Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Wednesday, July 28, 2010

besar kepada kecil

Hari ini, ilham yang boleh dikongsikan datang menjengah ke dalam kepala minda. Ideanya bersumber fungsi biologi badan manusia. Nutrisi seperti karbohidrat,protein dan sebagainya yang masuk melalui organ dalam badan manusia dipecahkan kepada unit asasnya untuk diserap ke dalam saluran darah. Kalau protein, unit asasnya asid amino, karbohidrat unit asasnya gula, semuanya berpecah untuk diselesaikan oleh bahagian badan yang bertanggungjawab. Gabungan unit-unit kecil ini mengagahkan fizikal dan menstabilkan keseluruhan sistem badan.

Begitu juga apabila berhadapan suatu perkara yang besar. Perkara yang besar ini dipecahkan kepada perkara yang kecil-kecil. Perkara yang kecil ini diambil peranan oleh badan-badan yang bertindak. Penyelesaiannya daripada besar kepada kecil, tindakannya daripada kecil kepada besar. Suatu keadaan timbal balik yang harmoni. Sudah tentu matlamatnya daripada kecil kepada besar.


Di sebalik teori sains itu, mungkin boleh diintai kaedah kehidupan. Tetapi perlu diakui, sesuatu kejadian yang diciptakan oleh Allah itu sangat hebat. Teori sains hanya menyokong. Merenung kejadian di hadapan mata, kalimah syukur yang terpancul di mulut, merendam di hati.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
16 Syaaban 1431H
28 Julai 2010.

Ulang...


Dua hari berlalu dengan suatu percubaan yang boleh dikira baik pada pandangan diri, entah kalau daripada pandangan orang yang biasa melakukannya memandang masih agak jauh. Namun, tidak salah mencuba dan tidak salah bermula dengan sedikit mengikut kemampuan diri. Sebenarnya cerita ini berkisah apa?




Cerita ini berkisah menghafaz. Dulu, diri masih teringat kaedah menghafaz yang diterangkan oleh ustaz di sekolah lama. Ulang bacaan satu ayat sebanyak 40 kali. Kemudian, mengulang hafazan satu ayat tadi sebanyak 40 kali. Tidak perlu tergopoh-gapah untuk menghabiskan bacaan dan hafazan. Dalam perjalanan ke sesuatu destinasi, cuba ulang hafazan. Dalam solat, ulang hafazan selepas al-fatihah. Ketika melakukan aktiviti juga, hafazan tadi diulang. Ulang,ulang dan ulang. Insyaallah, berjaya. Berdoa semoga Allah memberi taufik dan hidayah.


………teka-teki………
“Tulang buang ‘T’ jadi apa?”…….. “ulang”
“Tulang buang ‘T’ jadi apa?”…….. “ulang”
“Tulang buang ‘T’ jadi apa?”…….. “ulang”



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
15 Syaaban 1431H
27 Julai 2010.

Tuesday, July 27, 2010

Siri Bedah Buku- Biar Kecil Asalkan Berhasil, Dato' Dr. Rusly Abdullah

Menceburi bidang keusahawanan tidak semudah memandang usahawan yang sedang menjalankan jual beli. Entah apa bebanan dan cabaran yang ditanggung usahawan itu. Bagaimana mereka bermula? Apa caranya? Semua itu berlegar dalam minda diri ini yang berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan. Selain meminta pendapat, diri ini juga sibuk membelek buku-buku yang boleh diambil tips untuk dijadikan panduan.



Diri ini telah dua kali khatam membaca buku Biar Kecil Asalkan Berhasil, karya Dato’ Dr. Rusly Abdullah. Penulis mencanangkan idea berniaga bermula dengan perniagaan kecil tanpa perlu berhutang. Usahakan selagi boleh walaupun kecil. Biar kita digelar penjaja jalanan yang tiada status, tetapi memegang sendiri kuasa kewangan tanpa terikat dengan ahli lembaga pengarah, tanpa berangan mendapat pulangan besar dalam pelaburan yang indah khabar dari rupa.


Kaedahnya, bermulalah dengan apa yang ada dan tidak perlu menagih kesempurnaan sebelum mula berniaga. Jiwa yang besar, mampu mengorak langkah ke hadapan. Sediakan tabung selesai berniaga yang mana siap membahagi modal, simpanan, kegunaan diri dan keluarga, zakat dan infak, pembesaran perniagaan dan melunaskan hutang. Walaupun kuantitinya kecil-kecil, tetapi berhasil. Daripada besar akhirnya bubar.


Idealistik perlaksanaannya dan mampu memberi semangat kepada pengusaha jalanan atau kecil untuk terus maju dan maju. Terlupa, buku ini belum dipulangkan kembali kepada sahabat yang turut sama terjun ke bidang keusahawanan.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
14 Syaaban 1431H
26 Julai 2010

Monday, July 26, 2010

Hari ini belum buat lagi.....

Rutin harian selalunya berjalan lancar seperti biasa. Setiap hari, produksi tidak ketandusan idea untuk mengutarakan secebis nukilan yang merupakan ekspresi bagi apa yang tergambar dalam minda. Ada saja tajuk yang ingin dikarang dan diolah dalam sintaksis patah perkataan. Biasanya berkisar interpretasi mengenai horizon yang ditempuh seharian.



Mengisi fragmen nukilan kali ini bertajuk ‘Hari ini belum buat lagi…’. Skopnya menyentuh komposisi kehidupan yang biasa dipraktikkan sehari-hari. Monolog “Hari ini belum buat lagi’ tiba-tiba menyedarkan jiwa ketika fikiran mula teringat apa yang belum dibuat. Kadang-kadang terlupa dek kesibukan. Selalunya membaca helaian al-Quran waktu ke-sekian. Selalunya memberi makanan pada binatang peliharaan. Selalunya menulis teks. Selalunya minum air kegemaran. Selalunya membaca buku. Selalunya itu dan ini. Tetapi ‘Hari ini belum buat lagi….’


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
14 Syaaban 1431H
26 Julai 2010

Bertukar kebiasaan atau beralih posisi

Bertukar kebiasaan atau beralih posisi, memerlukan satu tekad jitu yang wujud antara keberanian dan takut-takut, serta mungkin antara betul atau tidak. Minda yang telah diprogram agar tidak lari daripada kebiasaan agak mengikat diri untuk statik pada keadaan yang ada. Begitu sukar untuk memecahkan bingkai kerangka minda yang telah siap dipateri kukuh.



