Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Thursday, November 11, 2010

Coretan kelana sejauh dua Kuala

Sabtu, Jam 2200, 6 November 2010 bersamaan 29 Zulkaedah 1431H, aku memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dari Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya? Entah, aku tidak mengkaji dalam status bandaraya dan bagaimana manfaat ekonomi untuk rakyat marhean Kuala Terengganu dan daerah sekitarnya. Aku dapat rasakan suatu kegelojohan dalam merangka strategi pembangunan. Strategi pembangunan memancing undi dengan nama-nama yang gah supaya rakyat di pedalaman yang kurang akses maklumat, terpesona dengan nama yang pada hakikatnya tidak sehebat mana.

Sebenar cerita kali ini ialah untuk mencoret kisah kelana sejauh dua Kuala, iaitu Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Bukan untuk menafsir istilah bandaraya seperti perenggan di atas. Namun, kerana duduk di dalam bas, keadaan kedudukan yang tinggi dan bergerak menyelusuri jalan sekitar Bandar(aku lebih suka menggunakan perkataan ini daripada Bandaraya), membuatkan aku terfikir bagaimana istilahnya bandaraya. Adakah kerana hanya lampu-lampu neon yang menerangi jalan-jalan yang sedia terang dengan lampu jalan sudah dikira bandaraya? Aku akan mengkaji lagi status perekonomian bandaraya.

Meneruskan perjalanan dalam kesejukan malam yang hujan, dan ditambah kesejukan penghawa dingin dalam bas, jari-jemari bagaikan ingin keras. Terlalu sejuk bagi aku. Nasib baik menerima mesej dari teman yang juga kelana sejauh Tanah ke Pasir, iaitu dari Tanah Merah ke Pasir Gudang, maka kesejukan kelana ini tidak dilayan dengan sewajarnya. Jari-jemari digerakkan membalas mesej teman.

Tidak lama di dalam bas, rasa yang tidak selesa mengundang resah. Pening dan ingin muntah. Almaklumlah, sudah lama tidak menaiki bas. Aku dinasihati oleh teman supaya melelapkan mata untuk menghilang rasa pening dan ingin muntah. Lantas, mesej "salam" menamatkan sekejap perhubungan melalui teknologi kini. Kusyen ditarik sedikit ke belakang membolehkan postur badan lebih santai, untuk melelapkan mata.

Sekitar Jam 0530, 7 November 2010 bersamaan 30 Zulkaedah 1431H, aku sampai di Hentian Putra, Kuala Lumpur. Bergerak ke surau untuk menunaikan solat Subuh, sebagai tanda seorang hamba yang bersyukur kepada Penciptanya. Selesai menunaikan solat, langkah diatur ke Stesen Komuter Putra untuk meneruskan perjalanan ke KL Sentral. Alhamdulillah, perjalanan setakat ini masih lancar. Masih jauh dari kesibukan manusia lain, iaitu penghuni ibu kota Kuala Lumpur memandangkan hari ini ialah hari Ahad, hari berehat bagi orang bekerja di wilayah persekutuan ini.

Sampai sahaja di KL Sentral, aku terus ke pusat informasi untuk bertanyakan arah menuju ke Taman Permata,Ulu Kelang. Ada apa aku ke destinasi ini? Aku lupa untuk memberitahu tujuan asal kelana di awal cerita. Sebenar rencana mahu ke kelas Teori Sastera: Teknik Surah Yusuf yang dikendalikan oleh syarikat penerbitan buku PTS Sdn Bhd. Aku ingin mengisi profesi diri sebagai penulis untuk masa lapang.

Petugas di pusat informasi memberitahu aku supaya mengambil LRT dan berhenti di Stesen Taman Melati. Dari stesen ini boleh mengambil bas ke Taman Permata. Aku dengan senang hati terus ke kaunter tiket untuk menuju ke destinasi. Pada waktu ini, perut tren masih tidak ramai dengan penghuni ibu kota. Seawal pagi, dan juga pada hari cuti, sukar untuk melihat kelibat penghuni ibu kota. Aku percaya, jika hari bekerja, walaupun seawal pagi, perut tren kenyang dengan kehadiran manusia-manusia yang bersemangat meneruskan kehidupan.

