Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Friday, September 24, 2010

Merenung Bulan Purnama

Syawal masih lagi dalam suasana yang diraikan. Sudah masuk pertengahan bulan Syawal, di kala malam, bulan mengambang cantik penuh senyuman, tidak kedekut menyerlahkan sinar kepada sesiapa sahaja yang memandang.

Aku menulis coretan ini pada waktu petang kerana aku teringat, semalam, aku memandang bulan mengambang dengan penuh syukur. Begitu setiap kali pada pertengahan bulan, aku tidak akan melepaskan peluang mensyukuri nikmat penglihatan untuk merenung kagum dengan ciptaan dan kebesaran Allah SWT.

Merenung bulan purnama bukan kerana menunggu bulan jatuh ke riba, tetapi kerana kadang-kadang teringat wajah guru-guru yang pernah aku menguncup ilmu daripada mereka.

Aku masih terbayang memori pada bulan Syawal ini, diri ini ingin mencoretkan sedikit tentang pertemuan dengan Teacher Rohani, guru di Tingkatan Tiga, tahun 2000, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar. Sekarang nama sekolah sudah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali sejak tahun 2008.

Secara peribadi, aku lebih suka dengan nama sekolah yang pertama. Senang bercerita apabila orang bertanya, “Sekolah Mana?”, “Sekolah Bandor,” aku menjawab dengan penuh yakin. Boleh juga dikira, aku melangkah ke sekolah ini seorang diri. Maksudnya, mendaftar seorang diri. Umur ketika itu 13 Tahun. Tahun 1998.

Emak mengetahui pendaftaran sekolah dibuka setelah Mak Cik Nah(ibu Amri@panggilannya Meri) memberitahu, Amri dan abangnya pergi mendaftar ke sekolah hari ini. Abah pada waktu itu sedang bekerja.

Dengan sedikit duit yang diberikan oleh emak untuk membayar yuran, aku mengepit fail yang terkandung sijil-sijil dan terus sahaja membuat kayuhan basikal aku sehingga sampai ke sekolah. Waktu tengah hari, sesi pendaftaran di dewan telah lama selesai, aku yang berumur 13 Tahun ini belum mengetahui apa itu pejabat sebenarnya.

Melangkah sahaja ke pejabat, seorang cikgu bertanya, “Ada mende?” kira-kira lebih kurang begitu soalannya. “Nak daftar,” jawapan aku ringkas. Aku segera menghulurkan sijil-sijil aku. Cikgu perlu membuat semakan nama yang diterima masuk ke sekolah ini dulu sebelum menerima pendaftaran aku.

Pemberitahuan cikgu itu membuatkan aku tersentak. Semak nama dahulu? Kalau tidak diterima? Bagaimana ini. Tanpa pemberitahuan dahulu, aku sudah memandai-mandai pergi mendaftar sendiri.

Cikgu itu kembali. “Nama awak ada. Yurannya RM 150”. Fuhh…lega. Alhamdulillah. Setelah selesai urusan pendaftaran, aku pulang dengan kayuhan basikal yang lebih laju. Memberitahu kepada emak, sudah siap mendaftar. Tanpa mengira waktu panas tengah hari, di bulan puasa. Sampai di rumah, emak memberitahu cikgu sekolah rendah baru sahaja telefon, memesan supaya pergi mendaftar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar hari ini.

“Sudah balik cikgu. Terima kasih kerana mendidik saya selama di sekolah rendah,” aku berbicara di dalam hati.

Eh, sebenar tulisan ini ingin menceritakan memori beraya ke rumah Teacher Rohani, guru tingkatan tiga aku. Terbabas pula kisah diri aku mendaftarkan diri ke sekolah ini. Namun, di sekolah inilah titik pertemuan dengan Teacher Rohani. Mengayuh basikal dalam peristiwa Ramadhan sehingga menunggang motosikal untuk bertamu di bulan Syawal.

Syawal 5, 1431H. Selepas selesai menunaikan solat zohor di surau bersama Kerol dan Zaki, bunyi bingit ekzos motor kami kembali memecah suasana jalan raya yang tampak sunyi pada hari ini. Jalan Tok Adis Kuala Ibai ke Jalan Gong Tok Nasek.

Sebelum itu, kami, baru sahaja selesai menghadiri “naik rumah” Dr. Izzad@kami panggil Pok Jad di Taman Adis Indah. Pok Jad akan menimang cahaya mata tidak lama lagi. Doakan semoga semuanya selamat dan sihat. Rumah Pok Jad ini juga meriah dengan kehadiran teman-teman yang lain. Poji, Shahrir, Zarir, Duan, Pian dan rakan-rakan perempuan iaitu Sabrina, Dr. Fatimah dan kawan mereka(maaf, aku tidak sempat bertanya nama). Lupa, adik Sabrina yang aku tidak perasan sosok tubuhnya yang tenggelam di antara kakak-kakak mereka.

Rencana Kerol mahu ke rumah Teacher Rohani selepas ini. Hmm…. Teacher Rohani, sudah lama aku tidak bersua muka dan menyapa mesra. Kali terakhir sempat bertemu ketika Reunion tahun 2004. Rencana yang bagus. Aku dan Zaki turut serta.

