Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Thursday, April 29, 2010

menepuk air di dulang, terpecik ke muka sendiri

Cermin bukan sekadar memantul balik imej untuk mata memerhati dimana segak pakai perlu dikemas malah memapar luas kekurangan dan kekuatan diri. Segala yang retak dicermin menampakkan garis-garis yang retak di hati.


Ironi tidak memandang cermin ini, terlajak kata bagai menepuk air di dulang, terpecik ke muka sendiri. Air yang terpecik ini sudah pasti mendatangkan geram. Makanya, kalau hendak meludah, jangan ke langit. Sedia faham, sedia tahu.


Fatihi razali
Kuala terengganu
13 Jamadilawal 1431H
28 April 2010

Imam Malik

Sebatan yang hampir mematahkan tulang belakang, insan ini cekal dengan pendirian fatwanya. Sebelum itu, jasadnya diheret dan diarak sekeliling tanah suci Kota Madinah. Tidak tunduk dengan arahan pemerintah, semata-mata mempertahankan fatwanya. Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan.


Kota Madinah yang bercahaya ini seharusnya tidak layak menyaksikan penderitaan mujtahid agung pelopor Mazhab Maliki yang terseksa menanggung penderaan kezaliman pemerintah. Pengarang kitab Al-Muwatha’ yang dihafal muridnya yang cerdas Imam Syafie. Pernah dipuji muridnya Imam Syafie “Apabila disebut ulama, Malik ialah bintang yang bergemerlapan.”

Dunia Islam bersinar dengan kelahiran Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally dari perkampungan kecil Ashbah. Masyhur dalam ilmu fiqh sebagai Imam Malik.



Fatihi razali
Kuala terengganu
12 Jamadilawal 1431H
27 April 2010

Monday, April 26, 2010

Umpama minyak setitik, di laut sekali timbul juga

Titis atau tumpah ke air, tetap timbul. Nisbah ketumpatannya lebih rendah berbanding air. Seluas lautan, sealir sungai, setenang kolam, atau sebekas air, tidak bisa ia tenggelam. Jasadnya terapung bukan kerana daya tujah yang menolaknya, tetapi sifat ketumpatannya tersendiri yang mengangkat dirinya timbul. Bicara mengenai siapa semua ini?Ini ialah minyak.


Begitu sifatnya kalau orang yang baik. Biar kemana-mana orang akan kenal, malah dihormati dan dimuliakan. Umpama minyak setitik, di laut sekali timbul juga. Tidak seperti nila yang merosakkan susu sebelanga.



Fatihi razali
Kuala terengganu
11 Jamadil awal 1431H
26 April 2010

Umpama sirih menjalar dulu kemudian melilit baru memanjat ke junjung

Istilah kontemporari ditulis metodologi. Boleh juga dinamakan sebagai prosedur. Dalam urutan proses dikenal carta alir. Semuanya bermaksud cara kerja yang mengikut urutan. Tampak lebih bersistematik dengan fragmen-fragmen tertentu. Lapis masa boleh disusun. Objektifnya boleh dibidik dengan melihat kanta indeks.



Merenung alam hijau membugar pemikiran dan intuisi. Umpama sirih menjalar dulu kemudian melilit baru memanjat ke junjung. Pengertiaannya, tiap-tiap pekerjaan dikerjakan mengikut aturannya. Kata bos “sediakan blueprint, saya nak tengok.”



Fatihi razali
Kuala terengganu
11 Jamadilawal 1431H
26 April 2010



Glosari
Metodologi = cara kerja
Fragmen = bahagian
Intuisi = gerak hati
Blueprint = rangka tindakan

Saturday, April 24, 2010

udang merentak dalam tangguk

Melihat cermin yang sedikit retak, tampak melankolik dan lara. Berpusing berjalan berulang-alik berpintal langkah sambil tangan mengenggam kuat membentuk penumbuk yang kadang kala menumbuk telapak tangan yang satu lagi. Ekspresi air muka yang resah tampak dahi berkerut. Pasti malam ini insomnia.


Kalau jiwa sudah resah, fikiran tidak jeda memerah buah serebrum untuk mencari jalan.
Analepsis dan antisipasi yang berlegar di minda memungkinkan naratif seperi resah dan gelisah. Perasaan yang tidak tenteram ini, diksinya seperti udang merentak dalam tangguk.

Tazkirahnya, dengan menginggati Allah, hati akan menjadi tenang.