Setiba di Stesen Taman Melati, aku bertanya mengenai bas yang dapat pergi ke Taman Permata. Petugas di pusat informasi bas memberitahu aku perlu mengambil bas di Stesen Wangsa Maju. Perlu berpatah balik. Dari awal lagi aku sudah mengagak petugas pusat informasi di KL Sentral silap kerana sebelum kelana, aku sudah berkali-kali meneliti arah perjalanan melalui internet. Dari Stesen Taman Melati, aku perlu berpatah balik ke Stesen Wangsa Maju dan membuang sejumlah kecil wang bernilai RM 1.40. Aku mula menilai sejauh mana pendirian aku untuk membuat keputusan sedangkan maklumat telah berkali-kali aku menelitinya. Aku belajar mempercayai apa yang aku percaya.

Persoalan ini berlegar sepanjang perjalanan patah balik dari Taman Melati ke Wangsa Maju. Selain itu, persoalan lain juga timbul. Persoalan khabar teman yang kelana dari Tanah Merah ke Pasir Gudang. Aku menerima mesej daripadanya yang tersadai di tepi jalan kerana bas rosak. Masih menanti pengantinya untuk meneruskan kelana. Aku bersimpati kepada teman. Mesej balas yang berbunyi sabar cuba menenangkan diri teman. Akhirnya aku menjejakkan kaki ke Stesen Wangsa Maju. Tinggal perlu mengambil bas menuju ke Taman Permata.

Aku memandang jam masih awal untuk ke kelas setelah tiba di Taman Permata. Lebih baik aku minum dahulu buat mengisi perut. Di sebelah Sekolah al-Ikhlas(tempat kelas diadakan), terdapat sebuah restoran. Aku memasuki restoran tersebut dalam langkah yang mengira-ngira wang yang tinggal di dalam beg duit. Ya, mengira-ngira kerana kelana kali ini, bekalan wangnya tidak besar. Cukup-cukup buat tambang dan makan yang sekali sehari.

Aku mengambil tempat duduk dan memesan Nescafe buat minum pagi. Ketika aku duduk, aku baru sahaja perasan, di hadapan aku ini rasanya Pengerusi PTS. Sebelum ini, dalam laman sesawang PTS, selalu diwar-warkan Teknik Surah Yusuf dalam menulis cerita. Dan, aku melihat Pengerusi ini sedang meneliti terjemahan al-Quran. Aku memerhatikan semangat beliau yang berjuang mengilmukan bangsa melalui buku. Hidangan yang siap di hadapan beliau masih belum dijamah kerana beliau asyik menjamah dengan selera terjemahan tebal al-Quran. Aku tidak berani menegur beliau. Biarlah di dalam hati aku mendoakan kejayaan beliau yang gigih memandaikan masyarakat.

Tidak lama aku menikmati Nescafe yang sedap sambil memerhatikan pengunjung-pengunjung restoran menceduk hidangan sarapan pagi, aku melihat kelibat rakan-rakan beliau datang menikmati sarapan pagi bersama-sama. Melihat pengunjung-pengunjung restoran yang dapat mengisi perut dengan hidangan pagi yang sedap, aku terliur sendirian. Tetapi apakan daya, biarlah makannya sekali sehari, asalkan tambang perjalanan terbayar kerana kelana masih tinggal satu hari lagi sebelum berangkat balik ke Kuala Terengganu.

Di dalam kelas, di sebelah kiri aku ialah editor Galeri Ilmu. Lebih mesra aku memanggilnya Abang Amir. Dalam sela masa rehat sekejap, banyak perkara yang diceritakan oleh Abang Amir mengenai penerbitan buku. Aku mendengar dengan setia patah perkataan Abang Amir. Dunia penulis dengan editor perlu serasi supaya buku dapat diterbitkan dengan jayanya. Pada kesempatan mengikuti kelas ini juga, aku berkenalan dengan seorang yang bertugas di tempat aku pernah menimba ilmu ketika dahulu, UTM Skudai. Encik Arif yang duduk di sebelah kanan aku sememangnya seorang bersemangat. Memandu daripada Skudai ke Ulu Kelang ini semata-mata menimba ilmu, terbit rasa kagum di hatiku. Orang yang seusia dengan Encik Arif, masih cekal untuk menulis sebuah buku. Encik Arif memberitahu kali pertama dia datang ke sini. Aku juga kali pertama. Insyaallah, kita akan sama-sama menyumbang kepada masyarakat melalui mata pena walaupun secalit tinta. Juga kali pertama.

Kelas Teknik Surah Yusuf begitu menyegarkan minda aku. Tidak terasa letih walaupun semalaman tidurnya tidur-tidur ayam di dalam bas yang begitu sejuk. Masih bersemangat mendengar syarahan Pengerusi PTS ini. Aku memegang kemas kata-kata syarahan ini, iaitu "karya kita akan mengkayakan pembaca."