Eksperimen hentaman jiwa yang mencuba dalam keadaan terpaksa berjaya memecahkan bingkai kerangka minda tadi. Perbincangan keputusan ini menghurai teori bahawa bertukar kebiasaan atau beralih posisi mungkin dapat dilakukan dengan berani mencuba walaupun dalam keadaan tiada persediaan dan seribu kekurangan. Persediaan yang kosong dan kekurangan yang tak tertampung boleh dihadapi dengan buah-buah cadangan yang diutarakan sepanjang jalan beralih posisi iaitu melihat papan tanda pandangan-pandangan dan berkongsi kekurangan dalam kebersamaan menuju kejayaan.


Walaubagaimanapun, beralih ke suatu posisi yang sangat besar, teori ini mungkin tersasar daripada realiti. Perlu persediaan khusus. Mana mungkin orang terjun terus ke dalam sungai kalau tidak pandai berenang. Namun, kalau beralih posisi dalam konteks mencuba daripada tidak suka membaca kepada membaca, selalu menjadi penyerang kemudian menjadi penjaga gol, dan mana-mana cerita seperti ini, maka eksperimen ini teruji teorinya.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
13 Syaaban 1431H
25 Julai 2010

Friday, July 23, 2010

Siri Bedah Buku-Dua Dunia, Anis Sabirin

Malam ini, selesai sudah membaca travelog seorang wanita gigih dan semangatnya sekeras besi waja yang telah mengharungi suka duka di negara gergasi dunia, Amerika Syarikat. Travelog yang terakam dalam buku ini berjudul Dua Dunia, karya Anis Sabirin, juga seorang pengembara di benua besar Amerika Syarikat, di mana selalu kita kenal Amerika Syarikat melalui Hollywood.



Sedikit tentang biografi penulis, kunjungan awal sebagai mahasiswa yang mendapat Biasiswa Fulbright bagi melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Sastera(MA) Kajian Asia Tenggara. Kemudian penulis bertukar kepada bidang ekonomi dan akhirnya mendapat Ijazah MA dan PhD dalam bidang ekonomi antarabangsa. Dalam tahun-tahun 1980-an, beliau bertugas sebagai Profesor Adjung di beberapa buah universiti di Los Angeles. Pengalaman bekerja di Pejabat Perdagangan Malaysia di California, memberi peluang untuk bertemu dengan usahawan dari negara-negara lain juga termasuk usahawan Malaysia yang datang ke Amerika untuk meninjau pasaran di benua besar ini.


Kehidupannya selama 27 tahun di benua ini, disalin indah ke dalam buku ini. Dari isu mahasiswa, perkauman, jenayah, sastera, sehingga wanita dan remaja, penulis memaparkan citra hidup lengkap dengan latar tempat dan sikap yang beiringan dengan masa yang sentiasa berdetik. Washington D.C, Los Angeles, San Francisco, California, Beverly Hills, antara tanah yang pernah didiami penulis. Di sini, sekitar kehidupan masyarakat diceritakan termasuk gelagat anak-anaknya bergaul dengan masyarakat setempat, sambil meninjau senario Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun ketika itu.


“Di Amerika Syarikat, penerbitan buku yang berdasarkan kisah benar tumbuh subur. Pengarang-pengarang Amerika Syarikat boleh begitu bertenaga menulis buku-buku yang tebal dan terperinci tentang kes-kes jenayah yang berlaku pada masa kini. Lebih menghairankan mereka boleh melahirkan karya itu dengan begitu cepat selepas sesuatu kejadian itu berlaku. Selain itu, orang bebas menggunakan kemudahan perpustakaan di mana-mana universiti. Orientasi orang Amerika begitu taasub terhadap kejayaan kebendaan dan pencapaian pembaharuan serta ilmu pengetahuan.” Mereka suka bersaing. Perantau ekonomi dari negara lain turut sama berlumba membina kejayaan disini.


Namun, beberapa hal yang tidak enak didengar dan ditonton. Kebebasan seks, dadah, alkohol dan berlakunya kejadian tembak menembak di kalangan remaja, membarah di kota-kota besar Amerika Syarikat. Sedikit sebanyak, budaya ini mempengaruhi masyarakat Timur.


Tragedi hitam penulis di benua ini ialah kemalangan yang hampir meragut nyawa. Namun, ketabahannya di samping dorongan semangat oleh suami, membugar kembali kembaranya. Sekali lagi, suaminya menjadi teman yang faham ketika penulis terkandas dalam percaturan dunia pelaburan berbahaya iaitu berjual beli dalam komoditi. Sejarah  terkandas di Merrill Lynch ini mendorong penulis berpindah dari Claremont ke Washington D.C sekira jarak perjalanan selama seminggu dengan kereta Volkswagen bersama keluarga. Hidup ditempat baru selalunya bergelut untuk mendapatkan kediaman yang aman, dan pekerjaan bagi menampung keluarga. Namun, pergelutan itu berjaya diselesaikan.


Sekembali ke Kuala Lumpur, kilang membuat alat ganti bagi kereta proton di Kelang yang kemudian berpindah ke Shah Alam menjadi kesibukannya mengurus bersama suami selain kerap ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Karyawan Tamu. Membaca travelog ini, diri ini sedikit sebanyak mengenal Amerika melalui jiwa pengembara. Jika dibaca fakta dan ensiklopedia, mungkin penerangannya kaku bercerita latar tempat dan masyarakat. Tetapi membaca buku ini, latar tempat dan masyarakat meresap dalam pembacaan.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
11 Syaaban 1431H
23 Julai 2010

Thursday, July 22, 2010

Membelek sirah

Dunia perniagaan, atau juga keusahawanan, atau biasa juga kita dengar perdagangan, tidak semudah ungkapan jual dan beli. Disiplin dunia ini memerlukan keahlian khusus. Gabung jalin bakat dan minat. Entah kenapa diri ini, sejak akhir-akhir ini terasa tidak termotivasi dengan dunia ini. Mungkin kelambu selesa masih menutup kamar perjuangan sehingga masih lena dibuai mimpi. Atau juga nyamuk-nyamuk yang mengundang ghairah menepis tidak lagi hinggap mencabar waktu tidur.