Di rumah Teacher Rohani, ucapan salam kami disambut suami Teacher Rohani. Senyuman yang mengiringi pelawaan masuk mengagahi langkah kami yang segan bertamu ke rumah Teacher Rohani. Teacher Rohani sekeluarga baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur. Sibuk menguruskan cucu sulung mereka.

Sementara menunggu Teacher Rohani, perbualan mesra kami bersama suami Teacher Rohani mengisi ruang waktu. Sudah pasti soalan bekerja di mana harus dijawab. Zaki, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, yang sedang meneruskan pengajian Teknologi Pendidikan Elektrikal, sememangnya seorang yang penuh karisma. Bercakap tentang politik dan kepimpinan, aku kira Zaki mampu mengupas dengan baik isu-isu semasa. Aku hanya memasang telinga perbualan suami Teacher mengenai pentadbiran dan kepimpinan negara.

Kerol, sekarang bertugas sebagai jurutera Telekom Malaysia di Kuala Lumpur. Pertalian Kerol dengan Teacher Rohani dan Suami lebih rapat kerana ayah Kerol merupakan bekas pelajar mereka. Kerol boleh dikira pangkat cucu. Cucu? Bagaikan tidak percaya, Teacher Rohani tampak lebih muda dari usia.

Sementara menunggu kedatangan Sabrina, Dr. Fatimah dan kawan mereka, kami semua semacam membuka satu diskusi ilmiah tentang kepimpinan negara. Kelompok kami seharusnya menjadi pelapis yang dapat membawa masyarakat muda ke arah yang lebih baik.

Dalam waktu yang sekejap-lama, kehadiran tiga gadis beserta seorang si cilik yang comel(adik Sabrina) ini menyerikan lagi pertemuan hari raya di rumah Teacher Rohani. Sabrina dan Dr. Fatimah, merupakan kawan sekelas di tingkatan Tiga. Sebenarnya sudah menjadi kawan sekelas sejak di tingkatan dua. Selepas tingkatan tiga, kami semua bertebaran merasai pengalaman suasana kehidupan di sekolah ASRAMA. Harapnya tidak silap mengeja AsMaRa.

Seperti biasa, kalian harus menjawab soalan lazim bertamu ke rumah orang. Bekerja di mana. Aku mendengar teliti lontaran jawapan kalian. Sabrina, guru fizik di Sekolah Manir, dan Dr. Fatimah, doktor perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Susah-susah Teacher Rohani menyediakan karipap panas, tidak manis jika tidak merasa. Apa lagi, santapan daripada sediaan guru, jangan ditunggu. Insyaallah beroleh berkat. Dalam menjamu selera, sudah pasti suasana untuk berbual mesra dan bergelak ketawa lebih membugar. Dari aktiviti kerjaya sehingga menyentuh acara perkahwinan, lontaran pertanyaan, usik mengusik dan nasihat tersemat kemas dalam memori ini.

Acara orang dewasa, aku nampak adik Sabrina tampak bosan. Mukanya comel sudah mula tidak ceria. Kasihan. Pertemuan hari raya ini juga membawa perkenalan kepada kawan mereka di SESTER dulu. Hanya tahu dia seorang jurutera. Jurutera? Perkataan ini cuba aku kaitkan dengan kehidupan yang pernah aku tinggalkan. Aku tidak berminat cerita di sini.

Celahan soalan tahun ini siapa pula yang berkahwin menyukarkan sekalian yang bertamu untuk menjawab. Aku menjawab pantas, “Saya, Teacher. Tetapi saya sebut sahaja je ni. Tak tau bila,”

“Itukan doa. InsyaAllah,” jawab Teacher Rohani.

“Molek kita semua suatu hari buat gathering, jumpa semua, bawa anak, seronok dapat jumpa,” Teacher Rohani memberitahu secara bersahaja. Namun aku dapat merasai dalam lubuk hatinya ingin bersua muka pelajar-pelajarnya. Insyaallah, kita semua yang bergelar pelajar akan bertemu semula jika diberi kesempatan.

Sebenarnya bukan perbualan ini sahaja yang terngiang-ngiang di telinga aku sehingga saat ini, tetapi lain-lain perbualan ketika bertamu ke rumah Teacher Rohani masih segar dalam ingatan.

Petang yang beransur melabuhkan tirai ini, menunggu senja merangkak pulang untuk kelam malam mengisi sunnah alam, aku kira sampai di sini sahaja coretan pertemuan hari raya di rumah Teacher Rohani. Banyak lagi yang ingin ditulis, namun masa antara Asar dan Maghrib ini cukup-cukup untuk helaian ini.

Kelam malam aku harap tidak terlalu kelam kerana masih ada bulan purnama mungkin malam ini. Merenung bulan purnama bukan kerana menunggu bulan jatuh ke riba, tetapi kerana kadang-kadang teringat wajah guru-guru yang pernah aku menguncup ilmu daripada mereka.

Teringat juga wajah kawan-kawan yang mengenali diri ini………………….


Tinta yang ikhlas,
Fatihi Razali
15 Syawal 1431H
24 September 2010

Saturday, September 18, 2010

Memori Pertemuan Cucu Cicit Allahyarham Aki & Wan........