Selesai kelas kira-kira pukul 1.00 petang, aku menghubungi sepupu aku yang berada di Selayang. Hajatnya ingin bertamu dan bermalam di sana. Namun, nampaknya hajat tidak kesampaian. Dia sekarang sedang bekerja. Aku meneruskan kelana aku ke Sg. Buloh. Mengapakah ke Sg. Buloh? Kerana di sana terdapat taman-taman yang pernah aku bermain dan belajar dua tahun yang lalu. Aku terus sahaja mengambil bas ke stesen Wangsa Maju dan dari stesen ini, aku perlu ke Komuter Sg. Buloh dengan transit di KL Sentral.

Di komuter Sg. Buloh, aku dijemput Zul untuk ke rumah yang pernah aku menginap dua tahun yang lalu. Di sinilah tempat aku belajar berniaga di bawah Program Tunas Mekar UiTM-JPM selama setahun. Selepas itu aku membuka perniagaan aku sendiri di Kuala Terengganu sehingga sekarang. Rencah perniagaan, sememangnya sukar. Kunjungan ke tempat nostalgia ini menyuntik kembali semangat meneruskan perniagaan.

Sepetang menunggu kawan seprogram dahulu yang kini juga membuka perniagaan sendiri, akhirnya nampak kelibat kawan ini. Aku sebenarnya kagum dengan ketabahan kawan ini yang meneruskan kehidupan sebagai seorang usahawan di ibu kota. Aku doakan kawan berjaya dalam bidang yang diceburi. Yo, teruskan usaha. Insyaallah boleh. Terima kasih untuk layanan sehari dua ini. Kalau ada rezeki, kita boleh berkolaborasi bergabung tenaga membina empayar perniagaan suatu hari nanti.

Menginap di sini untuk satu malam sebenarnya sangat gembira. Gembira dengan 1001 cerita dan permainan teka-teki bersama Akhi(14 tahun), Afaff(11 tahun) dan Hanan(5 tahun). Juga, kehadiran Abrar( 1 tahun) yang mula memasuki kelab kami. Kami bergelak ketawa setelah hampir setahun tidak bersua muka. Aku tersentak dengan cerita Afaff yang mengejek Akhi menangis pada malam aku pulang balik ke Kuala Terengganu setahun yang lalu. Dalam hati, aku meminta maaf atas perpisahan itu. Orang kata, setiap perjumpaan pasti ada perpisahan. Insyaallah, wajah-wajah kalian sentiasa tergambar jelas dalam ingatan aku.

Tidak cukup dengan teka-teki dan cerita, kami seperti dahulu, masih meneruskan pertandingan tradisi kami. Pertandingan badminton. Kali ini, hadiahnya coklat. Ternyata, kemahiran mereka semakin meningkat dengan usia mereka. Juga, terlibat sama, Danial, Ilam, dan Ayat yang baru pulang dari kampung. Alkis yang kini semakin tinggi, semakin banyak berceloteh. Sepetang itu, nama Uncle Li(aku), dipanggil berulang-ulang kali oleh anak-anak ini. Bagi aku, bisingnya mengganggu Naqib(2 bulan) yang ingin tidur. Kalian, Uncle Li yang hampir kehabisan tinta ini sememangnya merindui kalian. Sekalian yang menetap di keluarga NM Afaff.

Isnin, JAM 2100, 8 November 2010 bersamaan 1 Zulhijjah 1431H, aku menaiki kereta Yo untuk ke Hentian Putra dengan ditemani Abang Yun. Sepanjang perjalanan, kami bergelak ketawa setelah setahun tidak berdekah bersama-sama. Sebelum perjalanan ini lagi kami bergelak ketawa di rumah Abang Yun setelah selesai menjamah dengan selera hidangan hasil air tangan Kak Ina. Setahun rasanya begitu pantas berlari. Terima kasih kepada Abang Yun sekeluarga yang sudi menerima tetamu sekejap ini. Juga kepada Yo yang sudi menghantar betul di depan Hentian Putra. Jasa sekalian di Sg. Buloh sangat aku hargai. Insyaallah, ada rezeki ketemu lagi.

JAM 2200, perjalanan balik kelana sejauh dua Kuala dimulakan. Sepanjang perjalanan, memori di kelas Teori Sastera:Teknik Surah Yusuf, cerita dan teka-teki kalian anak-anak di Sg. Buloh serta ketawa yang berdekah memecah suasana bertamu ke villa NM Afaff, menari-nari di minda. Selain itu, minda juga ligat memproses bagaimana membuat lampu kecil yang dapat dikepit pada buku jika ingin membaca dalam bas pada waktu malam kerana lampu membaca dalam bas tidak boleh digunakan. Selain itu, minda juga memikirkan alat-alat bantu ketika terkandas sewaktu berkelana iaitu sebotol air minuman, kompas kiblat, dan lampu picit yang kecil. Aku mengingatkan alat bantu ini kerana teman yang kelana dari Tanah Merah ke Pasir Gudang semalam terkandas lama melewati waktu solat dan duduk memandang hutan hijau di seberang jalan. Sampai di Kuala Terengganu, aku merasai kembali musim tengkujuh pada waktu ini.

