Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Tuesday, January 26, 2010

Karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee



Kalau mahu berbicara tentang kisah tiga pemuda hero, layar perak memaparkan episod Bujang Lapok,Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Komedi romantis yang tidak luput ditelan zaman. “Pok pok pok….bujang lapok…….”


Yang mahu melihat darjat menjadi garis pemisah yang kononnya berasakan berdarjat tinggi tidak tercalit lumpur di kaki, harta ukuran saintifiknya, keturunan darah cerminannya, lihat saja Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku.”Cuba kau bandingkan darah kau dengan darahku….”

Gabungan not- not nada mampu menjadi nama seterusnya mengangkat empunya karya menjadi filem agung. Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Laksamana Do Re Mi. Mesejnya jelas, selepas berbakti kepada negara, habuannya tidak setimpal. “Zam zam…ala ka zam…..”

Konflik dua insan yang tidak berpuas hati dengan majikannya yang hipokrit, seorang namanya Labu dan seorang lagi namanya Labi. Filemnya terpahat memori kepada siapa yang menonton. Labu Labi dan Nasib Si Labu Labi.” Sekali aku lengsing…..”

Manuskrip sejarah Melaka, terukir nama pendekar hebat, handal bermain senjata, lincah berpencak, melangir keris menewaskan pendekar Majapahit. Namun, susu dibalas tuba. Hati siapa yang tidak sakit lantas menuntut bela amukan keris yang tidak bermata. Filem Hang Tuah. Bahayanya fitnah merah cemburu biru. “Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun….”

Terpesona gaya perempuan yang bijaksana, kisahnya Musang Berjanggut. Sekalian menteri yang bengap tatkala melihat wanita cantik, termasuk sama ketua negara, diperdaya dengan mudah oleh perempuan yang bijaksana. Senangnya mendapatkan musang berjanggut. “Oh…Puspawangi….”

Sekalian lagi citra manusia diolah dalam Tiga Abdul, Anak Bapak, Madu Tiga dan semua karyanya yang bermesej.

Irama harmoni yang menyanyikan lagu citra. Puitis karyanya konkrit mengkritik masalah bangsa sambil mencipta idealisme yang menjangkau masa hadapan. Nilai estetika yang tinggi.



Fatihi razali
Kuala terengganu
6 Safar 1431H
22 Januari 2010

Assalamualaikum



Tatkala mendengarnya terasa kehadiran empunya yang mengucapnya. Santunan yang harmoni sejak Islam itu memancarkan sinar nurnya. Indah dan dihargai. Nilainya doa selamat sejahtera. Tidak kompleks, tetapi molek.




Saat menulis manuskrip surat untuk dikirim, saat menaip email dan pesanan ringkas mesej kontemporari untuk dihantar, pemula bicara selalunya Assalamualaikum sebelum menjenguk hajat tulisan.



Tatkala berpisah juga, selembar salam dihulurkan tanda moga-moga selamat sejahtera. Maka, menjawab salam itu wajib.



fatihi razali
kuala terengganu
5 Safar 1431H
21 Januari 2010.

Berani Melangkah


Merenung ombak yang ganas menggulung semahu menghempas marah pukulan ke pantai bagaikan pemula amaran kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Lautan dalam yang pernah menjadi telaga korban menggetarkan jiwa yang kecil. Laut dilihat tiada apa melainkan alam yang sukar dan misteri. Namun, jutaan umat berterima kasih, sumber protein dapat dinikmati dengan sekenyangnya lantaran seorang nelayan itu berani melangkah ke dalam perahu berlayar sejauhnya semata-mata mahu melihat perut umat terkandung zat protein.




Himpunan pelajar yang panjang ketawa, bermain riang, buku bukan minatnya, idealisme pemikiran kritis tanpa pengalaman, apatah lagi pantang ditegur dan dicabar. Ramuan cabaran yang pahit untuk ditelan guru sepanjang zaman. Seperti biasa, seorang guru masih berani melangkah ke sekolah.



Dua hemisfera ini harmonis untuk dicontohi. Berani melangkah, maka selembar demi selembar benang halus terkait mencipta kain melitupi tubuh. Sebaris demi sebaris bait-bait indah tertulis melakar manuskrip hikmah. Segedung demi segedung niaga terbina mencapai empayar ekonomi. Serekod demi serekod pingat terkalung meraih gelaran. Seorang demi seorang insan mengerti hidup bersyukur. Episod balada berani melangkah.