Malam ini, 4 Syawal 1431H, 13 September 2010, jam 8.05. Aku memulakan tarian jari-jemari di atas pentas papan kekunci laptop ini, beraksi menulis dengan desakan keinginan untuk bercerita tanpa rangka plot koreografi yang disusun, hanya bersulam memori sepanjang aku membesar sebagai keturunan Allahyarham Mohd Nor @ Mohammad(dikenali di Kg. Sega Lama sebagai Aki De Mohammad).

Desakan keinginan ini membangunkan tarian jari-jemari dengan asyik walaupun badan kira-kira letih setelah Aku, Abah, Mak, dan Pati baru sahaja tiba di teratak kami selepas menyelusuri perjalanan dari Jerantut ke Kuala Terengganu.

Perjalanan yang mengambil masa tujuh jam dengan kejuruteraan automotif Nissan Sunny yang aku tidak mengetahui tahun keluarannya . Tetapi, aku pernah melihat dalam filem hidustan 70 an, kereta ini merupakan kereta yang digunakan orang korporat pada waktu itu.

“Ah, tinggalkan cerita kereta ini. Ini cerita bukan perihal kereta, ini cerita tentang keluarga Allahyarham Aki & Wan,” aku mula kembali ke landasan penulisan ini.

“Tetapi, bukankah cerita ini tarian jari jemarinya tanpa rangka plot koreografi yang tersusun. Jadi, tulis sahaja,” aku melontarkan kembali hujah.

Membaca al-Quran.

Entah kenapa tiba-tiba amalan ini mengisi lembaran coretan ini. Sebenarnya aku tidak tahu bagaimana untuk menyusun naratif tentang amalan yang aku tinggalkan selama 3 hari 2 malam. Ya, 3 hari 2 malam, pakej percutian keluarga ke Pahang. Lokasi di rumah Pak Ngah dan Mak Busu, tentatifnya berjabat erat tali persaudaraan, mendakap kemas kasih sayang, menguntum senyuman ikhlas, dan mulut masing-masing berbicara dengan nada ceria dan riang.

Kerana berkelana, aku tidak mengisi beg buku dengan naskhah al-Quran. Aku takut aku tidak mampu menjaga adab-adab membawa al-Quran. Hanya setelah sampai di rumah, aku melepaskan kerinduan membaca al-Quran selepas solat maghrib.

Pada waktu ini juga, di Amerika, aku melihat dari saluran berita tentang isu sebilangan rakyat Amerika yang ingin membakar al-Quran kerana marah dengan masjid yang akan dibina di Amerika. Sungguh biadap golongan ini. Laungan demokrasi mereka hanya lakonan apabila melayan tuntutan orang Islam.

Mereka ini juga sebenarnya yang mencetuskan kekacauan. Kacau kerana jika tindakan membakar al-Quran ini diteruskan, rakyat dan tentera mereka di mana-mana sudut dunia tidak akan hidup tenteram. Dibayangi kebencian masyarakat dunia.

Sebenarnya, tulisan ini disambung pada pagi 5 Syawal 1431H, 14 September 2010. Desakan keinginan untuk menghabiskan cerita semalam dirampas oleh tayangan filem di kaca televisyen. Begitu kuat tarikan magnetnya sehinggakan tarian jari-jemari di atas papan kekunci laptop ini diberhentikan serta-merta tanpa notis.

Memulakan perlayaran cerita ini, aku tidak tahu di mana harus bermula. Sauh masih lagi belum dinaikkan setelah berlabuh sekian lama. Aku berfikir, bagaimana kalau aku bermula dengan perjalanan dari Kuala Terengganu ke RTP Klau.

Pada hari Sabtu, 2 Syawal 1431H, 11 September 2010, lebih kurang jam 9 pagi, kami sekeluarga iaitu Aku, Abah, Mak, Along & Yana, serta Pati bertolak ke RTP Klau, Raub iaitu rumah Pak Ngah.

Amin tidak turut serta kerana terpaksa bertugas. Kami bergerak dengan menaiki dua kereta. Satu Iswara BFS 6486 dan satu lagi Nissan Sunny BCC 29(Abang Ngah Jedi bertanya kepada aku, “no.plat ini tidak mahu dijual ke. Ada setengah orang minat no.plat yang nampak cantik,ada setengah orang tidak ambil kisah langsung”).

Perjalanan selama tujuh jam aku merasakan rugi jika tidak diisi dengan membaca. Lagipun, Abah masih ingin memandu. Buku On Writing karya Stephen King menjadi tatapan aku disamping buku nota untuk aku mencatat kosa kata.

Sebenarnya aku bukan pengemar buku-buku English, tetapi, untuk mengkayakan dan memperbaiki bahasa English aku yang masih berada tahap sangat lemah dan tidak memuaskan, maka dengan membaca buku-buku English, sedikit banyak mungkin boleh membantu.

Menatap perkataan-perkataan English, aku mengakui, aku seorang pembaca yang sangat lembap. Hanya sedikit lakaran cerita yang dapat aku tangkap maksudnya. Namun, aku mula membina persepsi setelah membaca karya barat ini. Persepsinya, cerita apa sahaja yang dilihat kemudian mengulas secara bersahaja.

