Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Monday, December 7, 2009

Kerja Bertangguh Tak Menjadi



Ketika pahat berbunyi, tukul menjadi teman yang akrab. Momentum pukulan tukul berupaya melawan inersia pahat. Perlanggaran ini, maka lahirlah sebuah teratak yang berdiri megah, namanya masyhur merentas abad. Semuanya bekerja diiringi bunyi detikan masa yang pantas dan cemburu. Semuanya tidak mahu tertangguh dengan virus malas, yang mana vaksinnya disuntik semangat mahu terus maju dan maju.




Insan yang bergelar jurutera, arkitek, pengurus, ahli perniagaan dan sekalian manusia, seakan mengerti kerja bertangguh, merugikan begitu banyak wang dan peluang. Apatah lagi seorang doktor, jika bertangguh, korban nyawa menjadi catatan dalam sejarah kerjanya. Lebih dashyat, anak bangsa terkapai kelemasan lantaran guru dan pendeta bertangguh untuk mendidik. Di sinilah lahirnya sekalian banyak manusia mendengar madah guru dan pendeta. Kayuhan pasti perlu diteruskan dengan bergaya. Tanpa perasan, semangat juga turut sama berkayuh.



Masa begitu cemburu dengan kehadiran kekasih siap sempurna. Firman Allah dalam surah Al-Asr “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”. Nah, hayati sabda Nabi saw yang masyhur, ingat lima perkara sebelum lima perkara. Hujjatul Islam al-Imam Ghazali pernah berpujangga, hari kelmarin adalah suatu yang paling jauh. Maka, benar frasa agung yang berbunyi, kerja bertangguh tak menjadi.







fatihi razali,

kuala terengganu,

19 Zulhijjah 1430H,

7 Disember 2009

No comments:

Post a Comment