Fatihi razali
Kuala terengganu
9 Jamadilawal 1431H
24 April 2010



Glosari
Melankolik = berasa sugul
Insomnia = sukar untuk tidur
Tidak jeda = tidak putusnya/tidak henti-hentinya
Analepsis = imbas balik
Antisipasi = perkiraan atau bayangan tentang hal-hal yang akan terjadi
Naratif = cerita
Diksi = pemilihan kata yang tepat

Wednesday, April 21, 2010

seperti gunting makan di hujung

Bicaranya tidak panjang. Boleh dikira sederhana panjang. Namun lantunan hujah-hujah hasil pemikiran yang tepat mampu menggugah jiwa dan minda yang mendengarnya. Kalau pendebat yang menentangnya pasti terkelu beberapa saat sambil otak memutar ligat mencari hujah balas.



Kalau membidik sasarannya jitu dan persis, maka berbicara seperti gunting makan di hujung. Perkataannya tajam tusuk menikam kalbu. Lengkingan kata-katanya memantul di dalam minda untuk diri bermonolog supaya tidak berhujah balas dengan kata yang bombastik.


Fatihi razali
Kuala terengganu
6 Jamadilawal 1431H
21 April 2010.

Tuesday, April 20, 2010

Rambut yang sudah dua macam

Selalu mendengar, rumah kata pergi, kubur kata mari. Tandanya umur sudah melebihi setengah abad. Citra hidupnya sudah lama. Kenal benar lapis ragam hidup. Pengalamannya berguna untuk titipan yang masih muda. Rambut yang sudah dua macam masih lagi segak mengenakan pakaian.



Tebal kanta mata berbingkai, luas visual rencah kehidupan. Bual bicara berpantun nasihat sambil menyanyikan syair citra untuk telinga mendengar hingga turun ke hati. Marahnya kerana sayang bukan benci. Tegurannya kerana nasihat bukan perli. Mendengar dengan hormat dan meraikan dengan hormat juga.

Hormat kepada orang tua.

Fatihi razali
Kuala terengganu
5 Jamadilawal 1431H
20 April 2010

Patah sayap bertongkatkan paruh

Sekali melangkah pantang berundur. Bait-bait perjuangan yang dilontar jauh beberapa meter ke hadapan. Laungannya bergema membakar semangat pewira untuk mara tanpa menoleh ke belakang. Setiap yang berjuang yakin akan pertolongan Ilahi.



Episod yang berjuang, daripada melangkah hingga merangkak, daripada merangkak hingga meniarap, namun horizon cabaran tetap diredah. Andai kaki ini tidak mampu lagi melangkah laju, perjuangan tidak akan ditinggalkan. Masih ada tangan untuk menghayun buaian perjuangan, masih ada akal untuk memberi buah fikir. Patah sayap bertongkatkan paruh.


Fatihi razali
Kuala terengganu
5 Jamadilawal 1431H
20 April 2010

Monday, April 19, 2010

membuang garam ke laut

Sia-sia, kalau terkena perkataan ini pedih jiwa. Bukan sahaja tidak dapat habuannya, tetapi mungkin boleh ditimpa rugi. Hasilnya sia-sia dalam pelakuan yang tidak baik menyebabkan cemuhan datang bersama angin kutukan. Mungkin berbunyi membuang garam ke laut.



Tetapi, kalau hasilnya tidak berhasil dalam percubaan yang baik, bukan sia-sia namanya. Tepukan harus diberikan tanda meraikan percubaan yang bagus.


Fatihi razali
Kuala terengganu
4 Jamadilawal 1431H
19 April 2010.

emas berpeti kerbau berkandang

Kunci, ikat, jaga atau mana-mana perkataan yang maksudnya serentak dengan peribahasa emas berpeti kerbau berkandang seharusnya jangan alpa. Simbolik peribahasa ini begitu bermakna supaya tidak susah dan gundah gelana di kemudian hari.


Mata-mata liar tidak lekang menoleh, mengintip, menjeling mana tau ada kesempatan saat yang sedikit mampu memberikan pulangan yang lumayan. Harta benda jika sudah dicuri atau dirompak, resah hati jawabnya. Maka berwaspadalah.

Fatihi razali
Kuala terengganu
4 Jamadilawal 1431H
19 April 2010

bagai air menitik ke batu

Lekukan demi lekukan, hakisan demi hakisan, akhirnya batu itu menipis. Akibat daripada terjahan air yang walaupun menitik sedikit demi sedikit. Semua pertengahannya ‘demi’. Batu, objek fizikal yang keras akhirnya tetap mengalah dengan lembutnya air.