Pernah juga diri ini mendengar, jika tiada apa yang ingin dilakukan, asahlah pensel. Itu paling kurang. Tetapi, diri ini lebih suka membaca berbanding mengasah pensel. Membelek buku motivasi perniagaan, tahu tips-tips yang mengerakkan hati untuk terus berusaha. Ghairah menimba ilmu melalui psikologi dan sains, terkadang kita lupa mengintai sejarah dan membelek sirah.


Membuka lembaran sirah selepas Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat, kagum dengan sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdul Rahman bin Auf. Di Mekah dikenali seorang yang kaya. Kini selepas hijrah, tiada apa yang tinggal. Namun ketika ditawarkan harta oleh Sa’ad bin Ar-Rabi’, Abdul Rahman bin Auf menolak dan sebaliknya minta ditunjukkan pasar. Mentega dan keju menjadi barang jualannya. Dengan kecekapannya berdagang, kekayaan kembali dirasai. Ada juga di kalangan Muhajirin yang turut sama berdagang. Kepandaian orang-orang Mekah dalam bidang perdagangan, muncul kata-kata orang; Dengan perdagangannya itu ia dapat mengubah pasir sahara menjadi emas.


Kalau cinta? “Rasanya keluar dari litar sembang ini”………………



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
10 Syaaban 1431H
22 Julai 2010.

Siri Bedah Buku-Biografi Sasterawan Negara A.Samad Said, Awang Abdullah

Memulakan siri bedah buku pada kali ini dengan kalimah syukur kepada Allah SWT. Syukur kerana dipertemukan jodoh dengan buku ini, buku yang memaparkan biografi seorang sasterawan negara. Diri ini pernah melihat sosok tubuh ini secara langsung ketika demonstari mansuh PPSMI di Masjid Negara kira-kira setahun yang lalu. Selebihnya, diri ini hanya menatap wajahnya di lembaran akhbar, buku dan internet. Cuba juga membaca karya puisi, cerpen dan mendengar lirik lagu Bahasa Terindah. Cuma belum membelek karya novel yang berhalaman tebal seperti Salina, Ke Mana Terbang Si Burung Senja, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Wira Bukit, Hujan Pagi, Bulan Tak Bermadu di Fatherpur Sikri dan Lantai T. Pinkie. Entah bila diri ini bertemu jodoh dapat mengikuti travelog dalam karya-karya agung ini.




A.Samad Said, wajah penulis besar ini mudah dikenal dengan rambut, janggut dan jambangnya yang panjang dan memutih. Dalam usianya yang senja ini, masih mampu berkarya dan berkongsi semangat buat penulis muda. “Nak jadi penulis, kena rajin membaca,” nasihatnya. “Saya membaca 10 hingga 12 buah buku sehari, secara tebuk-tebuk,” contohnya.



Anak kelahiran Kampung Belimbing Dalam,Melaka pada 9 April 1935 ini mendapat dorongan yang kuat daripada ibunya yang suka bercerita. Derita hidup zaman perang diungkapkan dalam karyanya. Bergaul dengan penulis-penulis besar, sudah pasti pencak menulisnya tangkas. Maka, Anugerah Pejuang Sastera, Anugerah Sastera Asia Tenggara(SEA Write Award), dan Anugerah Sasterawan Negara layak baginya. InsyaAllah, tidak mustahil Anugerah Nobel Kesusasteraan menjadi miliknya.



Apa yang boleh direnung di sini ialah saranan, nasihat dan ungkapan kata-katanya. “Perjalanan atau pengembaraan juga sebenarnya adalah proses menuntut ilmu; proses mematangkan minda dan menterjemah misteri dunia,”

“Kesusasteraan adalah laporan hidup daripada siri krisis yang dihadapi oleh manusia, kepatahannya, sukanya yang sedetik dan dukanya yang berpanjangan, ketawanya yang pendek dan tangisnya yang berulang,”

“Seorang penulis perlu mempunyai bingkai peribadi yang akan menjadi identiti unik penulis itu sendiri,”

“Kata-kata penting dalam sastera kerana kata-kata menjadi wakil hati nurani yang sah seorang penulis,”



Teks pidatonya “Menulis itu Resah yang Bahagia, Duka yang Indah. Saya sebenarnya amat khuatir untuk mencanangkan sesuatu landas, kerana canang peribadi biasanya canang angkuh. Apabila setiap kali kita menulis kita sebenarnya sudah pun menyingkap diri. Dan biasanya akan ada kecenderungan untuk banyak menjulang egoisme sendiri. Dalam hubungan ini sebenarnya ada dua cara: Satu, mengumumkan satu idea besar yang biasanya tidak mesti akan terisi: satu lagi, cukup sekadar menjengah sejarah sebagai landas bagi membangunkan semula dunia mutakhir yang sekira-kira difahami. Dan saya serasi dengan jalan yang kedua ini,”


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
9 Syaaban 1431H
21 Julai 2010

Tuesday, July 20, 2010

laporan enam bulan pertama.....

Diam tak diam, sudah enam bulan kami berpeluh memerah tenaga di gerai burger yang di mata sendiri tampak biasa. Itu di mata sendiri, kalau di mata orang lain, mahu juga mendengar kutukannya. Tetapi, kami boleh tersenyum kerana gerai burger itu hasil karya seorang yang bekerja kuat dan profesional. Kami hanya memasang atapnya sahaja. Lagipun menggunakan kayu-kayu terpakai. Bunyinya seperti teknologi hijau. Tinggalkan cerita gerai burger kami kerana selepas ini, gerai ini akan disolek dengan lebih ceria.




Si jurutera elektronik dan si jurutera kimia menjual burger. Aneh juga bunyinya. Boleh membuka ruang-ruang pesimis. Maka, kami terpaksa optimis. Mana tahu, tumisnya sedap. Malam berganti malam(operasi hanya waktu malam), bisnes berjalan seiring bulan yang adakalanya cerah mengambang, adakalanya mengucup seperti sabit, dan adakalanya juga kabur-kabur anak bulan. Fahamkan maksudnya?


