Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Wednesday, June 30, 2010

hikmah disebalik hujah teori

Menyelak kembali lembaran buku tebal yang digunakan semasa pengajian dulu, barulah jiwa ini meresap bersama setiap patah perkataan yang diungkapkan dalam baris perenggan buku. Begini rupanya, kenapa dulu semasa pengajian, frasa ini tidak menarik hati untuk terus melihat frasa seterusnya. Betul kata pencinta ilmu, buku itu jangan dibuang atau dibakar, nanti suatu masa buku ini dirujuk kembali.



Kalau dulu meneliti khazanah buku ini dengan lompat-melompat mencari isi penting kerana mungkin terpaksa, atau tiada minat, namun kini, khazanah itu diselongkar satu persatu patah perkataan, merebus lebur kesemua isinya bersama jiwa yang bercinta. Sekarang, tahulah hikmah disebalik hujah teorinya.


Fatihi razali
Kuala terengganu
17 rejab 1431H
30 Jun 2010

Tuesday, June 29, 2010

Apa khabar teman lama dan cikgu?

Buntu dan kabur, tiada gagasan yang ingin dicanang dalam ruangan tulisan kali ini. Akal gelap tiada ruang cahaya idea menyelinap walaupun pencerahan cahaya skrin komputer riba berteman cahaya lampu meja menyegarkan mata. Menoleh ke arah kalendar yang berdiri mempamerkan diri bagaikan seorang model yang tidak menjadi tontonan ramai, hanya sekejap-sekejap menjadi siulan “hmm…cepatnya masa berlalu,” mata tertumpu suatu tanda bulat pada haribulan ke sekian. Ada apa pada tarikh tersebut?



Oh ya, perjumpaan bekas penuntut di daerah Kuantan. Di Alor Akar rasanya, ingat-ingat lupa namanya, maklumlah usia semakin senja dan dicampur cara permakanan yang kurang sihat menyebabkan memori ini tidak sedaya dulu. Sudah dua tahun hampir sedekad kaki ini tidak berpatah balik ke taman ini. Bukan kerana tamannya tidak indah, tetapi kaki ini sentiasa mahu melangkah ke hadapan, membawa bersama pesanan dan curahan kasih sayang sang murabbi. Doanya dipanjangkan usia untuk diri ini mendakap erat teman lama dan berbual mesra bersama sang murabbi di majlis perjumpaan yang pertama kali diri ini menjenguk bertanya khabar. Apa khabar teman lama dan cikgu?




Fatihi razali
Kuala Terengganu
16 Rejab 1431H
29 Jun 2010

Monday, June 28, 2010

Selamat bertugas kepada semua jurutera

Dunia kejuruteraan yang bergelumang dalam gabungan teori dan praktikal, hujungnya mahu melihat hasil yang dapat dimanfaatkan umat sejagat. Hipotesisnya, semakin bercambah cabang kejuruteraan, semakin laju peredaran zaman. Kalau dulu pokok kejuruteraan hanya berdahan kimia, awam, elektrikal dan elektronik serta mekanikal, tetapi kini tumbuh dahan-dahan lain yang asalnya halus dan kemudian semakin membesar. Kejuruteraan biologi, komputer, mekatronik, dan banyak yang ingin disenaraikan, sesuai dengan lebatnya pokok kejuruteraan. Akarnya, pengkajian sains yang terus menjalar kuat.



Suatu gabungan jurutera awam sebagai pembina, jurutera mekanikal sebagai penggerak, jurutera elektrikal sebagai penjana, jurutera kimia sebagai pemproses, negara itu tampak sentiasa membangun. Mahu menjadi jurutera, iltizam yang tinggi dan tidak mudah berputus asa dalam mencari jalan penyelesaian.



Selamat bertugas kepada semua jurutera……ikhlas kerana Allah…


Fatihi razali
Kuala terengganu
15 rejab 1431H
28 jun 2010

Membaca

Membicarakan tentang buku, bukan semuanya berminat. Seakan suatu yang membebankan. Usahkan membacanya, melihatnya pun menyampah kerana tidak menghiburkan hati. Jika memegang objek buku ini, diri ini takut digelar ulat buku. Ulat yang merayap,mengensot,berguling dalam lipatan buku. Mungkin ini asalnya simpulan bahasa ulat buku.



Cubalah membuka buku dengan sedikit tenaga, membelek hanya sehelai sahaja, nescaya hati akan tertarik untuk terus membaca. Buku yang diterbitkan telah disaring dengan patah perkataan yang mengasyikkan dan indah serta memukau fikiran untuk hanyut dalam travelog cerita. Instrumen membaca sebenarnya pelbagai, ada melalui peristiwa, tindakan, pengalaman, tontonan dan semacam lagi bentuk pembacaan. Namun, jika semua itu didokumentasikan dalam naskhah manuskrip seperti buku, ianya boleh diselongkar kembali untuk mencari nota-nota kehidupan. Membaca tidak rugi walaupun jam masa sentiasa berdetik.