Semua orang bosan dengan suatu yang lambat dan lembap. Cuba melihat gelagat manusia di depan komputer. Jika suatu yang dimuatturun berjalan perlahan atau aliran internet lembap, nescaya sumpah seranah tersembur ke muka komputer yang tidak ada perasaan. Aku juga tidak terlepas melakukan perkara yang sama.

Pembacaan buku On Writing yang lambat membuatkan aku tidak selesa. Aku terpandang buku Akhlak Bermuamalat di atas “dashboard” kereta. Ternyata, karya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ini menyegarkan jiwa diri aku yang terlibat dalam dunia perniagaan. Aku membeli buku ini setahun yang lalu dan aku meletakkannya di atas “dashboard” kereta untuk pembacaan pada waktu lapang.

Madah-madah hikmah tentang akhlak semasa melakukan urusan perniagaan membuatkan aku tidak jemu membelek dengan penuh teliti dan ghairah tanpa sedar aku menelan pesanan hingga ke mukasurat terakhir.

Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian 1, penulis menerangkan Prinsip Muamalat Islam dan Bahagian 2, Cara Muamalat Islam.

Islam begitu tegas dengan prinsip halal dan haramnya. Islam menghalalkan jual-beli tetapi mengharamkan riba. Islam melarang unsur Gharar, tipu daya, eksploitasi, perniagaan barangan haram, memonopoli untuk menaikkan harga. Sekalian larangan ini sebenarnya adalah untuk kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Akhlak yang baik, iman yang mengawal diri, serta ihsan dalam muamalat menjadikan suatu perniagaan itu berkat. Diri ini termotivasi ketika penulis membicarakan Berniaga: Sunnah Rasulullah SAW. Diketahui, akhlak Baginda SAW sangat terpuji.

Bahagian 2 buku ini mengupas Cara Muamalat Islam. Disenaraikan kupasan tentang kewajipan memberitahu kebaikan dan keburukan barang, hukum bersimpati kepada pelanggan, haram menyembunyikan kecacatan barang, larangan memalsukan barang, kewajipan memperelokkan serta meninggikan mutu barang buatan, hukum memberi hadiah untuk tarik pelanggan, hukum menggunakan duit loteri ataupun riba bagi membaiki jalan raya, berlaku jujur dalam timbangan, memberitahu harga semasa barang jualan, larangan mengeksploitasi dan merebut peluang yang orang lain tidak tahu, berniaga secara murabahah, adil dan ihsan dalam perniagaan, berhemat ketika mengambil untung, sanggup menanggung kerugian, musamahah semasa memungut balik harga, membayar balik dengan cara yang elok, menerima barang yang dipulangkan selepas membeli dan berihsan kepada orang miskin. Suatu panduan yang digariskan Islam. Sangat cantik.

Perjalanan yang menyelusuri Leburaya Pantai Timur, Karak, Bandar Bentong, memintas laluan ke RTP Klau tanpa melalui Bandar Raub dengan mengikut jalan Mempaga terasa tidak jauh kerana buku-buku ini sudi menjadi teman. Selesai buku Akhlak Bermuamalat habis dikunyah, aku menyambung kembali pembacaan buku On Writing.

Buku ini dipinjam dari Perpustakaan Negeri Terengganu. Dalam hati aku berdetik, sampai bila aku siap menghadam buku ini. Tempoh untuk peminjaman hanya selama sebulan dan boleh diperbaharui pula selama sebulan.

Lebih kurang jam 5 petang, kami sampai. Memasuki laman rumah Pak Ngah, ternampak Pak Cek sedang duduk di depan rumah.

“Pak Cek balik rupanya,”getus hati aku.

Melihat rumah Pak Ngah yang baru diubahsuai, terdetik perasaan kagum dengan binaannya. Binaannya melebar dan besar. Rumah Pak Ngah menjadi medan pertemuan bagi sambutan hari raya tahun ini.

Pak Cek & Mak Cek sekeluarga telah sampai ke rumah Pak Ngah sejak semalam.

Sedikit pengenalan mengenai keluarga Pak Cek & Mak Cek. Mak Cek ialah anak yang ke-9 daripada 10 adik beradik Mak. Bermula dari Mak Long, Pak Ngah, Mak, adik Mak(kurang diceritakan oleh sesiapa kerana kembali ke rahmatullah ketika lahir), Mak Tih, Pak Ndak, Mak Njang, Pak Chu, Mak Cek, dan Mak Busu. Mak Cek & Pak Cek sekarang menetap di Kampung Nibung, Kuala Berang, Terengganu.

Mereka dikurniakan 7 orang anak iaitu Nisah, Tikah, Siti, Aini, Aziz, Ina, dan Adik Lan.

Nisah berumur 23 tahun dan sedang bekerja di koperasi sekolah. Tikah berumur 22 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Pengajian Syariah di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah(KUDQI), Kubang Lembek, Kuala Terengganu. Selesai pengajian ini, InsyaAllah, Tikah akan melanjutkan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Indonesia.

Siti pula berumur 19 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran di kolej INSANIAH,Kedah selepas baru selesai memperoleh Jayyid Jidan Thanawi di Mahaad Darul Quran, Rusila, Marang Terengganu. Aini sekarang bersekolah di tingkatan empat, dan Aziz meneruskan pengajian pondok di tingkatan satu. Ina dan Adik Lan masih di sekolah rendah.

