Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Sunday, July 11, 2010

Hujung minggu.....

Hujung minggu, waktu untuk bertapa sebentar dalam bangunan konkrit perpustakaan awam negeri untuk menyelongkar khazanah yang terungkap dalam manuskrip yang diakui sepanjang zaman, tidak lekang dan tidak lusuh, iaitu buku. Selain menyaring buku yang dipinjam, diri ini bersandar di kerusi empuk sudut ruangan majalah, menyelak halaman-halaman yang mungkin membugar minda dengan artikel semasa. Tidak mampu memenuhkan rak di rumah dengan majalah ilmiah, hanya berkunjung ke ruangan di sudut bangunan konkrit ini untuk menatap wajah majalah secara percuma. Ada yang menarik perhatian……….Artikelnya berisi peribahasa Melayu dan sains.




Peribahasa Melayu yang dasarnya tidak lari daripada ilmu sains. Indahnya pepatah yang berkias dalam tutur kata, tetapi menonjolkan permikiran tinggi. Diri ini sempat menyalin perbandingan pepatah Melayu yang disulami fakta sains untuk dikongsi bersama dan juga mungkin untuk titipan anak cucu kemudian hari.


Ludah ke langit, timpa hidung sendiri. Sainsnya menepati hukum graviti. Kias maksudnya, faham-faham sendiri.

Ibarat gasing berputar, tetap berpusing, tak berpaku, merayau. Sainsnya bumi yang berputar pada paksinya. Kias maksudnya, objek berputar perlu paksi, kalau tidak, habis….

Berwap nasi dingin. Sainsnya, penyejatan dan kondensasi adalah dua konsep yang bertentangan. Kias maksudnya, perkara mustahil akan berlaku.


Seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu, hingga ke batang, batangnya mati, hinggap ke ranting, rantingnya patah. Sainsnya, tumbuhan epifit(dedalu) hidup menumpang dan dapat makanan daripada pokok yang ditumpangi, akhirnya pokok itu mati. Kias maksudnya, orang jahat berhimpun dengan orang baik, rosaklah orang baik.


Mahukah orang menghujankan garamnya. Sainsnya, garam akan larut dalam air. Takkan mahu dibiarkan garam terkena hujan. Kias maksudnya, tidak ada orang mahu menghina atau menyusahkan keluarga sendiri, tetapi berhabis-habisan mempertahankan anggota keluarga.


Demikian beberapa coretan yang sempat ditulis. Bangsa kita tidak kurang hebatnya. Kalau Shakespeare sering diagung-agungkan sebagai manusia yang mampu berfikir atau menyatakan maksudnya melalui sajak atau puisi, pemantun atau pemikir Melayu tradisional pun tidak kurang agungnya. Struktur pantun ada rima dan rentaknya, bahasanya halus, tepat dan bernas. Struktur dan cara berfikir Melayu ini ternyata lebih kreatif dan lebih kompleks lagi.


Fatihi razali
Kuala terengganu
28 Rejab 1431
11 Julai 2010



Rujukan: 1) Dewan Sastera,DBP
              2) Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal, Memperkasa Bangsa Melalui Kekuatan Dalaman,Alaf 21.

No comments:

Post a Comment