Begitu perumpamaan bagai air menitik ke batu, harmoni maksudnya mengubah sikap buruk seseorang dengan tekun dan sabar. Kerasnya batu, begitulah kerasnya sikap seseorang. Namun, air yang lembut bisa menerjah sehingga lapisan batu itu turut sama larut mengalir mengikut arus air. Usahanya bukan sehari dua, tetapi makan hari. Bersabarlah.Insyaallah.


Fatihi razali
Kuala terengganu
4 Jamadilawal 1431H
19 April 2010

Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak

Pemikiran Melayu sememangnya kreatif dengan memandang alam di sekeliling. Pengalaman menunggu padi masak membuatkan diri tidak selesa untuk duduk sahaja di anjung rumah. Luas tanah di belakang rumah mungkin sesuai untuk menanam jagung. Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak.


Sinonim frasa ini menunjukkan bangsa Melayu tidak malas. Selesai buat kerja ini, disambung pula kerja lain sementara kerja yang telah selesai memperoleh hasilnya. Nah, sikap ini patut dibangunkan semula untuk mencapai kejayaan.

Islam sendiri meraikan frasa peribahasa yang harmoni ini. Kejayaan diraih dengan kerja yang berkesinambungan.

Fatihi razali
Kuala terengganu
4 jamadilawal 2010
19 April 2010

Sunday, April 18, 2010

Agak-agak bertutur malam hari

Malam, hemisfera yang bersilih ganti dengan siang, selalunya banyak peribahasa Melayu yang membuka langsir malam untuk mengintai purnama bulan. Kalau bertutur itu, agak-agak laras bahasanya.


Agak-agak bertutur malam hari, maknanya selalu beringat-ingat bercakap sesuatu. Hati-hatinya melontarkan kata-kata mungkin sama analoginya terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.


Fatihi razali
Kuala terengganu
3 Jamadilawal 1431H
18 April 2010

air yang penuh di tempayan tidak akan berkocak

Tidak berubah pendiriannya, masih teguh prnsipnya, kerana dirinya penuh ilmu. Ramuan penuh ilmu itu tahu subjeknya dan faham pengertiaannya. Walaupun hatinya cuba diketuk namun fikirannya sedia untuk tidak mendengar ketukan itu.



Idealismenya tuntas teguh peribadi. Kalau berdentum guruh dilangit, dirinya tidak mahu air di tempayan dicurahkan. Dirinya tahu air di tempayan itu sudah memenuhi ruang isi tempayan.


Berdepan goncangan iman, tetap tidak bergoncang. Diserang kocakan pemikiran, tetap tidak berkocak. Tahu akan ia, air yang penuh di tempayan tidak akan berkocak.


Fatihi razali
Kuala terengganu
3 Jamadilawal 1431H
18 April 2010

Ada padi semua kerja jadi, Ada beras semua kerja deras

Dinafikan atau tidak, setiap pergerakan mendambakan suatu nota kertas yang bernilai untuk dijadikan sumber bagi menggerakkannya. Kalau yang berjentera petrol, bergeraknya memerlukan petrol yang dibayar. Kalau yang dalam proses, kepingan nilai ringgit perlu dihulurkan.



Baik atau tidak, bergantung pada cara kerjanya. Kalau ianya modal, perlu disegerakan lunasnya untuk kerja itu dibuat. Kalau ianya upah atau gaji, perlu dihargai setelah kerjanya diselesaikan. Kalau ianya dalam takrifan rasuah, titik noktahnya haram. Bangsa yang menolak rasuah nescaya dikagumi bangsa lain. Tiada yang lebih baik daripada perkataan berkat.

Duit atau wang,istilahnya Ada padi semua kerja jadi, Ada beras semua kerja deras.

Fatihi razali
Kuala terengganu
3 Jamadilawal 1431H
18 April 2010

Wednesday, April 14, 2010

Meraikan kegagalan

Membaca kisah citra ikon-ikon yang berjaya dalam arena yang ditempuri, isinya dikutip dan cuba dihadam dalam jiwa sanubari, betapa mengerti kejayaan tidak datang semudah apa yang diimaginasi dalam kotak fikiran. Membuat tidak semudah berfikir, berfikir tidak semudah berbicara. Gagal berfikir, maka gagal berbicara.


Ada kejayaan yang rentak iramanya beralun merdu, ada kejayaan yang apinya antara nyala dan padam, ada kejayaan yang waktunya setelah menunggu seribu satu tahun kegagalan. Kejayaan mungkin tidak diraih jika terus meletakkan titik noktah selepas perkataan gagal.


