Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Tuesday, January 26, 2010

Berani Melangkah


Merenung ombak yang ganas menggulung semahu menghempas marah pukulan ke pantai bagaikan pemula amaran kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Lautan dalam yang pernah menjadi telaga korban menggetarkan jiwa yang kecil. Laut dilihat tiada apa melainkan alam yang sukar dan misteri. Namun, jutaan umat berterima kasih, sumber protein dapat dinikmati dengan sekenyangnya lantaran seorang nelayan itu berani melangkah ke dalam perahu berlayar sejauhnya semata-mata mahu melihat perut umat terkandung zat protein.




Himpunan pelajar yang panjang ketawa, bermain riang, buku bukan minatnya, idealisme pemikiran kritis tanpa pengalaman, apatah lagi pantang ditegur dan dicabar. Ramuan cabaran yang pahit untuk ditelan guru sepanjang zaman. Seperti biasa, seorang guru masih berani melangkah ke sekolah.



Dua hemisfera ini harmonis untuk dicontohi. Berani melangkah, maka selembar demi selembar benang halus terkait mencipta kain melitupi tubuh. Sebaris demi sebaris bait-bait indah tertulis melakar manuskrip hikmah. Segedung demi segedung niaga terbina mencapai empayar ekonomi. Serekod demi serekod pingat terkalung meraih gelaran. Seorang demi seorang insan mengerti hidup bersyukur. Episod balada berani melangkah.





Fatihi razali
Kuala terengganu
5 Safar 1431H
21 Januari 2010

No comments:

Post a Comment