Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Friday, July 16, 2010

Nafas dan rumah

Nafas yang dipinjam untuk tiada lain,
pengabdian kepada Pemilik sekalian alam,
masih menarik menghembus berselang-seli,
sekira-kira setahun gerak nafas,
sebilion kali rentak degup jantung,
Doanya,
semoga sempat menghirup,
menghidu dan merasai,
embun sahur dan dingin berbuka,
dalam waktu nafas Ramadhan.


Melangkah bertandang ke rumah Ramadhan,
Setelah setahun tidak berkunjung,
Rindu yang tertunggu-tunggu,
Juga cinta yang ternanti-nanti,
Masih jelas anjung rahmat dan lambaian keampunan,
Bertamu dengan hati yang ikhlas dan rindu
Doanya,
Semoga sempat sampai,
Sempat berwudhuk dan membuka rehal,
Berjemaah sama di rumah Ramadhan.



Fatihi razali
Kuala terengganu
4 Syaaban 1431H
16 Julai 2010.

Thursday, July 15, 2010

Penghormatan yang tidak disedari.....

Membelek album foto dengan merenung lama setiap foto yang ditatapi bagi mengimbau kenangan lama kadang-kadang dapat mencuitkan hati dan mententeramkan jiwa. Ada juga foto yang memberi inspirasi untuk membuat kejutan dengan anugerah kejayaan. Segmen zaman kecil, foto-foto dibangku sekolah, dengan wajah comel rakan-rakan dan riang tawa yang tidak berkesudahan mengamit satu perasaan saat teringat ada di antara yang diberi arahan membaca dalam kelas dan diikuti rakan-rakan, ada yang mengetuai kumpulan bertugas, ada yang diberi tugas khusus hanya memadam papan hitam walaupun tidak gembira dengan debu kapur, ada yang mendapat hadiah kerana juara dalam peperiksaan dan tidak kurang ada yang kena berdiri di atas bangku sekolah. Sebenarnya itu semua adalah penghormatan yang diberikan sesuai dengan usia kecil. Ketika ini mungkin tidak merasa apa-apa, tetapi bagi guru, suatu penghormatan daripada guru.




Terima kasih para guru yang sentiasa memberi penghormatan pada manusia zaman kecil walaupun manusia zaman kecil itu tidak mengambil kisah sebenarnya. Adakah itu penghormatan atau hanya sekadar hadiah dan denda. Ya, ya, penghormatan yang tidak disedari.



Fatihi Razali
Kuala Terengganu
3 Syaaban 1431H
15 Julai 2010.

Siri Bedah Buku- Membina Personaliti Terbilang, Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Buku Membina Personaliti Terbilang, hasil karya Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj sudah habis ditatap isinya, dibaca patah perkataannya dan banyak saranan-saranan yang membina jiwa untuk terus mendaki puncak kejayaan. Buku ini ialah hadiah daripada teman yang istimewa. Buku yang kulitnya berwarna oren ini menyegarkan mata dan menarik perhatian walaupun terselit di celah-celah buku di atas meja menulis ini. Penulis menyatakan bahawa buku bukan dinilai pada ilustrasi kulit tetapi apa yang terkandung di dalamnya. Ternyata, kandungannya tidak menghampakan jiwa yang membaca.




Buku ini setebal 319 muka surat yang termuat 79 artikel membangkitkan diri untuk membina personaliti terbilang. Masih memberkas di jiwa ketika penulis mengajak diri pembaca untuk melihat rumput bukan sekadar rumput. “Perhatilah, rumput tetap hidup walaupun dicabut dan dilemparkan jauh. Rumput tetap hidup walaupun tertimpa papan tanpa matahari dan air. Kalau anda ingin membina kehebatan dan kekuatan perasaan lihatlah rumput. Ia kuat dan tersangat kuat. Ia macam tidak berharga tetapi haiwan memakannya untuk mendapat tenaga dan terus hidup. Manusia pula memakan haiwan berkenaan lalu mendapat kesihatan dan kekuatan badan. Tidakkah itu menunjukkan rumput sangat kuat?”



Analogi ini antara salah satu kita belajar dari alam yang dibentangkan oleh Allah SWT. Tidak Allah SWT menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Sayugia diri ini merenung, berfikir sejenak, bermuhasabah dan seterusnya melakarkan peta kejayaan. Kembali semangat untuk meneruskan usaha.




Fatihi Razali
Kuala Terengganu
2 Syaaban 1431H
14 Julai 2010

Wednesday, July 14, 2010

Siri Bedah Buku-Novel Sejarah Islam Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem, Abdul Latip Talib

Hari ini, sebuah novel sejarah Islam bertajuk Salahuddin Ayubi Penakluk Jerusalem karya Abdul Latip Talib menjadi teman dalam waktu pembacaan yang sekejap-lama. Bilangan muka surat yang pada awalnya dianggap memakan lama untuk dihabiskan, rupa-rupanya hanya sekejap menatap pengembaraan pahlawan agung yang berjaya membebaskan Kota Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera Salib. Bermula halaman pertama sehingga akhir kalam, diri ini tertarik dan khusyuk meneliti perjalanan menyelusuri padang pasir, bukit-bukau, merentas samudera luas tentera Islam yang mengejar kemenangan ataupun syahid. Pemimpinnya, Salahuddin Ayubi yang digeruni sekalian raja di Eropah.




Diri ini timbul perasaan benci tatkala membaca perenggan dimana tentera Salib yang melanggar Baitul Maqdis pada tahun 490 Hijrah(1099Masihi) telah membunuh semua tawanan termasuk kanak-kanak dan memperkosa wanita-wanita. Mengapa dunia tidak mahu melihat Salahuddin Ayubi yang mempamerkan keperibadian yang tinggi. Selesai pertempuran merebut kota-kota strategik yang dimenangi tentera Islam, wanita dan kanak-kanak dibebaskan serta tawanan dibebaskan dengan bayaran tebusan. Sekalian tentera Islam sedar, berjuang hanya untuk mendapat keredhaan Allah Taala. Begitu yang ditarbiyahkan panglima mereka, Salahuddin Ayubi.



Membaca kisah-kisah siri peperangan, diri ini menangkap penceritaan strategi peperangan yang mengikut cara yang telah dilakukan Rasulullah SAW, motivasi dan disiplin tentera Islam yang tinggi dan sentiasa bergantung harap kepada Allah, telah membuahkan kemenangan menawan kota satu demi satu sehingga terbebasnya Baitul Maqdis pada tahun 588 Hijrah(1192 Masihi). Laungan azan kembali berkumandang di Masjidil Aqsa. Melekat di minda tentang masyhur kata-katanya ”Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia,” Sempat diri ini berdoa “Ya Allah, kembalikanlah bumi Palestin ke tangan umat Islam yang kini diratah rakus oleh Yahudi Laknatullah,”



Fatihi razali
Kuala terengganu
2 Syaaban 1431H
14 Julai 2010