Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Tuesday, January 26, 2010

Karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee



Kalau mahu berbicara tentang kisah tiga pemuda hero, layar perak memaparkan episod Bujang Lapok,Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Komedi romantis yang tidak luput ditelan zaman. “Pok pok pok….bujang lapok…….”


Yang mahu melihat darjat menjadi garis pemisah yang kononnya berasakan berdarjat tinggi tidak tercalit lumpur di kaki, harta ukuran saintifiknya, keturunan darah cerminannya, lihat saja Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku.”Cuba kau bandingkan darah kau dengan darahku….”

Gabungan not- not nada mampu menjadi nama seterusnya mengangkat empunya karya menjadi filem agung. Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Laksamana Do Re Mi. Mesejnya jelas, selepas berbakti kepada negara, habuannya tidak setimpal. “Zam zam…ala ka zam…..”

Konflik dua insan yang tidak berpuas hati dengan majikannya yang hipokrit, seorang namanya Labu dan seorang lagi namanya Labi. Filemnya terpahat memori kepada siapa yang menonton. Labu Labi dan Nasib Si Labu Labi.” Sekali aku lengsing…..”

Manuskrip sejarah Melaka, terukir nama pendekar hebat, handal bermain senjata, lincah berpencak, melangir keris menewaskan pendekar Majapahit. Namun, susu dibalas tuba. Hati siapa yang tidak sakit lantas menuntut bela amukan keris yang tidak bermata. Filem Hang Tuah. Bahayanya fitnah merah cemburu biru. “Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun….”

Terpesona gaya perempuan yang bijaksana, kisahnya Musang Berjanggut. Sekalian menteri yang bengap tatkala melihat wanita cantik, termasuk sama ketua negara, diperdaya dengan mudah oleh perempuan yang bijaksana. Senangnya mendapatkan musang berjanggut. “Oh…Puspawangi….”

Sekalian lagi citra manusia diolah dalam Tiga Abdul, Anak Bapak, Madu Tiga dan semua karyanya yang bermesej.

Irama harmoni yang menyanyikan lagu citra. Puitis karyanya konkrit mengkritik masalah bangsa sambil mencipta idealisme yang menjangkau masa hadapan. Nilai estetika yang tinggi.



Fatihi razali
Kuala terengganu
6 Safar 1431H
22 Januari 2010

No comments:

Post a Comment