Namun, pancaran lampu kalimatang tetap dihidupkan, kuali tetap dipanaskan. Si jurutera elektronik setia mengoreng daging burger jika diminta, si jurutera kimia sedia membungkus burger untuk pembeli budiman. Setakat ini, pemasaran untuk tempahan hanya satu sekolah. Perlu bekerja keras mengembangkan pemasaran untuk meningkatkan jualan, seterusnya gaji boleh merasa lebih sedikit. Doakan, bisnes berjalan lancar, mengembang dan berjaya. Tidak lupa kaf ba ra kaf alif ta nun……keberkatan…..


Enam bulan berikutnya, berdepan dengan kenaikan harga petrol dan LPG…….



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
7 Syaaban 1431H
19 Julai 2010

Saturday, July 17, 2010

Soal rasa lidah tak boleh bohong

Semalam, turut merasa angin berita yang menyengat perasaan untuk tidak berpuas hati dengan pengumuman kenaikan harga barang keperluan rakyat. Walaupun kenaikan sen tidak besar, tetapi mampu menguris hati rakyat yang pendapatan tidak seberapa. Kata pemimpin, ini adalah untuk pelarasan harga dan tidak terlalu membebankan rakyat. Sungguh lancar mulut berbicara sedangkan pemimpin sendiri tidak sanggup bersusah bersederhana bersama rakyat. Bukan sahaja bicara lidah tidak bertulang, malah sanggup menyusup dan bersembunyi di sebalik istilah kata-kata yang sama sekali tidak difahami rakyat yang sebelum ini hanya sempat bersekolah rendah Melayu. Yang lepasan universiti pun terleka dengan istilah-istilah ini. Katanya, ekonomi mapan.



Kalau sebelum ini politik wang(rasuah), beri lesen(judi halal), bangkrap(hapus subsidi), jaga kesihatan kurangkan gula(naik harga gula) menjadi laungan yang nampak menyederhanakan situasi sedangkan ianya begitu parah, tetapi kini alasan pelarasan harga(barang naik, petrol naik) dicanang media arus perdana. Diri ini tahu, petugas media arus perdana sendiri tidak berpuas hati tetapi apakan daya, tugasan menyampaikan berita itu terpaksa disampaikan walaupun tidak seperti iklan “soal rasa, lidah tak boleh bohong.”


Sembang rakyat jelata mengatakan pendapatan tidak cukup, sembang ahli ekonomi mengatakan defisit sahaja memanjang, sembang pemimpin mengatakan rakyat harus memikul beban. Entah bila habisnya sembang-sembang ini berlegar dalam udara negara. Mungkin jika yang memerintah itu berjubah dan berserban dapat mengalih sembang-sembang ini menjadi pujian dan senyuman di bibir rakyat kerana yang memakai kemas berkot dan bertali leher nampaknya hanya mendabik dada pandai ekonomi, tetapi hancur.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
5 Syaaban 1431H
17 Julai 2010

Fotosintesis

Petang ini, di luar sana, hujan masih lagi membuat terjunan berani mati, namun manfaat bagi semua. Sekalian hidupan dapat merasai kasih sayang dan rahmatNya, walaupun curahannya berirama lebat, rintik, dan berhenti, kemudian rintik, seterusnya kembali lebat. Sebenarnya, rencana kelana petang ini adalah untuk bertamu ke rumah Mak Cik di Kg. Nibung, Kuala Berang. Sementara menunggu kereta, ada baiknya membelek sehelai dua buku rujukan tebal Fertilizers and Soil Amendments, kalau-kalau ada sesuatu yang terjumpa. Sememangnya buku ini dipinjam untuk mencari kalau-kalau ada yang bersangkutan dengan baja kompos.



Kenapa baja kompos? Kerana ada projeknya yang terbengkalai kaku tidak bergerak. Walaupun maklumat di internet sudah disaring, tetapi terjumpa buku ini, sayugia membelek dulu kandungannya. Ketika di sekolah rendah sudah mengenal apa itu fotosintesis, dewasa ini lebih mengerti persamaan kimianya, fungsi biologinya. Namun disebalik hikmah fotosintesis ini, tersingkap makna belajar melihat alam. Boleh dikatakan indahnya peribadi tumbuh-tumbuhan kerana sanggup menyerap gas yang dilepaskan manusia kemudian menyedut sedikit air dan berpanas di bawah terik matahari untuk menyediakan makanan dan oksigen buat manusia dan haiwan. Pengorbanan yang begitu indah. Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
4 Syaaban 1431H
16 Julai 2010

Friday, July 16, 2010

Siri Bedah Buku- Langit Ilahi 2 Kembara Hamba Mencari Cahaya, Hilal Asyraf

Berbicara tentang cahaya, tafsiran dan taksirannya menjurus kepada cerah, terang, bersinar, berkilau dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang mengambarkan dunia ini memerlukan cahaya. Cahaya yang berlegar dalam makmal sains diketahui umum, bergerak dengan halajau yang sangat pantas dan tidak mampu dikejar manusia. Namun, jika membaca buku Langit Ilahi 2 Kembara Hamba Mencari Cahaya, karya Hilal Asyraf, semacam cahaya itu sedang menyuluh sepanjang kembara, menyalakan mentol minda dan menjadi pencerahan hati yang gelap.



Mencari punca cahaya, kembalilah kepada Allah. Sebanyak 60 artikel yang termuat dalam buku ini, tidak terlepas merasakan diri ini hamba yang memerlukan cahaya bagi meneruskan kehidupan. Cinta Allah dan Rasul, ibu bapa, suis cahaya sudah dipetik. Begitu memotivasikan bila membaca artikel Allah Dekat dan Sedia Menolong, juga menggerakkan diri ini untuk Selesaikan Urusan Allah, Allah akan Selesaikan Urusan Kita. Penulis juga mengingatkan Lima Musuh Orang Mukmin sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang Mukmin itu sentiasa berada di ambang lima dugaan yang sukar: 1. Mukmin yang dengki kepadanya. 2. Munafik yang benci kepadanya.3. Kafir yang memeranginya. 4. Syaitan yang menyesatkannya. 5. Nafsu yang sering bertarung untuk menewaskannya.”