Dua maksud ketika mana meraikan kejayaan. Pertamanya meraikan nikmat. Keduanya meraikan kegagalan. Lembah kegagalan diraikan dengan terus berenang dengan gaya yang bebas.


Fatihi razali
Kuala terengganu
28 Rabiulakhir 1431H
13 April 2010

Sunday, April 11, 2010

Ibnu Sina

Qanun fi Thib, karya agung bidang perubatan, khazanah ilmunya dirujuk berabad lamanya. Nama pengarangnya meniti dibibir umat sejagat sebagai Bapa Perubatan Moden. Masyhur di dunia barat dengan nama Avicenna.



Membilang nama-nama cendekiawan Muslim, terselit dicelahnya Ibnu Sina. Daerah Afsyahnah, berdekatan Bukhara berbangga dengan kelahiran Ibnu Sina pada tahun 980M, sebenar namanya Abu Ali al-Husayn bin Abdullah bin Sina. Masyhur dikenali sebagai ahli falsafah, ilmuwan dan doktor perubatan beketurunan Persia.


Fatihi razali
Kuala terengganu
26 rabiulakhir 1431H
11 april 2010

Imam Hanafi

Namanya besar dalam dunia Islam. Mujtahid agung mazhab Hanafi. Lahirnya di Kufah pada tahun 80 Hijrah(699 Masehi) bagaikan permata yang menyinari lapangan ilmu-ilmu Islam. Masyhur gelarannya Imam Abu Hanifah, sebenar namanya Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha, keturunannya Persia.



Cukup mendengar pujian Imam Syafie “Manusia fakir(berhajat) kepada Abu Hanifah dalam fiqh”, maka tahu faqihnya. Kemana kembaranya tidak lepas tinta untuk menulis hadis. Diketahui posisi sebagai seorang pedagang yang berjaya, masih juga jauh hidup bermewah.


Didera, dicambuk dan akhirnya diracun, suatu penderitaan dalam penjara sehingga wafat pada umur 70 tahun lantaran tegas tidak mahu menerima jawatan dalam kerajaan. Lautan ilmu fiqhnya masih dapat diminum sehingga kini.


Fatihi razali
Kuala terengganu
26 rabiulakhir 1431H
11 april 2010

Jurutera


Praktikal, adalah suatu ungkapan kolektif dalam minda jurutera. Merekabentuk, mencipta, menambah nilai, memproses, dan membina, semuanya dalam citra filosofis kejuruteraan. Komposisi penyelesaian masalahnya mengambil kira faktor konkrit, selamat dan ekonomi.

Kelananya mencabar idea sehingga mampu diaplikasikan. Inovasi dan kreatif, dua ikon tema idealisme jurutera. Pencapaiannya bukan sahaja meraikan kejayaan, malah juga meraikan kegagalan. Kegagalan yang diraikan bermakna ada usaha untuk meraikan kejayaan.


Fatihi razali
Kuala terengganu
25 rabiulakhir 1431H
10 April 2010

Pagi

Tampak cerah hemisfera bumi meraikan suasana segar udara pagi. Burung-burung yang mula berkicauan menyanyikan balada pagi memberi isyarat misi hari ini siap untuk dicapai. Permulaan hari untuk menjana kecemerlangan umat.


Menyelak langsir pagi untuk mengintai-intai ruang solat sunat dhuha dibangunkan sebagaimana anjuran Nabi saw. Mohon dimurahkan rezeki. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam.

Nafas cergas yang diatur seirama lapis udara pagi, serentak minda cerdas melontarkan buah fikiran meraih kegemilangan.



Fatihi razali
Kuala terengganu
25 Rabiulakhir 1431H
10 april 2010

Tuesday, April 6, 2010

Berfikir sejenak

Hentian transit untuk beralih ke arah idea yang lebih baik memerlukan otak serebrum ini menghidupkan cas-cas fikiran dan mematikan enjin pergerakan. Rasional, praktikal, mudah, kepuasan seadanya, tanpa lupa perkiraan perasaan orang lain, antara pertimbangan yang menari-nari di pentas fikiran.


Minit untuk berfikir sejenak kadang-kadang melangkaui suku,setengah dan sehingga melengkapkan pusingan jarum jam. Berfikir dengan jiwa yang tenang, buah fikirannya masak dan ranum.


