Masa sekejap yang terisi dengan melarikan mata pena pada lembaran putih dan dipaparkan di dalam alam maya sebagai perkongsian rasa hati dan fikir minda........

Tuesday, July 6, 2010

kuantan ke kemaman........

Bas rosak, masa destinasi sudah pasti dianjakkan lambat sedikit daripada sepatutnya. Sementara menunggu galang ganti, diri ini sempat menulis nota tentang visual yang dapat dilihat sekitar bas yang sudah tidur dengan nyenyaknya. Bicara beberapa pemuda yang risau tentang solatnya yang belum ditunaikan, resah beberapa orang pakcik yang mengejar waktu transit, gelagat beberapa orang yang cuba menelefon kenalan terdekat untuk datang menjemput, dan penerangan yang acap kali daripada pemandu bas memberitahu sekejap lagi bas lain akan sampai, antara adengan biasa seorang kembara yang terputus sekejap pengangkutan balik.




Sekejap-lama dalam penungguan, nampak kelibat bas datang. Hati ini kembali gembira mengenang diri ini dapat pulang. Namun, bas ini begitu sendat. Kalau ditambah kembara kami, tin sardin yang tidak berkuah nampaknya. Ketika ini kerjasama ahli kembara ditagih agar semua pengembara dapat juga bersama menyambung perjalanan. Akhirnya dapat juga semua ahli menyambung perjalanan setelah berhimpit-himpit padat. Saat berhimpit-himpit ini, mata diri ini terpandang wajah seorang yang menawan. Matanya dan mata diri ini bertentangan tidak beralih. Ah, tidak, bahaya godaan syaitan. Terus mata ini dialih ke luar tingkap menanti destinasi ini sampai.


…………perjalanan pulang dari SPKG 2010, dari kuantan ke kemaman………..


Fatihi razali
Kuala terengganu
23 Rejab 1431H
6 Julai 2010

No comments:

Post a Comment