Aku mengagumi Nisah, seorang kakak sulung yang setia disamping keluarga. Selain itu, semangat Tikah dan Siti yang masih berjuang dalam medan pengajian adalah suatu yang membanggakan bagi aku. Ketiga-tiga orang kakak ini,InsyaAllah menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya.

Kita tinggalkan kisah Pak Cek & Mak Cek sekeluarga, kita teruskan cerita ketika kami sampai ke rumah Pak Ngah. Rumah Pak Ngah yang sedia meriah dengan keluarga Pak Cek& Mak Cek yang telah berkampung sejak semalam, kini masih mampu menerima pertambahan kunjungan daripada keluarga kami.

Khabarnya, keluarga Pak Tih & Mak Tih, keluarga Pak Busu & Mak Busu beserta Danial dan Kino dalam perjalanan ke rumah Pak Ngah. Begitu juga keluarga Pak Ndak & Mak Ndak dan pasangan yang ‘sporting’ Pak Chu & Mak Chu.

Tahun ini, kami semua satu keluarga Allahyarham Aki & Wan, berkampung di rumah Pak Ngah. Kami berkampung di rumah Pak Ngah kerana Wan sekarang tinggal di rumah Pak Ngah. Tahun-tahun sebelum ini, selepas Allahyarham Aki kembali ke rahmatullah, Wan tinggal di rumah Mak Njang di Jerantut.

Tetapi, tentunya kami semua keluarga Allahyarham Aki & Wan merindui suasana di teratak di Kampung Sega Lama. Pasti merindui. Sekarang, rumah itu hanya menyimpan memori lama beserta album-album gelak tawa yang melekat dalam setiap sudut rumah Allahyarham Aki.

Setibanya kami di rumah Pak Ngah, salam bersalaman dihulurkan, mengenggam erat kasih yang terbina sejak sekian lama, melepaskan rindu yang sekian lama terbuku dihati. Wan masih dalam keadaan sihat. Pak Ngah & Mak Ngah sekeluarga juga masih dalam keadaan sihat. Begitu teruja apabila aku melihat Alia, Daneisya dan Anis kini sudah membesar. Comel dan manja.

Sekilas tentang keluarga Pak Ngah & Mak Ngah. Tiga putera dan tiga puteri menjadi penyeri hidup mereka. Kakak, diikuti Kak Ngah Milo, Abang De Beh, Kak Tam Pepeh, Dodi dan terkahir Dollah, setia tersimpan memori ketika di Kampug Sega. Sekarang, Kak Tam telah berkahwin dengan Abang Nasrun dan dikurniakan dua orang puteri iaitu Alia dan Anis. Kak Ngah Milo pula telah berkahwin dengan Abang Najib dan dikurniakan seorang puteri bernama Daniesya.

Dua orang dara telah bergelar isteri dan ibu, hanya tinggal lagi Kakak. Aku doakan Kakak dipertemukan jodoh yang baik dan sentiasa bahagia. Sifat rajin Kakak sememangnya wajar dicontohi. Beh, Dodi dan Dollah, tiga jejaka yang cukup aku kagumi dengan kematangan perwatakan mereka. Teringat ketika usia kecil, bergelak ketawa ketika mengikuti rombongan perkahwinan Pak Chu ke Temerloh. Bukan sahaja memori yang ini, tetapi memori lain juga masih sedia dipaparkan pada skrin bayangan.

Hidangan di rumah Pak Ngah adalah suatu yang menyelerakan, Lotong. Jarang sekali aku dipertemukan dengan hidangan yang hebat ini. Aku tidak menunggu lama untuk menyantap hidangan tatkala pinggan dan sudu mendarat ke meja. Ditambah dengan sambal udang, fuh…..dua tiga pinggan masih mampu memenuhi tangki perut yang tidak terisi sepanjang perjalanan.

Seperti biasa, aktiviti utama ketika berjumpa ramai-ramai, bersembang tentang pekerjaan, tempat tinggal, menjadi topik yang mengeratkan ikatan persaudaraan.

Dalam tempoh yang tidak lama, rumah Pak Ngah sekali lagi meriah dengan kehadiran Danial, Kino, Pak Busu, Mak Busu dan Amin. Mereka bertolak dari Jerantut. Hampir setahun juga kami semua tidak berjumpa. Kali terakhir ketika perkahwinan Kak Julie. Di sebalik sapaan mesra Danial & Kino dengan wajah yang ceria, ada cerita yang kurang ceria berlegar .

Suatu cerita yang wajar dicari titik tengah semoga ikatan keluarga kembali bertaut. Aku doakan Danial dan Kino tabah menghadapi dugaan ini. Aku berharap, semua pihak mempertimbangkan masalah secara adil dan rasional.

Danial dan Kino, dua orang anak muda yang tabah, sudah pasti aku mengagumi mereka kerana mereka masih lagi ceria walaupun Allahyarham Pak Njang sudah tidak menemani mereka di teratak mereka, Jerantut. Hanya Mak Njang yang menjadi tempat mereka memadu kasih.