Cahaya itu datang menyuluh dengan adanya ilmu. Nukilan Imam Syafi’i yang tertera di kulit buku ini “ Ilmu itu adalah cahaya dan cahaya itu tidak akan menyimbah di hati orang-orang yang melakukan maksiat,”. Sayugia diri ini menjauhi maksiat. Menghabiskan pembacaan yang kira-kira panjang kerana membelek 260 muka surat, diri ini mendoakan penulis sentiasa dilimpahi barakah berkongsi ilmu, juga teman istimewa yang sudi menghadiahkan buku yang bermakna ini.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
4 Syaaban 1431H
16 Julai 2010

Nafas dan rumah

Nafas yang dipinjam untuk tiada lain,
pengabdian kepada Pemilik sekalian alam,
masih menarik menghembus berselang-seli,
sekira-kira setahun gerak nafas,
sebilion kali rentak degup jantung,
Doanya,
semoga sempat menghirup,
menghidu dan merasai,
embun sahur dan dingin berbuka,
dalam waktu nafas Ramadhan.


Melangkah bertandang ke rumah Ramadhan,
Setelah setahun tidak berkunjung,
Rindu yang tertunggu-tunggu,
Juga cinta yang ternanti-nanti,
Masih jelas anjung rahmat dan lambaian keampunan,
Bertamu dengan hati yang ikhlas dan rindu
Doanya,
Semoga sempat sampai,
Sempat berwudhuk dan membuka rehal,
Berjemaah sama di rumah Ramadhan.



Fatihi razali
Kuala terengganu
4 Syaaban 1431H
16 Julai 2010.

Thursday, July 15, 2010

Penghormatan yang tidak disedari.....

Membelek album foto dengan merenung lama setiap foto yang ditatapi bagi mengimbau kenangan lama kadang-kadang dapat mencuitkan hati dan mententeramkan jiwa. Ada juga foto yang memberi inspirasi untuk membuat kejutan dengan anugerah kejayaan. Segmen zaman kecil, foto-foto dibangku sekolah, dengan wajah comel rakan-rakan dan riang tawa yang tidak berkesudahan mengamit satu perasaan saat teringat ada di antara yang diberi arahan membaca dalam kelas dan diikuti rakan-rakan, ada yang mengetuai kumpulan bertugas, ada yang diberi tugas khusus hanya memadam papan hitam walaupun tidak gembira dengan debu kapur, ada yang mendapat hadiah kerana juara dalam peperiksaan dan tidak kurang ada yang kena berdiri di atas bangku sekolah. Sebenarnya itu semua adalah penghormatan yang diberikan sesuai dengan usia kecil. Ketika ini mungkin tidak merasa apa-apa, tetapi bagi guru, suatu penghormatan daripada guru.




Terima kasih para guru yang sentiasa memberi penghormatan pada manusia zaman kecil walaupun manusia zaman kecil itu tidak mengambil kisah sebenarnya. Adakah itu penghormatan atau hanya sekadar hadiah dan denda. Ya, ya, penghormatan yang tidak disedari.



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
3 Syaaban 1431H
15 Julai 2010.

Siri Bedah Buku- Membina Personaliti Terbilang, Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Buku Membina Personaliti Terbilang, hasil karya Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj sudah habis ditatap isinya, dibaca patah perkataannya dan banyak saranan-saranan yang membina jiwa untuk terus mendaki puncak kejayaan. Buku ini ialah hadiah daripada teman yang istimewa. Buku yang kulitnya berwarna oren ini menyegarkan mata dan menarik perhatian walaupun terselit di celah-celah buku di atas meja menulis ini. Penulis menyatakan bahawa buku bukan dinilai pada ilustrasi kulit tetapi apa yang terkandung di dalamnya. Ternyata, kandungannya tidak menghampakan jiwa yang membaca.




Buku ini setebal 319 muka surat yang termuat 79 artikel membangkitkan diri untuk membina personaliti terbilang. Masih memberkas di jiwa ketika penulis mengajak diri pembaca untuk melihat rumput bukan sekadar rumput. “Perhatilah, rumput tetap hidup walaupun dicabut dan dilemparkan jauh. Rumput tetap hidup walaupun tertimpa papan tanpa matahari dan air. Kalau anda ingin membina kehebatan dan kekuatan perasaan lihatlah rumput. Ia kuat dan tersangat kuat. Ia macam tidak berharga tetapi haiwan memakannya untuk mendapat tenaga dan terus hidup. Manusia pula memakan haiwan berkenaan lalu mendapat kesihatan dan kekuatan badan. Tidakkah itu menunjukkan rumput sangat kuat?”



Analogi ini antara salah satu kita belajar dari alam yang dibentangkan oleh Allah SWT. Tidak Allah SWT menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Sayugia diri ini merenung, berfikir sejenak, bermuhasabah dan seterusnya melakarkan peta kejayaan. Kembali semangat untuk meneruskan usaha.




Fatihi Razali
Kuala Terengganu
2 Syaaban 1431H
14 Julai 2010

Wednesday, July 14, 2010

Siri Bedah Buku-Novel Sejarah Islam Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem, Abdul Latip Talib

Hari ini, sebuah novel sejarah Islam bertajuk Salahuddin Ayubi Penakluk Jerusalem karya Abdul Latip Talib menjadi teman dalam waktu pembacaan yang sekejap-lama. Bilangan muka surat yang pada awalnya dianggap memakan lama untuk dihabiskan, rupa-rupanya hanya sekejap menatap pengembaraan pahlawan agung yang berjaya membebaskan Kota Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera Salib. Bermula halaman pertama sehingga akhir kalam, diri ini tertarik dan khusyuk meneliti perjalanan menyelusuri padang pasir, bukit-bukau, merentas samudera luas tentera Islam yang mengejar kemenangan ataupun syahid. Pemimpinnya, Salahuddin Ayubi yang digeruni sekalian raja di Eropah.




Diri ini timbul perasaan benci tatkala membaca perenggan dimana tentera Salib yang melanggar Baitul Maqdis pada tahun 490 Hijrah(1099Masihi) telah membunuh semua tawanan termasuk kanak-kanak dan memperkosa wanita-wanita. Mengapa dunia tidak mahu melihat Salahuddin Ayubi yang mempamerkan keperibadian yang tinggi. Selesai pertempuran merebut kota-kota strategik yang dimenangi tentera Islam, wanita dan kanak-kanak dibebaskan serta tawanan dibebaskan dengan bayaran tebusan. Sekalian tentera Islam sedar, berjuang hanya untuk mendapat keredhaan Allah Taala. Begitu yang ditarbiyahkan panglima mereka, Salahuddin Ayubi.



