil Palestin. Sebut saja perjanjian apa, Balfour 1917, Buku Putih 1930, Resolusi 181, Oslo 1993, dan apa lagi, semuanya melacurkan bumi Palestin. Saban hari, ada saja darah syuhada menyimbah bumi, anak kecil menangis sekuatnya, isteri dan ibu hanya redha pemergiaan pejuang dihatinya. Teratak mereka berteduh sudah tidak teduh. Tanah bukan lagi hak mereka. Kurang ajar Zionis menceroboh Masjidil Aqsa dan rumah Allah. Peluru disasar tepat ke jantung pemuda yang hanya mengagahkan diri melontar seberapa banyak mungkin batu melawan balas. Bom dimuntah membedil hospital dan sekolah. Trauma yang berpanjangan.

Tiada apa yang aku lakukan untuk membantumu wahai saudaraku. Aku hanya selesa berbaring di sofa empuk ini. Aku lebih enak mendengar cerita para artis daripada menjeling berita pergolakan ditanah airmu. Jika disuruh boikot, aku tidak mampu menahan selera. Diajak melangkah berdemonstrasi, aku malas. Aku sedar, hati ini berpenyakit yang tiada istilah dalam kamus perubatan moden. Penyakit hati terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian sepertimana pesanan sabda Nabi saw. Namun, biarlah sepatah doa selepas solatku mengiringi perjuanganmu wahai saudaraku.



Fatihi razali
Kuala terengganu
20 safar 1431H
5 Februari 2010

Thursday, February 4, 2010

Ada apa dengan nombor

Hisab, hitung, bilang, kira dan nilai. Automatik jawapannya nombor. Dan juga dipanggil angka. Sekalian umat faham apa itu nombor. Nombornya bermula negatif infiniti sehingga infiniti. Ilmunya disebut matematik. Sedih jika ditolak kerana nilainya berkurang. Gembira ditambah kerana nilainya bertambah. Senyumannya melebar lantaran nilainya berganda didarab. Murung jika nilainya dibahagi-bahagikan. Boleh jadi sedih, gembira, senyum dan murung berubah wajah jika bertukar angka.


Selalu dianggap saintifik dan spesifik jika keputusannya berdasarkan angka. Mahu tahu harga gula dan petrol, mahu kenal siapa billionaire, mahu faham nisbah pembahagian harta pusaka, mahu beri kewajipan zakat, mahu gali lubang kubur, mahu lihat untung rugi, mahu dengar volume radio, mahu tekan kalkulator, mahu dapat keputusan peperiksaan, mahu semahunya, maka wajib kenal nombor 1 2 3. Terkadang nombor itu apa ada. Terkadang nombor itu ada apa.

Mahu kahwin? Lagi perlu banyak membilang………Monolog sendirian….

Fatihi razali
Kuala terengganu
19 Safar 1431H
4 Februari 2010

Wednesday, February 3, 2010

Biar kecil asal berhasil


Terkadang frasa ini mengingatkan diri untuk bersabar mengkaji, menekuni, memperbaiki, menambah nilai dan seterusnya mencipta kepuasan. Sinonim melodinya seperti biar lambat asal selamat, sikit-sikit lama-lama jadi bukit, dan sekalian yang seumpama dalam persuratan bidalan.


Kuncinya usaha dan rantai kuncinya istiqamah sebagai peneman kunci. Kunci ini tergantung di dalam kotak kunci yang bernama optimis. Maka, untuk membuka pintu atau peti kejayaan, perlu minda sedar untuk menggerakkan otot tangan mengambil kunci usaha bersekali rantai kunci istiqamah di dalam kotak kunci optimis.

Frasa rendah diri yang berbunyi biar kecil asal berhasil bagaikan rima dan ritma yang tuntas. Kontranya berbunyi daripada banyak akhirnya lanyak.



Fatihi razali
Kuala terengganu
18 Safar 1431H
3 Februari 2010

Tuesday, February 2, 2010

Kotak Sembang

“Salam” sebagai pemula bicara di kotak sembang menyapa lembut tanda empunya diri ingin mengajak berbual bertanya khabar. Sudah jauh teman berkelana, sudah lama teman berhalusinasi dari pandangan mata. Justeru, khabarnya bagaimana? Dimana diri terpacak? Komposisi aktivitinya apa? Harmonis keluarganya sihat?

Sekian yang ditanya menjawab dan bertanya kembali soalan yang sama. Jauh di hujung benua bukan menjadi garis pemisah untuk teman mendakap erat ukhuwah yang dijalin dan terjalin sejak dua mata bertentang, mulut mengucap salam, tangan berjabat erat di pertemuan awal kita.

Perbualan yang merangkak satu demi satu memori lama mengungkit kembali episod-episod lucu, resah, marah, gembira, kecewa, sedih, suka, romantis dan sekalian ramuan ekspresi perasaan. Semuanya tinggal kenangan di potret memori dan sekali-sekala membuka album lama, ketawanya panjang.



Fatihi razali
Kuala terengganu
17 Safar 1431H
2 Februari 2010

Monday, February 1, 2010

Balada 4 pagi


Selesai dahi mencecah ke sejadah menyempurnakan solat, sepuluh jari disusun memohon doa keampunan. Bibir basah mengalunkan zikir sambil berfikir kebesaran Yang Maha Besar, dan lidah lembut diletakkan menepati makraj huruf membaca kalam suci al-Quran. Kesyahduan hambaMu yang beribadat di sepertiga malam.


Helaian demi helaian buku tebal rujukan dibelek dan ditelaah, mengutip mutiara hikmah di celah lipatan muka surat. Pena yang asyik menari, mencatat segala tinta puitis untuk melakar segugus sajak citra. Dan juga, skrin visual kontemporari yang canggih mampu menterjemah bait-bait tradisi penulis prolifik.

Tidak konkrit jika secawan kopi panas tidak menjadi teman yang setia sambil telinga dihiburkan dengan nyanyian unggas dan cengkerik di sebalik semak. Angin nyaman yang segar sejuk sehingga menusuk ke tulang, masuk merayap melalui celahan jendela. Baju tebal menjadi perisai untuk pagi ini.

Retina mata yang fokus, gegendang telinga yang bergendang, serebrum otak yang memikir, jantung yang berdegup mengepam darah, hati yang tenang dirembes enzim, otot-otot jari jemari bergerak, semuanya selari dengan peredaran bulan dan bintang sehingga menanti azan subuh berkumandang. Balada 4 pagi.



Fatihi razali
Kuala Terengganu
16 safar 1431
1 Februari 2010