Namun, insiden yang berlaku kebelakangan ini bagaikan begitu tidak percaya. Danial dan Kino bersendirian berlayar tanpa angin tiupan semangat daripada ibu mereka. Aku tidak mahu untuk mengulas panjang perihal mereka. Begitu aku doakan semoga semuanya kembali bersatu. Himpunan ini bagaikan terasa sunyi tanpa kehadiran Mak Njang yang semua sedia maklum dengan nada not yang tinggi memecah suasana. Aku percaya, Danial, seorang graduan universiti masih mampu bertindak rasional dalam menghadapi dugaan. Begitu juga Kino, pernah mengucup ilmu di taman bumi anbiya, sudah sebati madah-madah hikmah kehidupan.

Pak Busu, Mak Busu dan Amin, aku begitu merindui mereka. Pak Busu dengan gaya santai, Mak Busu dengan gaya yang suka bergurau, seringkali menceriakan suasana perbualan. Ada sahaja yang mencuit hati. Amin, sepupu paling bongsu aku kira. Hmm…a’ah…paling bongsu. Aktif, cergas, suka bercakap dengan orang yang boleh rapat dengannya.

Pengemar siri animasi Upin & Ipin ini, jika bercakap tentang cerita Upin& Ipin, setiap patah perkataan dialog yang dilayarkan pasti tidak tertinggal. Tepat dan betul. Sekarang sudah berusia 5 tahun. Seingat aku ada gelaran yang diberikan oleh Allahyarham Aki kepada Amin. Aku sudah lupa.

Tidak lama duduk bersembang, sebuah kereta datang bertamu. Sebuah keluarga. Pak Busu & Mak Busu memberitahu itu Hadi. Hadi?...Ya, Hadi. Bakal suami Kino. Oh….tidak aku ketahui selama ini. Mereka bakal melangsungkan perkahwinan seingat aku yang diceritakan Kino ialah selepas Hadi habis KPLI. Aku doakan mereka selamat ke jinjang pelamin dan sentiasa bahagia.

Petang yang sekejap memberi peluang kami semua merasai nikmat pertemuan kini bergerak perlahan menutup tirai hari siang. Malam yang damai bakal lagi menyusul ditemani bulan yang tidak lokek menguntum senyuman cahaya indah, aku kira cuba meraikan sekalian kami yang berkampung di rumah Pak Ngah.

Malam yang penuh warna-warni ragam pertemuan, bergelak ketawa, bermain mesra, si cilik Alia, Anis dan Daniesya yang comel dan manja, aku hitung mungkin dalam minda mereka berlegar pertanyaan lebih lanjut siapa gerangan mereka yang ramai ini bertandang ke rumah Aki mereka.

Sambil bermain, sambil memerhatikan satu persatu wajah yang tidak berapa dikenali, maaf, baru dikenali, mengecam pasti wajah-wajah keturunan keluarga Moyang mereka, Allahyarham Aki & Wan.

Kunjungan Pak Ndak, Mak Ndak dan Mustaqim melengkapkan lagi suasana malam di perkampungan RTP Klau. Agak lama tidak bersua dan menyapa, sudah pasti pertemuan di hari raya ini mendekatkan yang jauh, dan mengeratkan yang terpisah.

Namun, tanpa kehadiran Nabil menyebabkan hati tertanya-tanya tentang keadaan dan perkembangannya. Di khabarkan oleh Pak Ndak, Nabil dalam keadaan baik dan sihat. Sekarang sedang menjalani praktikal. Tidak dapat datang kerana sibuk beraya bersama rakan-rakan. InsyaAllah, jika ada lagi kesempatan, boleh berjumpa lagi. Mustaqim, sekarang sudah meningkat remaja. Di kalangan kami ada yang perasan, gaya dan sosok fizikal Mustaqim sama dengan Abang De Nizam. Bahasa pasarnya ‘sebijik’.


Sebelum kunjungan Pak Ndak, Mak Ndak dan Mustaqim, keluarga Pak Tih & Mak Tih tiba terlebih dahulu. Pak Tih & Mak Tih, seperti biasa, ada sahaja buah tangan daripada rumah mereka. Diserikan lagi dengan dua orang puteri kesayangan mereka,Firdaus dan Tasnim.

Pada bulan Ramadhan, Tasnim meminta untuk dipinjamkan buku rujukan fizik dan kimia. Kebetulan, di atas meja menulis aku tersusun dua buah buku ini. Aku membelek semula dua cabang ilmu ini supaya tidak hilang dari kamus minda aku. Setelah mendapat mesej daripada Tasnim, buku ini aku masukkan dalam beg buku untuk dibawa ketika bertandang ke rumah Pak Ngah. Alhamdulillah, buku ini berjaya sampai ke tangan pejuang ilmu, Tasnim.


Firdaus, antara sepupu aku yang paling rapat. Graduan Universiti Yarmouk, Jordan. Aku suka berkongsi impian dengan Firdaus. Berkongsi pembacaan, berkongsi pandangan. Pertemuan kali ini sempat aku meminta pandangan Firdaus. Aku ingin untuk membuat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang lain. Tetapi tidak pasti, antara Bahasa & Sastera atau Ekonomi. Firdaus memberikan pandangan adalah lebih baik mengambil ekonomi-kewangan. Suatu yang menarik aku kira.