Membaca kisah-kisah siri peperangan, diri ini menangkap penceritaan strategi peperangan yang mengikut cara yang telah dilakukan Rasulullah SAW, motivasi dan disiplin tentera Islam yang tinggi dan sentiasa bergantung harap kepada Allah, telah membuahkan kemenangan menawan kota satu demi satu sehingga terbebasnya Baitul Maqdis pada tahun 588 Hijrah(1192 Masihi). Laungan azan kembali berkumandang di Masjidil Aqsa. Melekat di minda tentang masyhur kata-katanya ”Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia,” Sempat diri ini berdoa “Ya Allah, kembalikanlah bumi Palestin ke tangan umat Islam yang kini diratah rakus oleh Yahudi Laknatullah,”



Fatihi razali
Kuala terengganu
2 Syaaban 1431H
14 Julai 2010

Dipaksa

Diri yang dilanda cuaca malas dan jemu yang sekejap-sekejap datang membawa tiupan angin yang mengorbankan jiwa yang berusaha, tercari-cari tempat untuk berlindung dari ujian ini. Bukankah Pemilik Alam ini sedia melindungi hamba-hambaNya. Caranya berdoa, sebagaimana sabda Nabi SAW, mohon perlindungan daripada kemalasan dan ketidakberdayaan.



Melihat langit gelap kusam kerana diselubungi awan malas dan jemu, diri perlu dipaksa juga menyiapkan atap supaya tidak basah ditimpa hujan batu sebesar batu penghalang. Dipaksa, dipaksa dan dipaksa juga supaya usaha diteruskan ketika sekejap-sekejap perasaan malas dan jemu datang.


…………..Diri yang dipaksakan juga menghabiskan helaian bacaan al-Quran sebanyak dua mukasurat…………..


Fatihi razali
Kuala terengganu
1 Syaaban 1431
13 Julai 2010.

Sunday, July 11, 2010

Hujung minggu.....

Hujung minggu, waktu untuk bertapa sebentar dalam bangunan konkrit perpustakaan awam negeri untuk menyelongkar khazanah yang terungkap dalam manuskrip yang diakui sepanjang zaman, tidak lekang dan tidak lusuh, iaitu buku. Selain menyaring buku yang dipinjam, diri ini bersandar di kerusi empuk sudut ruangan majalah, menyelak halaman-halaman yang mungkin membugar minda dengan artikel semasa. Tidak mampu memenuhkan rak di rumah dengan majalah ilmiah, hanya berkunjung ke ruangan di sudut bangunan konkrit ini untuk menatap wajah majalah secara percuma. Ada yang menarik perhatian……….Artikelnya berisi peribahasa Melayu dan sains.




Peribahasa Melayu yang dasarnya tidak lari daripada ilmu sains. Indahnya pepatah yang berkias dalam tutur kata, tetapi menonjolkan permikiran tinggi. Diri ini sempat menyalin perbandingan pepatah Melayu yang disulami fakta sains untuk dikongsi bersama dan juga mungkin untuk titipan anak cucu kemudian hari.


Ludah ke langit, timpa hidung sendiri. Sainsnya menepati hukum graviti. Kias maksudnya, faham-faham sendiri.

Ibarat gasing berputar, tetap berpusing, tak berpaku, merayau. Sainsnya bumi yang berputar pada paksinya. Kias maksudnya, objek berputar perlu paksi, kalau tidak, habis….

Berwap nasi dingin. Sainsnya, penyejatan dan kondensasi adalah dua konsep yang bertentangan. Kias maksudnya, perkara mustahil akan berlaku.


Seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu, hingga ke batang, batangnya mati, hinggap ke ranting, rantingnya patah. Sainsnya, tumbuhan epifit(dedalu) hidup menumpang dan dapat makanan daripada pokok yang ditumpangi, akhirnya pokok itu mati. Kias maksudnya, orang jahat berhimpun dengan orang baik, rosaklah orang baik.


Mahukah orang menghujankan garamnya. Sainsnya, garam akan larut dalam air. Takkan mahu dibiarkan garam terkena hujan. Kias maksudnya, tidak ada orang mahu menghina atau menyusahkan keluarga sendiri, tetapi berhabis-habisan mempertahankan anggota keluarga.


Demikian beberapa coretan yang sempat ditulis. Bangsa kita tidak kurang hebatnya. Kalau Shakespeare sering diagung-agungkan sebagai manusia yang mampu berfikir atau menyatakan maksudnya melalui sajak atau puisi, pemantun atau pemikir Melayu tradisional pun tidak kurang agungnya. Struktur pantun ada rima dan rentaknya, bahasanya halus, tepat dan bernas. Struktur dan cara berfikir Melayu ini ternyata lebih kreatif dan lebih kompleks lagi.


Fatihi razali
Kuala terengganu
28 Rejab 1431
11 Julai 2010



Rujukan: 1) Dewan Sastera,DBP
              2) Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal, Memperkasa Bangsa Melalui Kekuatan Dalaman,Alaf 21.

Saturday, July 10, 2010

Dua saudara...

Malas dan jemu, dua saudara yang sentiasa bergabung untuk membenamkan lawannya dalam medan usaha. Usaha yang terpaksa memikul beban bertelingkah dengan dua saudara ini. Apakah agaknya strategi untuk menumbangkan dua saudara ini agar senang perjalanan dalam padang pasir yang tandus bantuan dari luar. Sekali congak, mungkin perlu menjerit dengan kuat ke udara. Tetapi awas, menjerit ke atas seolah-olah memberitahu Dia tidak mendengar? Tidak, tidak sekali-kali. Pohonlah dengan suara yang lembut.




Taktikalnya, dua saudara ini boleh ditumbangkan dengan kuantiti usaha yang sedikit tetapi istiqamah. Hatinya, sentiasa mencintai cungapan nafas usaha itu. Jiwanya, ghairah dalam keseronokan. Mindanya, jawapan berangka positif. Insyaallah, dua saudara yang sebelum ini menjadi lawan, kini bertukar menjadi kawan yang sentiasa mengacah dalam perjalanan.