Tuesday, November 9, 2010

Masih mampu tersenyum....

Petang ini, aku kembali semula kepada teman aku yang kesunyian sejak beberapa hari. Sunyi setelah aku tidak datang menjenguk dirinya yang setia menunggu di meja menulis. Menunggu dan menunggu dalam bilik kecil ini, tiada alunan muzik Winamp, tiada petikan Microsoft Word, tiada “progress” atau “update” Microsoft Excel, dan tiada gelak ketawa berbunyi “klik” ketika fail-fail dokumen dibuka.

Walaubagaimanapun, teman ini tidak merajuk. Dia sedia mengalunkan muzik, membenarkan jari-jemari menari di atas pentasnya, dan dengan cergas membuka fail-fail yang aku ingini. Teman ini sentiasa bersedia menemani aku. Cuma aku yang tidak kisah dengan kesihatan dirinya. Tidak “update” dengan suntikan antivirus. Kau menanggung derita tetapi masih mampu tersenyum.

…………….Laptop ini banyak jasanya……………….

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
15 Syawal 1431H
24 September 2010

kelana sejauh dua Kuala...

Malam ini, rencananya menghabiskan malam di dalam bas yang menuju ke ibu kota, kota besar Kuala Lumpur. Tiketnya sudah disisip rapi di dalam beg duit. Pakaian yang sehelai dua cukup untuk rehlah sehari dua. Ada apa diri ini kelana sejauh dua Kuala? Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.

Sebenar maksud ingin menghadiri kursus teori sastera yang dikendalikan oleh syarikat penerbitan buku yang terkenal. Diri ini juga ingin mengisi profesion diri sebagai penulis sebagai profesion sampingan. Mana tahu, ada rezeki, tulisan yang diusahakan diri ini yang entah laku atau tidak untuk dijenguk masyarakat. Namun, yang penting usaha. Niatnya, ingin berkongsi ilmu kepada masyarakat. Maka, malam ini, langkah pertama digerakkan. Insyaallah, boleh.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
29 Zulkaedah 1431H
6 November 2010

Menghempas marah

Selewat petang, aku ingin menghempas marah. Hempasan yang hanya berdentum di dalam hati. Masih mampu mengawalnya daripada dimuntahkan keluar kerana mengingat pesan Nabi SAW, seorang yang kuat itu yang dapat menahan nafsu amarahnya.

Waktu yang tidak panjang untuk menurunkan hormon kemarahan kerana lafaz istighfar menyelimuti diri yang teramarah. Sayugia dilupakan konflik itu kerana lembaran baru masih banyak yang perlu disiapkan.

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
29 Zulkaedah 1431H
6 November 2010.

Siang tadi

Siang tadi, bual bicara dengan orang berpengalaman meraih kata kunci kejayaan. Kata kuncinya PUTUS ASA. Kata kunci yang membuka kembali sejarah lepas untuk diteladani dan seterusnya mengali dalam sebab musabab masih tidak berjaya.

Sudah melangkah setapak ke hadapan, jika berundur dua tapak, merugikan masa yang setapak. Sudah melangkah setapak ke hadapan,jika berundur setapak, jangan berPUTUS ASA, kerana masih di tempat asal. Masih boleh cuba melangkah. Hulur kaki ke hadapan,dan teruskan berjalan……


Fatihi Razali
Kuala Terengganu
28 Zulkaedah 1431H
5 November 2010

Kembali berlari

Malam ini, semangat yang hilang kembali datang menjenguk kalau-kalau diri masih sudi mengolah cetusan hati yang lama ditinggalkan. Ternyata, jari-jemari masih ghairah menari laju mengungkap kata-kata dalam lembaran ini. Terasa bangun mengagahkan diri menunjang wacana. Wacana minda yang memacu diri untuk terus berlari walaupun kepatahan idea mengorak langkah.



Kembali berlari, kembali laju, kembali pantas, kembali pada trek yang sedia dibina. Berlarilah selaju mungkin. Kerana, dalam berlari itu melepaskan apa yang terbuku dihati. Moga-moga,puas…….

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
25 Zulkaedah 1431H
3 November 2010