Pertemuan kali ini juga aku dapat meminjam beberapa buah buku daripada Firdaus. Aku juga mengusik jika buku-buku ini diberi terus kepada aku untuk menambah koleksi buku di perpustakaan aku. Firdaus akan bertugas ke JAKIM. Jadi, kewangan untuk membeli buku tiada masalah.

Malam yang panjang, bagaikan menunggu seseorang. Ya, memang menunggu seseorang, menunggu ketibaan pasangan ‘sporting’, Pak Chu & Mak Chu. Penantian yang tidak lama, wajah ceria Pak Chu & Mak Chu menyapa mesra bertamu dan berkampung di sini. Sejak dulu lagi, aku tertarik dengan gaya selamba dan santai Pak Chu. Kalau cerita tentang hiasan hantaran perkahwinan, Mak Chu ialah pakar yang sedia membantu. Sentuhan tangannya begitu berkualiti dan pasti menawan.

Malam yang panjang ini juga, kadang-kadang buku Rindu Bau Pohon Tin karya Hasrizal Abdul Jamil menjadi teman tatkala mengantuk. Mengantuk selepas mengharungi perjalanan 7 jam. Mata yang mengantuk kembali cerah ketika menatap buku ini. Bukan sahaja buku ini, jika aku membaca, mata seolah-olah disalur tenaga baru sehingga asyik tenggelam dalam bait-bait perkataan yang terungkap dalam buku.

Buku Rindu Bau Pohon Tin melakarkan cerita dan pengalaman Ustaz Hasrizal sepanjang berkelana di bumi Jordan dan Qatar. Ustaz Hasrizal yang aku kenali melalui blognya Saifulislam.com, setiap wacana yang dikarang melalui blognya menjengah realiti kehidupan. Buku ini pasti tidak mengecewakan si pembaca jika ditatap dengan hati yang terbuka.

Travelog yang merakam peristiwa Ramadhan, bahasa, sejarah, pahit getir di Jordan. Semuanya diadun untuk diambil ibrah masam manisnya dan pahit masinnya kehidupan pengembara.

Buku ini juga merakam travelog di Qatar. Aku tertarik dengan rencana penulis yang menghormati pemimpin yang mempunyai visi yang jelas. Pemerintah Dubai, Mohammmad bin Rashid al-Maktoum sendiri menulis buku. Ada idea dan wacananya. Ada pemikirannya.

Sebelum Pak Busu, Pak Ndak, Mak Ndak dan Mustaqim pulang ke kediaman mereka, beberapa keping gambar potret ‘dipukul’. Pukul gambar atau ukur gambar? Aku sendiri keliru dengan istilah orang dulu-dulu. Sekarang, bahasanya tangkap gambar. Semua berhimpun dan bersusun dengan baju tidur atau baju malam masing-masing, senyum ketika cahaya flash kamera memancar, isyarat gambar diabadikan. Suatu yang mencuit hati dengan baju malam masing-masing. Tidak perlu bersiap mengenakan baju yang lawa-lawa untuk mengabadikan gambar yang indah ini.

Namun, masih ada kekurangan pada gambar ini.
Apa yang kurang? Kurang seseorang.
Siapa?Terus terang, Mak Njang.

Mengenangkan tidur kami yang bersusun seperti di rumah Allahyarham Aki dahulu, aku dapat rasakan dengusan dan hembusan tidur yang nyenyak, entah mimpi apa sekalian yang tidur. Mungkin mimpi indah sebuah pertemuan.

Sunnah alam, malam berganti siang. Pagi yang harmoni. Ayam di atas dahan pokok berkokok bersahut-sahutan. Bau pagi di kampung, lain baunya. Seperti bau di rumah Allahyarham Aki di Kampung Sega Lama. Pagi begini, buah rambutan nampak lebih merah.

Pagi ini juga menyaksikan kepulangan Kak Ngah Milo, Abang Najib dan Daniesya ke kediaman mereka di Balakong rasanya. Betul ke?Aku tidak pasti. Enta bila dapat berjumpa kembali Daniesya yang comel dan manja. Entah-entah sudah besar remaja.

Sebelum keluarga Pak Cek & Mak Cek pulang ke Terengganu, sedikit buah rambutan dikait sebagai tanda ingatan dari RTP Klau. Mak Cek, pada usia yang sebegini masih mampu memanjat pokok. Tinggi juga. Aku sendiri tidak berani memanjat setinggi itu. Teringat cerita tentang zaman kanak-kanak adik beradik Mak ini. Pada zaman kanak-kanak, Mak Cek adalah juara memanjat.

Beh dan Kakak yang sudah biasa mengait buah rambutan masih mampu bertahan mendongak sambil mengait buah rambutan. Aku, menyerah kalah awal-awal lagi. Penat.
Penat yang membawa ke terlelap di depan TV. Tidak sedar yang keluarga Mak Cek telah bertolak balik ke Terengganu. Bukan sahaja keluarga Mak Cek, kepulangan Danial, Kino, Mak Busu, dan Amin ke Jerantut juga tidak aku sedari. Along & Yana serta Pati turut serta ke rumah Mak Busu.