Fatihi razali
Kuala terengganu
27 Rejab 1431H
10 Julai 2010.

Friday, July 9, 2010

F=ma

Menjejakkan kaki ke taman ilmu ini, misinya untuk berjumpa sang murabbi untuk berbincang jalan fikir untuk menaikkan prestasi anak didik. Bicara dalam fokus mata yang tertumpu ke helaian kertas putih mencatat keputusan ujian lepas, menangkap kemas pembentangan sang murabbi. Nasihatnya santai tetapi isinya tidak lain supaya diri dibangun bangkit menongkah hari-hari yang sekejap-lama sehingga hari peperiksaan sebenar.



Formulanya, F=ma, jisim didarab pecutan menghasilkan daya. Itu hukum fizik. Hukum belajar bagaimana? Hukum belajar ialah mengaplikasikan formula ini dengan jisim diri membuat pecutan berusaha untuk menghasilkan daya belajar sehingga mampu sampai ke dewan peperiksaan. Berusahalah, tinggalkan kawanan putus asa. Insyaallah, permata yang digilap akan bersinar.


Fatihi razali
Kuala terengganu
25 Rejab 1431H
8 Julai 2010

Wednesday, July 7, 2010

Mencintai latihan.........

Latihan, dilatih, latih tubi, antara perkataan yang sering mengasak hebat hari-hari yang berlalu. Latih itu bertatih dan latih juga letih. Kalau berlatih membidik, daripada persis kepada jitu. Kalau berlatih mengangkat, daripada gram kepada kilogram. Kalau berlatih membaca, daripada lambat kepada cepat. Konklusi berlatih, daripada pencapaian yang sedikit kepada kemajuan yang besar.




Sudah pasti dalam latihan, perasaan jemu, bosan, dan putus asa antara elemen yang menerjah jiwa untuk meletakkan titik noktah pada akhir perkataan latihan. Tidak dapat lari menjauh perasaan ini. Sekelumit perasaan ini membuatkan diri berpuas hati pada pencapaian yang sedia ada. Jangankan mengaplikasi formula dalam latihan, formula untuk menghilangkan perasaan-perasaan ini pun sudah bercabang jalannya. Makanya, diri sendiri terpaksa berlakon seolah-olah mencintai latihan agar latihan berjalan seperti biasa.


Fatihi razali
Kuala terengganu
24 Rejab 1431H
7 Julai 2010

Petang ini..............

Petang ini, coretan di ruang menulis kosong. Tiada aliran wacana yang ingin diketengahkan. Kata orang, pada waktu begini ada baiknya bersukan, berlari, atau beriadah. Biar tampak sihat, biar cergas, biar cerdas. Jantung yang bergetar mengepam dalam kadar aliran biasa dapat ditingkatkan kadarnya agar jantung sentiasa keadaan yang baik. Otot-otot juga turut sama mendapat latihannya. Rongga hidung ini dapat menghirup udara luar yang baik. Tidak hanya menghidu udara dalam bilik.




Sementara kuat dan sihat ini, sayugia diri ini mengeluarkan sedikit peluh untuk mengekalkan kecergasan. Kecergasan yang menyumbang ketahanan stamina, momentumnya menghasilkan daya gerak kerja yang berterusan. Makanya, bersenamlah.


……………Diri ini memberi ingat kepada diri sendiri untuk keluar melakukan latihan fizikal….


Fatihi razali
Kuala terengganu
23 Rejab 1431H
6 Julai 2010

Tuesday, July 6, 2010

lelaki budiman...hidupkan enjin anda.....

Enjin projek dihidupkan semula setelah sekian lama ditinggalkan di bawah garaj fail tanpa diusik oleh jari-jemari yang biasa menekan papan kekunci komputer riba. Nampaknya susah benar enjin ini dihidupkan kerana plug minda sudah lama tidak dipercik api idea, sudah membeku dalam kelongsong blok enjin otak walaupun silinder tenaga penuh bakaran semangat. Mungkin juga bendalir pelincir pembacaan tidak selincir dahulu atau jenisnya perlu ditukar kepada seperti iklan “ia bukan sekadar pelincir, ia kejuruteraan bendalir,”




Enjin projek sudah hidup, gear pacuan idea sudah ditolak kepada gear satu, tinggal menekan pedal untuk memulakan kembali perjalanan jari-jemari dalam halaju minda yang mula-mula perlahan. Harapnya pecutan bertambah tanpa menerima saman bernilai buntu yang datang melayang ke dalam peti surat minda.



“gentlemen…start your engine….”



Fatihi razali
Kuala terengganu
23 rejab 1431H
6 julai 2010

kuantan ke kemaman........

Bas rosak, masa destinasi sudah pasti dianjakkan lambat sedikit daripada sepatutnya. Sementara menunggu galang ganti, diri ini sempat menulis nota tentang visual yang dapat dilihat sekitar bas yang sudah tidur dengan nyenyaknya. Bicara beberapa pemuda yang risau tentang solatnya yang belum ditunaikan, resah beberapa orang pakcik yang mengejar waktu transit, gelagat beberapa orang yang cuba menelefon kenalan terdekat untuk datang menjemput, dan penerangan yang acap kali daripada pemandu bas memberitahu sekejap lagi bas lain akan sampai, antara adengan biasa seorang kembara yang terputus sekejap pengangkutan balik.




Sekejap-lama dalam penungguan, nampak kelibat bas datang. Hati ini kembali gembira mengenang diri ini dapat pulang. Namun, bas ini begitu sendat. Kalau ditambah kembara kami, tin sardin yang tidak berkuah nampaknya. Ketika ini kerjasama ahli kembara ditagih agar semua pengembara dapat juga bersama menyambung perjalanan. Akhirnya dapat juga semua ahli menyambung perjalanan setelah berhimpit-himpit padat. Saat berhimpit-himpit ini, mata diri ini terpandang wajah seorang yang menawan. Matanya dan mata diri ini bertentangan tidak beralih. Ah, tidak, bahaya godaan syaitan. Terus mata ini dialih ke luar tingkap menanti destinasi ini sampai.


…………perjalanan pulang dari SPKG 2010, dari kuantan ke kemaman………..


Fatihi razali
Kuala terengganu
23 Rejab 1431H
6 Julai 2010

Monday, July 5, 2010

Kesempatan dalam sehari.....

