Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Thursday, January 13, 2011

singgah sekejap

Tiga hari lepas, buku catatan ini kosong dengan corakan dan lakaran coretan minda. Terlupa kerana sibuk ke sana dan ke sini seorang diri memastikan perjalaan niaga lancar.

Selesai menyapa dua tiga orang pengusha kantin sekolah, kot-kot mereka sudi menerima roti sosej aku ini. Nampaknya tiada rezeki. Alhamdulillah.

Pantai Batu Buruk, diri ini singgah sekejap merasai angin nyaman dan deruan ombak. Masa untuk berfikir apalagi perniagaan yang boleh dibuat. Mungkin suatu masalah menjadi perniagaan...

fatihi razali
kuala terengganu
8 safar 1432
12 Januari 2011.

Sunday, January 9, 2011

Semangat




Semangat. Tidak semudah menyebutnya. Sesukar daya untuk bangun. Yang suka menangis, menangislah dahulu. Selesai menangis, mulakan kembali gerak langkahmu. langkah yang kembali berlari dalam payah. Kerana, semangatnya ada di situ.

Fatihi Razali
5 Safar 1432H
9 Januari 2011

Pemuda




Malam yang sejuk, dirasai mencengkam tulan belulang, lantas menyarung baju perisai agar sedikit memberi kehangatan, menepis sedikit kesejukan.

Kehangatan ditambah dengan menghadiri majlis ilmu sang ulama dari Masjidil Aqsa di Kuala Ibai. Hadirinnya rata-rata pemuda. Maka, semangat kepemudaan dibakar agar menyala obor Islam di sana sini.

Kesempatan mengucup tangan mualim dan mujahid, semoga berkat perjuangan ulama ini dirasai bersama. Juga mengucup pesanan beliau, “Wahai pemuda, anada tidak perlu untuk menakluk dunia seperti generasi yang lepas, tetapi anda perlu menawan al-Terengganu dengan cahaya Islam”.....begitu lebih kurang pesanan beliau, Sheikh Mahmud Siyam.....Terengganu?Aku berfikir sendirian...

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
1 safar 1432H
5 Januari 2011

Wednesday, January 5, 2011

SKTB



Mengenderai roda dua masuk yakin ke laman yang dulu pernah aku dan rakan-rakan kejar-mengejar sehabis tanah, usik-mengusik sekuat ketawa, lumba-berlumba sekelumit ilmu, dan sipu merah padam cinta yang tidak kekal.

SKTB, Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah,Kuala Terengganu. Aku masih ingat kerdilnya tubuhku mendapat perhatian rakan-rakan, bukan kerana fizikal, tetapi kerana sukanya aku mengelecek dua tiga orang pemain sesudah sepak mula ditiupkan. Permainan yang digilai zaman kanak-kanak.

Saat ini,aku mula ligat mengingat rakan-rakan lama. Ke mana mereka?Pasti sudah menjadi orang hebat. Aku masih di sini, di Kuala Terengganu. Berdagang dan terus berdagang. Kawan-kawan, kalau ada rezeki, ketemu lagi. Mungkin di sekolah ini lagi….
……………..duduk rehat sebentar di SKTB selepas berjumpa pengusaha kantin SKTB…………………

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
29 Muharram 1432H
4 Januari 2011…

Hari ini cerah





Hari ini cerah. Secerah harapan dan peluang yang ingin aku kejar. Alhamdulillah, keberhasilan itu sedikit tampak riak-riaknya. Seusai zohor, menulis di tepian lagun Kuala Ibai sambil perut masih berkeroncong walaupun selesai menyuap roti, merasa begitu bersyukur.
Angin pantai yang tidak lelah bertiup, air lagun yang tidak tenang merayap, juga beberapa sosok yang berdengkur, kanvas petang ini terlukis ragam yang nyaman. Kuala Terengganu, azam aku untuk memasak kaki dan menjunjung langit di sini. Insya Allah…….

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
28 Muharram 1432H
3 Januari 2011

langkah berjejak



Bermula kebebasan baru yang aku inginkan. Kebebasan mengejar mimpi. Hari ini, esok, lusa dan hari mendatang, langkah ini sekali berjejak, akan sentiasa melangkah. Melangkah ke wawasan yang pasti,akhirat…….

Fatihi Razali
Kuala Terengganu
27 Muharram 1432H
2 Januari 2011

Sunday, January 2, 2011

kalendar baru



Kalendar baru Masehi membuka tirai laman 2011. Maka kelahiran azam baru disambut penuh cita-cita dan penuh mimpi. Pasti bukan mimpi yang biasa-biasa.

fatihi razali
Kuala Terengganu
26 Muharram 1432
1 Januari 2010