Anis baru pulang dari klinik. Kasihan kepada Anis yang demam. Tetapi masih aktif. Masih cergas. Semoga cepat sembuh ya Anis.

Selepas Zohor, Aku, Abah dan Mak bertolak ke Jerantut untuk bermalam pula di rumah Mak Busu. Terasa berat hati untuk pulang. Pertemuan yang sekejap, belum puas melepas rindu kepada orang Pahang. Lambaian tangan menjadi saksi terakhir pemergian kami. Sesungguhnya aku merindui perkampungan semalam hingga ke saat ini.

Dari RTP Klau, melalui Sungai Ruan, singgah sebentar di Jeruas menjenguk keluarga Wan Ngah. Menyusuri jalan di Sungai Ruan, Abah menceritakan zamannya bekerja Telekom dan bertugas di kawasan ini sekitar tahun 70an. Orang Cina sekitar Sungai Ruan ini kebanyakannya komunis pada suatu masa dulu.

Tidak sempurna kembara ke Pahang jika tidak menjenguk rumah peninggalan Allahyarham Aki. Kebetulan Along & Yana serta Pati juga berada di rumah yang menyimpan begitu banyak kenangan ini. Aku menceritakan kepada Yana, di kawasan rumah inilah tempat kami bermain waktu kecil-kecil dahulu. Nampaknya pokok rambutan masih lagi berbuah ranum. Masih merah. Masih banyak. Tidak terusik. Tidak terkait. Rumah yang menyimpan seribu makna, seribu nostalgia, seribu ikatan.

Selesai menatap puas sekitar rumah ini, sebenarnya tidak puas, tetapi kerana perlu meneruskan kembara ke Jerantut, perlu singgah ke rumah Mak Long & Pak Long. Seperti biasa, rumah Mak Long & Pak Long penuh dengan cucu-cucu yang ramai. Aku tidak mengenal sepenuhnya anak-anak sepupu aku ini. Hanya mengingati beberapa orang. Aku memohon maaf kerana kelemahan diri aku yang tidak pernah aku baiki, maksudnya cuba mengingati satu persatu nama kalian. InsyaAllah, wajah kalian yang comel melakar indah dalam memori ini.

Abang Ngah Jedi & Kak Ngah, Abang De Nizam & Kak De, Abang Tam & Kak Tam, Kak Su & Abang Su, Kak Chik & Abang Chik, Kak Ndak, Kak Juli & Abang Hilmi, Kak Cumi, dan Kak Jemi, bertemu kita pada raya tahun ini. Cuma keluarga Abang Tih & Kak Tih yang aku tidak dapat bersua muka. Doanya semua sihat dan baik.

Pertemuan yang sekejap tidak dapat berbicara panjang. Kami meminta diri untuk meneruskan kembara ke Jerantut. Baru sahaja kami hendak melangkah pulang, rezeki kami bertemu Mak Njang dengan keluarga barunya datang berkunjung. Aku tidak dapat berbicara panjang dengan Mak Njang, hanya doa semoga semuanya selamat, bertutur ikhlas sambil bersalam meminta diri.

Perjalanan ke Jerantut terisi dengan sambungan pembacaan buku Rindu Bau Pohon Tin. Kami tiba di rumah Mak Busu sekitar jam 6 petang. Bermalam di rumah Mak Busu, pasti tidak lupa dengan tempoyak Mak Busu yang begitu sedap. Sangat menyelerakan.

Semalam aku di rumah Mak Busu dihabiskan dengan bermain bersama Amin. Amin sekarang sudah berusia 5 tahun. Semakin pandai. Semakin bijak.

Seorang anak, ikatan bersama ibunya sangat kuat. Ingatkan dapat tidur sampai ke esok bersama Amin, rupa-rupanya Amin kembali ke ibunya dan terus tidur disamping ibunya hingga ke hari esok. Begitulah kenangan bermalam di rumah Mak Busu.

Tengah hari, lebih kurang pukul 12, kami semua bertolak balik ke Terengganu. Sekali lagi, lambaian tangan menjadi saksi terakhir pemergian kami. InsyaAllah, kalau ada kesempatan dan umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi.

Berhenti di R&R Temerloh, aku sempat membeli buku Secangkir Teh Pengubat Letih karya Hasrizal Abdul Jamil buat menambah koleksi bacaan aku dan buku cerita kanak-kanak untuk dihadiahkan kepada Yaya( anak asuhan Mak di rumah).

Sepanjang perjalanan, buku Murabbi Cinta karya penulis yang sama mengisi waktu perjalanan sambil kadang-kadang memori mengimbas kembali senyuman, gelak ketawa dan bicara semua yang berkampung di rumah Pak Ngah.

Raya tahun ini sungguh bermakna bagiku. Entah bila kita dapat bersua kembali. Secebis coretan ini merakam secara bersahaja cerita selama berkampung di rumah Pak Ngah. Tanpa plot yang disusun. Maaf kalau cerita ini tidak lengkap. Tidak betul laras bahasanya. Hanya menulis dari hati nurani. Menulis dalam beberapa hari dari bilik kecil, Kuala Terengganu.


Tinta yang ikhlas,
Fatihi Razali
Siap menulis pada malam 9 Syawal 1431H
Bersamaan 18 September 2010
Kuala Terengganu.