Kesempatan sehari dalam peta MRSM Kuantan, tentatifnya bernada “Back to Inspire” menyerap jiwa ini untuk mendengar sengenggam kejayaan warga lepas yang telah menempuh minit cabaran dengan jayannya. Formulanya, berusaha, berusaha dan berusaha. Bersua muka dengan teman lama, bernyanyilah lagu citra diri masing-masing. Syabas dan tahniah diucapkan. Semoga ikatan kenalan ini berpadu sebagaimana ikatan ionik dalam sebatian kimia, suatu ikatan yang kuat. Pak Tam, Bob, Pak Chu, Tewong, Bendut, Nadia, Zema, Wawa &Suami, Azmira, Azliza…………..bertemu kita hari ini….




Rencananya datang menjenguk ke SPKG 2010 adalah untuk menjamu hidangan motivasi daripada abang dan kakak senior di samping mendakap erat teman lama yang ketika dulu bersama-sama menjamu selera di Dewan Selera. Namun, terpaksa juga bergelak ketawa, bermain riang, berkongsi bicara dalam kumpulan adik-adik 5-13 yang nampaknya semangat untuk mewarnai wajah MRSM Kuantan. Dalam gelak tawa beramai-ramai, banyak perkongsian daripada dua orang kakak senior yang pernah memeriahkan taman ini pada tahun 1993. Sehari berlalu dalam hari yang sekejap menyuruh diri ini minta diri sebelum terlepas bas pulang, maklumlah sakunya hanya terisi cukup-cukup buat tambang. Bicara kepada mereka semua, kalau ada umur yang panjang, boleh kita bertemu lagi.


Batch 93(Kak Shaz &Kak Ilyana), kumpulan 5-13(Dean, Teh, Atira, Baz, Ain, Aiezzantie, Syafiq, Khairul, Ummi, Fyra, Faruq, Nash, Hilmi)……tandatangan kalian ada dalam buku nota ini…..


Fatihi razali
Kuala terengganu
21 Rejab 1431H
4 Julai 2010

Friday, July 2, 2010

Setuju atau tidak

Mendengar panggilan telefon bimbit, seribu tanda tanya teraruh mengalir dalam litar minda. Soalan teka-teki yang tidak disediakan jawapan pilihan objektif. Soalan pertama ketika kaki ini bergerak menuju ke arah telefon bimbit, siapa gerangan yang menelefon? Oh, dia rupanya setelah melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit. Soalan kedua, ada apa teman ni menelefon? Panggilan dijawab dan mendengarlah suara khabar dari teman. Didengar dengan teliti penawaran yang dibuat lalu disambut Insyaallah, akan memikirkannya secepat mungkin.




Doa dipohon kepada Allah Yang Maha Mengetahui untuk memandu aku membuat keputusan. Secarik kertas ditulis kenapa perlu setuju dan kenapa perlu tidak setuju. Beberapa point yang diambil perkiraan memutuskan diri untuk bersetuju. Serentak dengan keputusan yang diambil, monolog dalam diri terbina untuk berserah diri kepada Allah, semoga semuanya baik-baik belaka. Lantas diri ini menghantar pesanan tanda setuju. Sahut cabaran yang diberikan, diri ini bersedia dengan minda yang kosong.



Fatihi razali
Kuala terengganu
18 Rejab 1431H
1 Julai 2010

Rona warna si kecil

Seawal usia yang kecil, apa yang terhidang di depan mata dikunyah dan dihadam dengan baik. Kalau perkara yang baik, syukurlah. Tetapi kalau perkara yang buruk, minta dijauhkan. Maka, bukan bahu ibu bapa sahaja yang memikul, tetapi lengan-lengan orang di sekelilingnya turut sama perlu berpaut bergabung tenaga untuk sama-sama mencorakkan rona warna si kecil. Si kecil ini hanya tahu meniru dan menyalin semula perlakuan ramai tanpa bekal pemadam ditangannya untuk memadam mana-mana yang tidak perlu. Jadi, seorang pelakon manusia itu harus memberikan contoh lakonan yang baik di depan si kecil. Ingat, bukan sekadar lakonan, tetapi jiwa yang disulami etika dan tanggungjawab bersama.




Sepinggan hidangan yang berkhasiat untuk mengenyangkan perut si kecil tidak cukup untuk menjadikan si kecil membesar dengan baik. Seindah kata nasihat dan tunjuk ajar juga perlu disuap ke dalam pemikiran si kecil agar si kecil tidak resah menanti bual bicara si besar yang lembut dan penuh kasih sayang. Anasir hitam hendaklah segera ditempis dalam pencak rona warna si kecil. Insyaallah, seorang insan yang baik sedia membesar.



…………Teringat Yaya berusia 5 Tahun, meniru adengan cashier dengan menggunakan tetikus komputer yang bernyala untuk menyaring barang jualan(bedak dan sikat) dalam permainan jual-beli. Kemudian menekan papan kekunci komputer seperti mengeluarkan duit dari mesin petty cash sebagaimana adengan cashier di pusat membeli-belah. Tak terfikir apa yang difikirkan Yaya……..



Fatihi razali
Kuala terengganu
18 Rejab 1431H
1 Julai 2010

Bungkusan sampai

Kedengaran orang memberi salam di luar rumah, aktiviti sekarang yang kira-kira asyik melakukannya terhenti seketika untuk menyahut panggilan salam dari luar rumah. Melihat dari jendela, tercegat seorang pembawa amanah yang dipercayai daripada syarikat pos, memegang bungkusan untuk diserahkan kepada penerima. Saat itu hati berasa gembira kerana bungkusan yang ditunggu-tunggu akhirnya sampai.



Bagaikan seorang yang terkenal, tandatangan diturunkan apabila diminta, tetapi ini bukan autograf, cuma sain tanda bungkusan diterima. Berbentuk bongkah segiempat, bagaimana mahu membuka balutan bungkusan yang rapi ini. Punca balutan dicari untuk membuka balutan dengan baik dan sopan. Wah, bagusnya benda ini. Terasa begitu seronok mendapat hadiah daripada seseorang. Diri ini berjanji untuk cuba memanfaatkannya sebaik mungkin.



Fatihi razali
Kuala terengganu
17 Rejab 1431H
30 Jun 2010