Hobi baru bermula…….baca buku…..tetapi langkah pembacaan lambat kerana cuba mengunyah hancur patah perkataan….



Fatihi razali
Kuala terengganu
15 Rejab 1431H
28 Jun 2010

Saturday, June 26, 2010

Menyebut makhraj huruf

Jangankan hendak membaca kalimah itu dengan betul, menyebut makhraj huruf sudah terbelit lidah. Namun, semua itu harus dilalui dalam belajar membaca al-Quran. Fadilatnya pahala. Pahala belajar dan pahala membaca. Sayugianya tidak berputus asa untuk meneruskan pengajian al-Quran. Biar lambat satu persatu, asalkan dapat membaca dengan baik kemudian hari. Kita tidak ditanya kenapa tidak pandai, tetapi ditanya kenapa tidak belajar. Maka alasan apa yang diri ini ingin diberikan dihadapan Allah SWT. Masih mahu beralasan?


Sungguh merdunya alunan bacaan al-Quran si Qari itu, sehingga menusuk ke dalam qalbu.Sungguh segarnya alunan bacaan al-Quran si Hafiz itu, sehingga diri ini asyik mendengar. Sungguh banyak pengajaran isi al-Quran yang disampaikan si Alim itu, sehingga mengentarkan hati ini. Sebelum itu, lidah ini juga sedia terbelit menyebut makhraj huruf supaya bacaan al-Quran betul.


Fatihi razali
Kuala terengganu
15 Rejab 1431H
26 Jun 2010.

redha ibu bapa

Saat mata pena menari atas lembaran putih mencatat fragmen-fragmen ilmiah, tiba-tiba percikan memori ternyala dalam fikiran serta menyentak dalam hati. Pena yang dipegang tadi dilepaskan ke lembaran putih serentak menyandar ke belakang, berhenti seketika untuk memberi laluan memikirkan adakah diri ini diredhai ibu bapa. Masih terngiang intipati kuliah majlis ilmu, redha Allah terletak di atas redha kedua ibu bapanya.


Pernah juga diri ini tidak bersetuju dengan hujah cadangan ibu dan bapa. Pernah juga diri ini tidak mengikuti apa yang diinginkan ibu dan bapa. Pernah juga diri ini membawa haluan sendiri tanpa mendengar pandangan ibu dan bapa. Ya Allah, ibu dan bapa yang sekian lama bersabar dengan kerenah aku masih lagi tetap menyayangiku walaupun diri ini merasakan sudah terlalu bijak dalam melayari bahtera kehidupan tanpa mendengar madah nasihat ibu dan bapa.

Ibu dan bapa, redhailah aku………………………………..


Fatihi razali
Kuala Terengganu
15 rejab 1431H
26 Jun 2010.

Belajar dari alam

Mata yang terjaga dari lena tidur di malam hari kini celik melihat hari baru dengan matahari mengambil tempat di siang hari setelah bulan menghilang sekejap sehingga tiba waktu malam bersilih ganti. Sungguh hebat dan luas ciptaanNya. Sebuah kamus besar yang boleh dibelek dengan mata hati untuk mengakui kewujudan Allah SWT.


Burung yang keluar di awal pagi dan pulang dengan perut kenyang, tumbuh-tumbuhan yang menjalankan fotosintesis untuk membekalkan oksigen walaupun ada yang tidak menyumbang buah yang manis, gunung-ganang yang tinggi dan lautan luas yang menyimpan berjuta macam khazanah, ensiklopedia alam ini perlu dipelajari. Belajar dari alam, banyak gurunya.


Fatihi razali
Kuala terengganu
15 Rejab 1431H
26 Jun 2010.

awan melankolik

Melihat mukanya yang bercuaca muram, termenung, sudah dapat menggagak perasaannya diselubungi awan melankolik. Petanda hujan air mata akan tiba. Intuisi ini kuat mengatakan ada pertengkaran dalam hatinya. Diri ini datang sebagai orang tengah yang sedia menadah telinga untuk menakung luahan perasaannya. Ooo…begitu. Anggukan demi anggukan tanda dengar, bukan faham, samar-samar fahamnya kerana orang tidak rasa apa yang kita rasa. Sudah tidak rasa, mana mungkin faham. Biarlah faham itu terkurung dalam lontaran lisan luahan perasaan. Aneh, seseorang itu cepat memahami perasaan apa yang dirasa si peluah perasaan. Mungkin seorang yang bijak. Harapnya tidak buat-buat bijak.