Fatihi razali
Kuala terengganu
5 Safar 1431H
21 Januari 2010

Wednesday, January 13, 2010

Demam

Penyakit yang berulang. Bermula dari kecil hingga dewasa, ianya normal bagi seorang manusia. Sebab terjadi memberi namanya tersendiri. Boleh jadi demam biasa, demam selsema, demam denggi, demam kepialu dan bermacam lagi. Semuanya menjadikan fizikal tidak kuat berdiri, otak begitu berat. Tidur layaknya. Tidak lupa,solat itu wajib. Paling tidak isyarat mata. Indahnya Islam,tidak lupa kepada Yang Maha Penyembuh.



Kalau itu semua mengukur fizikal, yang ini mengukur emosi dan minda. Sebab terjadi juga memberi namanya tersendiri. Boleh jadi demam peperiksaan, demam bola, demam pilihanraya, dan bermacam lagi. Demam bercinta?.....Mungkin salah satu. Sindrom yang membuatkan hari-hari sentiasa indah. Ubatnya perkahwinan. Jadi, hadapilah dengan emosi yang tenang dan minda yang waras.





fatihi razali
kuala terengganu
27 Muharram 1431H
13 Januari 2010

Sunday, January 10, 2010

Mengantuknya........

Mata begitu berat untuk dibuka bagaikan dibebani sejenis objek yang berkilogram besar. Kelopaknya begitu payah untuk dibuka semacam digam melekat kuat. Akal mula buntu. Otak hampir terpadam memori. Minda menimbang separa sedar. Skrin pemandangan hampir gelap. Seluruh saraf mengerti,tiada lagi cas-cas yang mengalir. Hanya yang bergerak,mulut yang menguap. Kata orang, ubatnya tidur.



Ah, mana mungkin membiarkan syaitan bertenggek dikelopak mata, tidak mengizinkan telinga mendengar madah-madah hikmah sewaktu kuliah. Apatah lagi mengunci diri untuk tidak bekerja semata-mata melayan lena. Paling dashyat, terlelap sewaktu memandu. Nyawa korban padahnya. Walaupun tidak sampai sesaat. Kehilangan orang tersayang menjadi sejarah hitam lantaran dek mengeluh ah......mengantuknya...Kata ahli hikmah, ubatnya air wudhuk.


Maka, berwaspadalah. Kata doktor, tidur dan berehat secukupnya.





fatihi razali
kuala terengganu
24 Muharram 1431H
10 Januari 2010

Wednesday, January 6, 2010

Rindu akan sodiqoti………

Perasaan ini datang tanpa diundang. Perasaan yang membuatkan hati tertanya-tanya, diri ternanti-nanti untuk mata menatap dengan puas wajah yang tak lekang dengan senyuman yang menyejukkan hati. Kelopak telinga masih terbuka menunggu untuk mendengar kembali gemersik suara gelak ketawa. Sejarah minda tidak lupa nasihat dan kata-kata azimat.


Saat memegang pena untuk menulis bait-bait cinta, pena lebih suka menari melukis rajah rindu. Saat hati terdetik berbicara cinta, hati lebih senang berbisik sendirian yang hati ini rindu. Rindu ini ingin menyanggah tradisi makan tak lalu, mandi tak basah, tidur tak lena. Kerana rindu ini membuatkan hati semakin kuat untuk berjuang.


Rindu akan sodiqoti………



fatihi razali
kuala terengganu
20 Muharram 1431H
6 Januari 2010

Saturday, January 2, 2010

Bermain di taman ilmu....



Deringan jam loceng yang memecah keheningan pagi serta membinggitkan kelopak telinga,mula mewarnai hidup yang telah ditinggalkan dua bulan yang lepas. Bangkit bingkas bangun sambil menggeliat comel lantas menyentap tuala untuk membersihkan diri. Uniform baru yang siap disarung bagaikan menjadi perisai baru dalam berjuang di medan ilmu.Saat menyarung jersi baru,terpancar senyuman manis semangat baru.


Seorang pelajar muslim yang cemerlang mana mungkin keluar ke taman ilmu tanpa dahi mencecah ke sejadah, tangan mengangkat berserah diri kepada Yang Maha Agung. Solat itu sendiri kejayaan.

Langkah demi langkah ke taman ilmu, seiring matahari naik sedikit demi sedikit, sinarnya membakar semangat untuk menjadi pelajar cemerlang akademik, cantik sahsiah, berupaya memimpin umat.

Saat bermain di taman ilmu, jangan lupa kepada penyemai benih kasih sayang yang bergelar guru. Saat mengira campur tolak darab bahagi, jangan lupa mengira dosa dan pahala. Saat menekuni fakta sains, jangan lupa menelaah fakta Al-Quran.Bermainlah dengan riang di taman ilmu.




....buat guru,selamat mendidik untuk sesi yang baru.......buat adik-adik,selamat melangkah ke taman ilmu.......selamat memulakan sesi persekolahan yang baru.....





fatihi razali
kuala terengganu
16 Muharram 1431H
2 januari 2010