Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Wednesday, August 11, 2010

Malam Pertama

Alhamduillah. Syukur. Sangat bersyukur sebenarnya. Terasa kerdil dengan pemberian Allah SWT yang masih memberi pinjam nyawa dan akal untuk menghirup udara malam pertama Ramadhan al-Mubarak. Kerinduan yang dipendam selama setahun dan akhirnya diberi peluang mendakap kemas Ramadhan al-Mubarak. Allahu Rabbi.

Fenomena orang yang terpisah, apabila berjumpa kembali, rembesan air mata menjadi acara utama. Begitu acaranya apabila terdengar frasa Syahru Romadhona(ila akhiri ayat) dalam bacaan qiam berdiri melengkapkan solat. Air mata bergenang menakung berat di kelopak mata, dan akhirnya tertumpah mengalir perlahan di dataran pipi. Masih diberi peluang kesempatan semalam bulan Ramadhan. Entah Sahur nanti masih berpeluang menjamah sunnah Rasulullah saw. Allahu Rabbi.

Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat paling besar yang Engkau bahagiakan ke atas diriku, nikmat Islam dan Iman. Alhamudillah.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
Malam pertama Ramadhan 1431H
11 Ogos 2010.

Sintesis

Sintesis dalam orbit sains melingkar tindakbalas paduan atau campuran bahan-bahan untuk menerbitkan hasil bahan lain yang didambakan walaupun terpaksa menempuh suhu yang panas dan tekanan yang tinggi. Sintesis yang cergas selalunya dimangkin oleh katalis yang tahan kalis dalam dunia suhu dan tekanan yang tinggi. Tindakbalas yang dipercepatkan memintas masa lazim proses.

Mengolah kehidupan dalam persamaan sintesis, begitu banyak rencah dan ramuan cabaran yang berpadu seterusnya bertolak-tolak cuba menjadikan diri tidak homogen.Untuk itu, katalis kadang-kadang menjadi teman untuk berbicara mangkin dengan nada yang semangat. Sintesis kejayaan sama ada cepat atau lambat, ianya sentiasa ‘menghasilkan’ sebagaimana simbol anak panah(menghasilkan) dalam persamaan sintesis.


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
23 Syaaban 1431H
4 Ogos 2010

Momentum

Perkiraan yang selalu menjadi perbualan tentang sesuatu yang memberi impak ialah momentum. Kadar perubahan momentum menghasilkan satu daya. Ironi sesuatu objek apabila dikenakan daya boleh membuatkan objek itu merasa apa itu makna impak. Sama ada impak positif atau impak negatif, impak maksimum atau impak minimum, bergantung kepada daya yang menghentamnya.

Mahu melihat impak yang besar dalam pencapaian ialah daya usaha yang tunjangnya momentum jasad yang bergerak. Jika statik pada kedudukan yang sedia pegun atau berselimut dalam kepompong, maka tiada daya yang terhasil. Daya memerlukan momentum yang sentiasa menujah. Menujah laju dan memecut pantas. Impaknya besar.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
28 Syaaban 1431H
9 Ogos 2010

Lemas

Sebaik-baik bagi yang ingin terjun ke sungai, tasik, laut atau kolam, ilmu berenang itu sedia tersemat dalam diri supaya tidak lemas tenggelam ke dasar. Tetapi, jika tidak pandai berenang, diri ini pada fitrahnya sudah boleh terapung kerana pengalaman kita dalam kandungan selama sembilan bulan, tidak pernah lemas. Benar, ketumpatan kita lebih rendah, maka boleh terapung. Tetapi, bagaimana perasaan panik boleh melemaskan diri?

Begitulah citra kehidupan. Untuk terjun ke suatu bidang, ilmu bidang itu harus dipegang pada kedudukan manusia pembelajar. Asasnya dipelajari, selok-beloknya diketahui, ramuannya dirasai, tipsnya dipetik dan sekalian yang berlegar dalam konteks ilmu, seharusnya belajar dulu. Boleh juga terus terjun, tetapi lemas menjadi pengajaran yang berguna. Lemas itu juga ilmu.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
28 Syaaban 1431H
9 Ogos 2010

Inovasi

Inovasi yang tercipta atau dicipta berbekalkan semangat optimis mampu mencelikkan mata yang terbangun dan takjub melihat hasil kerja yang ghairah. Usia bukan penghalang, tetapi usia mematangkan jiwa yang membangun. Tidak kira si cilik atau si tua, inovasi yang dipaparkan kepada umum mendorong manusia lain untuk melakukan inovasi. Paling kurang kenal apa itu inovasi.

Inovasi tidak hanya menunggu di stesen sains, tetapi sentiasa meruap dan menyerap di setiap pelabuhan kehidupan. Inovasi itu teruja berlepas ke angkasa, suka menyelam ke dasar laut, lancar bergerak di lebuhraya, merebak secara semesta dengan bernafaskan bahasa yang indah, sikap yang cemerlang dan ilmu yang bermanfaat.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
21 Syaaban 1431H
2 Ogos 2010.

Formula

Penyelesaian biasanya menagih satu formula yang disusun hasil analisis dan kajian secara holistik. Satu rumus yang tuntas memerlukan pekali-pekali atau faktor-faktor yang kukuh dalam menyusun baris persamaan. Metodologinya dikaji dan data keputusannya diolah untuk membuktikan hipotesis formula.

Balada mencari ramuan untuk menyiapkan formula ini ada polemiknya, korelatif antara simbol dan falsafah, tema dan persoalan, optimis dan pesimis serta pro dan kontra. Formula ini seharusnya masuk dalam kesedaran jiwa yang meluahkan kebenaran dan mengejutkan minda yang selama ini tidur. Lengkingan-lengkingan formula ini mengetuk hati yang kecil untuk menyimpulkan, ia sesuatu yang boleh dirasai nafasnya, walaupun tanpa melihat struktur jasadnya.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
22 Syaaban 1431H
3 Ogos 2010

Buntu

Kebelakangan ini diri begitu bingung. Bingung bukan kerana masalah yang datang menerjah, tetapi bingung kerana buntu untuk menulis coretan minda. Gelap, bagai keputusan bekalan elektrik. Buat masa ini, tiada isu yang boleh dicoretkan dalam ruangan ini. Ketahui sendiri, mana mungkin mentol menyala jika bekalan elektrik terputus. Kecuali jika ada sumber lain umpama bateri

Namun, bukankah buntu juga boleh dijadikan tajuk untuk mengisi ruangan ini. Ya, buntu. Ataupun mati akal. Tiada idea. Tiada jalan keluar. Jalan mati. Semuanya sinonim dengan frasa buntu. Ah! Usah dipedulikan berapa banyak frasa sinonimnya. Sebenar yang ingin diketahui ialah bagaimana untuk berjalan dalam waktu buntu ini. Firasat sendiri, jika buntu datang membuku dalam akal fikiran, seterusnya mengunci pergerakan tindakan, sayugia hati ini mengintai-ngintai punca cahaya. Pergilah kepada cahaya yang dituju itu. Insyaallah, pencerahan minda kembali membugar jiwa, melantun semangat, dan mengekspresi diri ke arah yang lebih baik.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
Malam 29 Syaaban 1431H
9 Ogos 2010