Cerita dirinya dirundum musibah. Pasti setelah menyelesaikan patah luahan perasaan, dirinya menagih khidmat nasihat. Diri yang tiada pengalaman dan ilmu, pasti sukar untuk berada dalam sintaksis bicara yang tidak melukakan hatinya. Kalau ditulis atau ditaip, patah perkataan mungkin boleh disusun dan diubah. Tapi ini secara langsung. Kalau bicara begini “Sabarlah, mungkin ada yang lebih baik.” Takut-takut hatinya tersentak,”Apa,ingat selama ni aku tak bersabar. Yang sekarang tak baik ke?”
Susah sebenarnya memberi nasihat. Harapnya kita, dirinya dan semua orang faham,hidup ini tidak terlepas daripada musibah. Suatu ujian terhadap diri kita.


Fatihi razali
Kuala terengganu
15 Rejab 1431H
26 Jun 2010

Ibnu Khaldun

Abdul Rahman Abu Zaid Waliyuddin ibn Khaldun, nama besar dalam dunia keilmuan. Tunis yang menjadi tempat kelahirannya pada tahun 732 Hijrah kagum dengan bintang yang bersinar seperti barisan sarjana yang lain. Karyanya yang agung, Muqaddimah,satu pencerahan dalam bidang sejarah. Luas karangannya sebuah ensiklopedia sintesis metodologi sains kebudayaan yang sangat penting. Menyelongkar kitab ini boleh membantu ahli sejarah untuk menghasilkan kajian yang tepat dan ilmiah.


Disoroti pengakuan sarjana Barat, diakui sumbangan pemikiran Ibnu Khaldun dalam bidang sejarah adalah terulung. Ahli sejarah dan falsafah agung sepanjang zaman. Menurut Ibnu Khaldun, manusia ialah makhluk sosial yang mempunyai roh, akal dan tubuh badan serta masing-masing mempunyai tugas dan keperluannya. Kesemua unsur ini perlu bekerjasama unutk memenuhi kebahagiaan hidup. Menerusi roh, akal dan tubuh badan inilah yang melahirkan peradaban dan seterusnya mencetuskan sejarah sains.


Mengenal sarjana-sarjana Muslim, menaikkan semangat untuk mengembara dalam dunia keilmuan…………………


Fatihi razali
Kuala terengganu
4 Rejab 1431H
17 Jun 2010.

Rujukan: Pertentangan Islam dan Barat, Mohd Asri Mat Daud, d’PPG Niaga, Muharram 1425H, Selangor.

Umar al-Khattab

Doa Rasulullah saw”Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar.” Demikian doanya, empayar Islam mampu membahagiakan kota BaitulMaqdis. Keberaniaannya pada awal Islam digeruni pemuka Qurasiy. Amarannya yang menerjah kegentaran hati siapa yang menghalang dirinya mengabdikan diri kepada Allah, silalah jika mahu ibunya mati nelangsa, anaknya menjadi yatim dan isterinya menjadi janda.


Saat bergelar Amirul Mukminin, keadilan tunjang utama. Tidak bermewah, di kain jubahnya ada 12 tampalan. Pidato khutbahnya menasihatkan supaya mengikuti jemaah, keras amaran orang berkhalwat dengan seorang wanita, dan sentiasalah hisab diri sebelum diri dihisab.

Kecintaan para sahabat kepada Allah dan Rasul mencetus inspirasi kecintaan kita kepada Allah dan Rasul………………


Fatihi razali
Kuala terengganu
3 Rejab 1431H
16 Jun 2010.


Rujukan : Mukhtasar Hayatus Sahabah, Kehidupan Para Sahabat, Syeikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi, Penterjemah Ahmad Zulfahmi M.Ag, Perniagaan JAHABERSA, 2007.

Muhammad SAW

Muhammad, ‘alaihissalatu wassalam.

Dengan nama yang begitu mulia, meniti di bibir sekalian umat yang disayanginya. Begitu agung kasih sayangmu sehingga hembusan nafas yang terakhir, masih lagi mengingati umatmu. Tidak lupa juga syafaatmu disimpan untuk umatmu pada hari akhirat kelak. Namun, aku malu dengan kasih sayangmu. Aku alpa berselawat kepada mu. Aku janggal untuk mengamalkan sunnahmu. Sungguh aku ini tidak mengenang kasih sayangmu.

Muhammad, ‘alaihissalatu wassalam.
Mulai saat ini, bibir ini cuba untuk berselawat dan salam ke atas baginda saw. Sedikit demi sedikit cuba menghidupkan sunnahmu. Berusaha membaca dan menghayati sirahmu. Menyelongkar khazanah sabda-sabdamu. Insyaallah, diri ini harus istiqamah.


Muhammad SAW………………….


Fatihi razali
Kuala terengganu
2 Rejab 1431H
15 Jun 2010