Fatihi razali
Kuala terengganu
21 Rabiulakhir 1431H
6 April 2010

Mengejar sekeping pengiktirafan dunia

Sekeping helaian ini diiktiraf tamadun manusia sebagai permulaan pencapaian untuk pencapaian seterusnya. Pengorbanan untuk mengenggamnya bukan sahaja sekira-kira material, tetapi jiwa yang ghairah. Langkahnya berjalan dalam erti mengejar.


Harga kepingan ini tidak ternilai mahalnya. Mahalnya hanya terbayar jika idealisme tuntas yang manfaatnya dirasai manis umat manusia tanpa perlu berebut menodai keharmonian. Kesarjanaannya muda, diiktiraf masyarakat dunia.


Fatihi razali
Kuala terengganu
21 Rabiulakhir 1431H
6 April 2010

Sunday, April 4, 2010

Persimpangan

Persimpangan, boleh jadi dilema, boleh jadi cabang arah, boleh jadi antara dua, boleh juga jadi atau. Petunjuk jalan selalunya siap ditulis, cuma memutuskan antara bisa atau tidak. Terkadang, petunjuknya tidak ada,namun mungkin gerak hati yang mencetus untuk memilih.


Tetapi, persimpangan antara hak dan batil, halal dan haram, dosa dan pahala itu jelas. Sayugia memilih yang benar. Yang benar jalannya selamat. Selamat dunia dan akhirat.

Di persimpangan, kanan atau kiri yang harus dituju? Rasional, pengalaman, tawakal resipinya. Insyaallah, sampai kea rah yang dituju.

Fatihi razali
Kuala terengganu
19 rabiulakhir 1431H
4 April 2010

Membaca di gedung ilmu

Di sekeliling tempat duduk, berdiri binaan tinggi rak-rak yang tersusun rapi khazanah intelek sepanjang zaman. Bagaikan berada di tengah-tengah kota yang mana kiri dan kanannya bangunan-bangunan berkotak petak segiempat tepat.


Berhawa dingin membuatkan keadaan begitu selesa untuk menekuni beberapa manuskrip, kitab, buku, ensiklopedia. Khusyuk menyelak satu demi satu helaian muka surat tanpa sedar masa berdetik cepat.

Gedung ini jika dilawati, tidak tahu bila mahu mencari pintu keluar. Gedung yang tidak perlu mengeluarkan dompet untuk menarik beberapa keping nota bertulis RM melainkan denda jika terlewat memulangkan kembali buku yang dipinjam atau menfotokopi beberapa helaian muka surat. Tapi apakan daya, tutupnya sekian waktu.


Fatihi razali
Kuala terengganu
19 Rabiul akhir 1431H
4 april 2010

Teori Kimia Cinta

Kation kenal yang bertindak balas dengan anion kasih menghasilkan garam cinta dan air rindu. Persamaan kimianya lengkap dengan dibantu mangkin damba pada suhu sayang dan tekanan percaya. Teori Kimia Cinta yang dibuktikan melalui eksperimen pada diri insan.


Menulis tentang cinta, hanya mampu mengeja CINTA. Tidak tahu untuk dihuraikan dalam patah perkataan. Bercakap tentang cinta, hanya mampu menyebut CINTA. Tidak tahu untuk dijelaskan dalam bicara kata.

Lahirnya rasa, timbulnya perasaan, ketika kenal akan dia. Tak kenal maka tak cinta. Makanya, kenal Allah SWT, barulah cinta Allah SWT. Kenal Rasulullah saw, barulah cinta Rasulullah saw. Kenal dia, barulah cinta dia.


Fatihi razali
Kuala Terengganu
19 RabiulAkhir 1431H
4 April 2010

Pengalaman

Kolum ini wajib untuk diisi dalam Resume. Antara kolum yang bingung untuk menulis cerita kisah diri di tempat lama. Ah, tulis saja diri pernah ini pernah itu, capai ini dan capai itu. Apa yang penting, ianya berharga dalam meneruskan hidup pada hari yang mendatang.



Bicara orang lama, aku makan garam dulu, selalunya bagaikan point terakhir untuk mematikan hujah lawan. Ya, aku lebih berpengalaman daripada kau. Dalam hati terasa ingin menjawab, memang kau makan garam dulu,sebab itu kau ada darah tinggi dulu daripada aku. Tapi ada benarnya bicara orang lama, tidak dinafikan.

Asal dari kampong,
Duk main pon-pon,
Maggie sudah kembang,
Pentingnya pengalaman.



Fatihi razali
Kuala terengganu
19 rabiul akhir 1431H
4 April 2010